Secara umumnya, Tamadun Islam menitikberatkan 4 asas utama iaitu aqidah, syariah, akhlak dan ilmu. Aqidah berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud kepercayaan atau keyakinan. Menurut etimologi bahasa Arab ‘aqidah’ adalah kata terbitan daripada ‘aqada’ (ikatan/simpulan). Aqidah merupakan asas kelahiran Tamadun Islam. Menurut as-syahid imam Hasan al-Banna, akidah merupakan hal-hal yang berhubung dengan kepercayaan, keyakinan dalam hati sehingga hati dan jiwa itu menjadi tenteram. Intisari aqidah dalam Tamadun Islam adalah berdasarkan 6 rukun islam iaitu
- Percaya kepada Allah SWT.
- Percaya kepada Malaikat.
- Percaya kepada Rasul.
- Percaya kepada Kitab.
- Percaya kepada Hari Kiamat.
- Percaya kepada Qada dan Qadar.
Syariah pula membawa maksud undang-undang Allah s.w.t. yang mana ia mengatur hubungan antara manusia dengan Allah dan mewujudkan kedamaian di dunia. Tujuan Syariah ini diturunkan adalah bagi menyelamatkan mereka daripada kecelaruan dunia dalam mencapai kehidupan abadi di akhirat kelak. Maqasid Syariah pula terbahagi kepada tuga bahagian iaitu Dhoruriyyah, Hajiyah dan Tahsiniyah. Maqasid Dharuriyyah merupakan perkara asas bagi mencapai matlamat hidup manusia di dunia dan di akhirat.Ia merangkumi aspek agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Maqasid Hajiyah adalah bagi mendapat kelapangan dalam kehidupan dengan menghilangkan kesempitan yang membawa kesusahan dan kesukaran dalam hidup. Ia terbahagi kepada aspek muamalat, jinayat dan munakahat. Maqasid Tahsiniyah adalah perkara-perkara yang dianggap terpuji dalam kehidupan dan pergaulan bagi menjauhi suasana yang kurang baik. Ia merangkumi aspek kehidupan, makanan, pakaian, musafir dan lain-lain. Tujuan utama maqasid syariah dapat digolongkan kepada 5 prinsip iaitu
- Memelihara agama
- menjaga nyawa
- Memelihara kewarasan akal
- Menjaga maruah dan keturunan manusia
- melindungi harta benda manusia
Akhlak dalam Tamadun Islam dapat didefinisikan sebagai budipekerti, perangai, sikap atau tabiat seseorang. Akhlak baik (Mahmudah) seperti jujur, sabar, ikhlas, benar dan pemurah. Akhlak buruk (mazmumah) seperti hasad, riya, takabbur, ujub dan fitnah. Menurut Imam al-Ghazali, akhlak dimaksudkan dengan kebiasaan manusia yang tetap serta wujud dalam diri manusia. Menurut perspektif Islam, baik dan buruk adalah ketentuan syarak. Akhlak Islam hendaklah didasarkan kepada alquran, sunnah dan pendapat ulamak.
Ilmu dalam Tamadun Islam terbahagi kepada dua : i. Naqli (wahyu) – membina asas tamadun berpandukan ketetapan Allah ii. Aqli (kajian) –mekanisme yang ada dalam peradaban itu sesuai denagn fitrah semulajadi manusia.