OpenLearning
kesusasteraan Melayu dapat berkembang pesat kerana adanya kecenderungan dan usaha-usaha pengembangan agama Islam menggunakan sastera sebagai alat penyebarannya. Kegiatan-kegiatan seumpama itu telah mendorong sasterawan Islam menghasilkan roman-roman Islam untuk menggantikan epik-epik Hindu, iaitu Mahabharata dan Ramayana.
 
Oleh hal demikian, selain cerita Nabi-nabi dan legenda Islam tadi, terdapat juga cerita tokoh-tokoh sebelum, semasa, dan selepas Nabi Muhammad s.a.w. Antaranya ialah Hikayat Firaun, Hikayat Tamim al-Dari, dan Hikayat Sultan Ibrahim bin Adham. Harus diingat bahawa pada masa itu juga transliterasi dan transkripsi dibuat untuk membolehkan orang ramai membaca karya-karya Hindu seperti Hikayat Syahi Mardan dan Hikayat Berma Syahdan.
 
Apabila mendapati karya-karya itu tidak selari dengan tuntutan Islam, maka penyesuaian pun dibuat agar sejajar dengan ajaran Islam. Nama-nama dewa Hindu seperti Visynu diganti dengan nama-nama Nabi dan malaikat. Dewata Mulia Raya ditukar menjadi Allah atau Tuhan yang Maha Esa. Kemudian watak-watak Hindu pula disesuaikan dengan watak bernama Islam hingga hasilnya bercampur aduk antara nama-nama Hindu dan Islam.
 
Di samping semua itu, anda harus ingat bahawa nama-nama hikayat seumpama itu turut ditukar atau ditambah dengan nama Islam. Contoh-contohnya ialah Hikayat Si Miskin asalnya Hikayat Marakarma dan Hikayat Ahmad Muhammad asalnya Hikayat Serangga Bayu. Kumpulan karya seperti itu disebut Kesusasteraan Zaman Peralihan atau Kesusasteraan Transisi atau Kesusasteraan Hindu-Islam.
 
Berikut akan dijelaskan kewujudan Sastera Panji di Jawa. Kata ‘panji’ pada asalnya merupakan gelaran bagi golongan bangsawan yang berdarah raja. Walau bagaimanapun, gelaran tersebut kemudiannya digunakan di dalam cerita-cerita roman Jawa bagi menunjukkan watak pahlawan yang gagah dan kacak sehingga dapat menawan hati wanita-wanita jelita.
 
Setelah sekian lama orang-orang Jawa mendengar cerita-cerita yang berunsur Hindu di dalam bahasa Jawa kuno dan bahasa Sanskrit, mereka mulai jemu. Sungguhpun sudah ada karya bercorak Islam pada masa itu, orang-orang Jawa tidak gemar membacanya. Oleh sebab itu, penglipur lara Jawa mencari jalan untuk menghasilkan satu bentuk karya berunsur setempat. Di dalam pencarian itulah terhasil Sastera Panji.
 
Cerita-cerita dongeng Jawa yang selama ini tenggelam akibat taklukan sastera saduran Hindu-Buddha, kini muncul kembali di dalam bentuk tersebut. Cerita itu ditulis dalam bahasa Jawa Tengahan dan sangat popular di istana Raja-Raja Jawa Timur pada abad ke-13 hingga ke-15 Masihi. Walaupun cerita-cerita itu ditulis oleh penulis Jawa, tetapi tidak dapat lari daripada pengaruh Hindu yang telah bertapak sekian lama di Jawa. Unsur-unsur itu termasuklah pertapaan, dewa-dewa, mitos dan legenda.
 
Kerajaan Majapahit dikatakan bertanggungjawab menyebarkan sastera Jawa ke serata tempat, termasuk ke Tanah Melayu. Selain itu, kewujudan hubungan antara orang-orang Jawa dengan orang-orang Melayu juga menjadi penyebab tersebarnya cerita-cerita panji ke luar Jawa. Ada pendapat yang mengatakan bahawa cerita-cerita panji berkembang ke Tanah Melayu di dalam bentuk lisan atau melalui wayang kulit dan bangsawan.
 
Ciri-ciri utama cerita panji yang membezakannya dengan genre-genre lain dapat dilihat melalui tiga aspek, iaitu:
 
i.        Tema dan Persoalan;
ii.       Struktur cerita (plot, latar dan watak);
iii.       Penerapan unsur-unsur Hindu;
Kerap dikatakan bahawa pengembaraan menjadi tema Sastera Panji. Tetapi, jika kita halusi plot cerita-cerita panji, kita akan menemui perkara pokok yang menjadi penyebab kepada pengembaraan itu ialah pencarian. Wira keluar mengembara kerana kekasihnya yang pertama dibunuh orang. Pengembaraan dilakukan untuk mencari ganti kekasih atau mencari ketenangan. Dalam cerita yang lain, wira mengembara untuk mencari kekasihnya yang menghilang atau diculik musuh atau diarah meninggalkan istana oleh dewa-dewa.
 
Oleh sebab itu, kunci kepada semua persoalan dalam cerita panji ialah pencarian. Persoalan-persoalan yang menyokong tema itu ialah pengembaraan, percintaan, penyamaran, dan peperangan. Rasa cinta mendorong wira mencari kekasihnya. Hal ini berlaku di dalam Hikayat Panji Semirang.
 
Raden Inu Kertapati mencari Raden Galoh Cendera Kirana yang meninggalkan istana. Raden Galoh meninggalkan istana kerana mencari kedamaian apabila ayah, ibu tiri, dan adik tirinya mewujudkan ketidakselesaan hidupnya di istana. Lantaran itu mereka pun mengembara. Raden Galoh menyamar sebagai lelaki untuk mendapatkan kekuatan dan keyakinan diri. Ternyata bahawa kemahuan itu menjadi satu aspek pencarian secara tersirat. Wira berperang untuk mencari kemegahan dan kuasa. Wirawati berperang untuk mendapatkan pengiktirafan bahawa wanita juga perkasa dan boleh berdikari. Cerita digerakkan atas dasar pencarian. Dengan itu, persoalan utama Sastera Panji ialah pencarian.
 
Plot cerita panji dimulakan dengan pengenalan, diikuti dengan perkembangan, dan diakhiri dengan peleraian. Cerita-cerita panji berakhir dengan kegembiraan. Daripada segi latar, kita dapati cerita panji berlatarkan empat buah negeri, iaitu Daha, Kuripan, Singasari, dan Gagelang. Tempat-tempat ini dikatakan pernah wujud di Jawa. Masyarakat zaman feudal di Jawa merupakan latar masyarakat dalam cerita panji.
 
Sebagai karya yang terhasil berdasarkan pemikiran dan budaya tradisi Jawa, Sastera Panji masih mengekalkan unsur-unsur Hinduisme dan mitos. Raja-raja dikatakan berketurunan dewa-dewa daripada kayangan. Pertapaan merupakan sebahagian daripada samadhi. Selain itu, dipaparkan penjelmaan yang seiring dengan inkarnasi di dalam ajaran Hindu.
 
Ciri terakhir yang hadir di dalam setiap cerita panji ialah pertukaran nama. Di dalam Hikayat Dewa Asmara Jaya, Raden Inu menukar namanya sebanyak tujuh kali. Antaranya ialah Kuda Waneng Baya, Misa Kelana Sira Panji, dan Adipati Macan Negara. Pertukaran nama tidak terhad kepada wira dan wirawati sahaja malah berlaku juga kepada watak-watak pembantu. Harus diingat bahawa pertukaran nama ialah amalan biasa dalam budaya Jawa.
 
Sastera Panji berperanan sebagai alat yang berfungsi untuk memberi hiburan dan pengajaran kepada khalayak. Sehubungan itu, di dalam karya-karya tersebut terselit amanat penting daripada pengarangnya. Antaranya ialah niat jahat pasti gagal dan janji mesti ditepati. Hikayat Dewa Asmara Jaya menceritakan niat jahat Raja Sochawindu. Dia marah apabila pinangannya ditolak lalu bertindak menyerang Daha. Niat jahatnya tidak terlaksana kerana Raden Inu Kertapati mengalahkannya. Hikayat Misa Taman Jayeng Kusuma menceritakan balasan buruk yang diterima oleh para ratu yang mungkir janji.
 
Sejauh manakah masyarakat India di Malaysia pada hari ini menggunapakai karya kesusasteraan India dalam pelbagai aspek kehidupan, contohnya pendidikan, kurikulum, kesenian dan lain-lain.
 

Masyarakat India di Malaysia masih lagi wujud sehingga kini. Justeru, karya kesusateraan India masih lagi digunakan dan diamalkan dalm kehiddupan pelbagai bidang. Melalui bidang pendidikan, karya kesusateraan India digunakan dalam pelbagai peringkat seperti peringkat rendah, peringkat menengah dan peringkat institusi tinggi misalnya bahasa Sanskrit iaitu perkataan maha, durhaka, syurga dan sebagainya. Selain itu, bidang kurikulum di sekolah jenis Tamil turut memberikan impaknya yang tersendiri. Bahasa Tamil merupakan bahasa pengantar di sekolah kebangsaan jenis Tamil. Dalam bidang kesenian dan tarian pula, setiap tarian dan muzik yang mereka amalkan mempunyai maksud dan unsur-unsur sastera India, bukan sekadar suka-suka. Bidang seni bina Tamadun India yang pernah menjadi seni bina yang teragung pada zaman dahulu seperti The Great Bath juga masih kekal sehingga ke hari ini dan turut menjadi tarikan pelancong di dalam dan luar negara. Justeru, tamadun India juga merupakan antara tamadun yang berpengaruh pada suatu ketika dahulu dan mempunyai keunikan dan kehebatannya tang tersendiri sebaris dengan tamdun-tamadun yang lain

 

Comments

Loading
Error: Loading CSS chunk vendors-node_modules_fortawesome_pro-regular-svg-icons_faGlobe_js-node_modules_fortawesome_pr-d462f3 failed. (error: https://assets.openlearning.com/chunks_live/vendors-node_modules_fortawesome_pro-regular-svg-icons_faGlobe_js-node_modules_fortawesome_pr-d462f3.8fd07ef9993d3220.css)

Chat