syafiq izzat's Aktiviti Tamadun Islam : Sub Topik 1 - OpenLearning
ASAS- ASAS PEMBENTUKAN TAMADUN ISLAM
Tamadun Islam mempunyai beberapa asas yang penting dalam mewujudkan pembangunan kebendaan dan kerohanian umat Islam iaitu asas 'ubudiyyah, asas syariah dan asas akhlak. Ketiga- tiga asas ini adalah berperanan serentak dalam kehidupan umat Islam. Ianya tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Kemajuan sama ada kebendaan atau kerohanian umat Islam hendaklah bertunjangkan kepada keimanan atau akidah kepada Allah s.w.t dalam masa yang sama ia adalah ibadah dan mengikut landasan syariah serta mempunyai nilai- nilai akhlak Islam yang murni berpandukan kepada al-Quran.
 
1) AQIDAH
   - keyakinan dalaman yang melibatkan tingkah laku luaran
   - akidah yang benar akan melahirkan sifat yang positif
   - membina tamadun dengan penuh ikhlas
   - asas aqidah adalah: TAUHID (asas dalam memberikan identiti kepada tamadun Islam, yang mengait segala unsurnya, lalu menjadikan satu keutuhan satu wadah kukuh bergelar tamadun)
2) SYARIAH
   - matlamat syariat dan tamadun adalah selari iaitu, memelihara:
      agama, nyawaakalketurunan dan maruahharta dan kebebasan
3) AKHLAK
    - Akhlak ialah terjemhan iman seseorang
    - Akhlak merupakan agama dan tamadun
    - implikasi:
       1. akhlak yang baik menghasilkan al-falah(kejayaan)
        2. akhlak yang buruk akan meruntuhkan tamadun
        3. sesungguhnya, sesuatu bangsa itu akan kekal selama akhlaknya kekal, apabila runtuh akhlaknya, bangsa itu pun akan lenyap
 
Perbincangan tamadun dan ketamadunan oleh para sarjana tamadun banyak bertitik tolak daripada perbincangan istilah. Terdapat beberapa istilah yang dikaitkan dengan tamadun. Antara istilah yang sering digunakan ialah ‘civilization’ dalam bahasa Inggeris, tamadun dan peradaban dalam bahasa Melayu, maddana, umran dan hadarah dalam bahasa Arab. Setiap istilah ini mempunyai maksud dan tafsirannya tersendiri. Peristilahan ini memberi kesan kepada definisi tamadun. Selain ini, definisi tamadun juga berbeza antara seorang sarjana dengan sarjana yang lain kerana mereka memberi tafsiran tamadun berdasarkan disiplin ilmu masing-masing. Ini menghasilkan definisi tamadun yang pelbagai berdasarkan dimensi yang berbeza. Bagi ahli antropologi, tamadun dikaitkan dengan kebudayaan. Ahli arkeologi pula menegaskan, tamadun dihubungkan dengan peninggalan bahan-bahan bukti (artifak) yang boleh digunakan oleh sejarawan dalam menyusun kisah sejarah masyarakat lampau.
 
Bagi para sarjana Muslim Islam, tamadun bermula dengan pengutusan para nabi dan rasul. Pembentukan masyarakat bertamadun menurut acuan Pencipta manusia adalah tujuan utama perutusan mereka. Para nabi dan rasul diberi amanat untuk meluruskan jalan kehidupan manusia dan menjadikan manusia umat yang bertamadun. Masyarakat yang bertamadun adalah masyarakat yang memiliki seluruh tingkat kemajuan kehidupan yang meliputi aspek spiritual dan material. Islam telah membekalkan asas-asas yang kukuh dan sumber yang mantap untuk manusia membina tamadun.
 
Menurut Islam, tamadun sesebuah bangsa itu akan terbina apabila wujudnya nilai-nilai baik dan mulia dalam sesebuah masyarakat. Seandainya sesebuah masyarakat mengabaikan nilai-nilai baik atau menyalahi matlamat utama pembinaan tamadun, maka masyarakat tersebut akan mengalami zaman keruntuhan.
 
1.1 Peristilahan Tamadun
 
Peristilahan tamadun yang sering memenuhi diskusi para sarjana ketamadunan terdiri daripada istilah-istilah berikut:
• ‘Umran
• Hadharah
• Madaniyah
• Tamadun
• Civilization
• Peradaban
 
1.1.1 Istilah Umran dan Hadarah
 
Istilah umran dan hadarah diperkenalkan oleh Ibn Khaldun (14M) dalam karya beliau yang terkenal berjudul Muqaddimah. Beliau menggunakan dua istilah ini untuk menggambarkan masyarakat yang bertamadun. Istilah umran digunakan untuk menerangkan sifat-sifat fizikal tamadun; iaitu kawasan tanah yang didiami secara tetap dan aspek-aspek pembangunan yang wujud di satu-satu kawasan. Manakala hadarah pula merujuk kepada kehidupan yang menetap (M.A.J. Beg, 1982a, , 1982b). Oleh itu, istilah umran digunakan untuk maksud pembangunan dan kuantiti penduduk sebagai hasil daripada kewujudan tamadun. Ini bermakna apabila organisasi sosial terbentuk maka bilangan penduduk bertambah besar. Sehubungan itu, tamadun akan terhasil.
 
Ibn Khaldun juga menentukan beberapa kriteria utama masyarakat yang bertamadun. Antaranya seperti berikut:
• Aspek keagamaan
• Organisasi sosial
• Sistem perhubungan
• Sistem perundangan
• Bandar
• Aspek kesenian – senibina, seni khat dll.
 
Ibn Khaldun tidak meninggalkan peranan agama dalam pembentukan masyarakat bertamadun. Malah bagi beliau, agama memainkan peranan penting. Demikian juga peranan penting yang dimainkan oleh sistem perundangan kerana sistem ini mampu menghasilkan keadilan. Nilai keadilan amat besar pengaruhnya dalam menentukan jatuh bangun sesebuah tamadun. Bandar juga merupakan salah satu asas yang penting dalam pembinaan masyarakat yang bertamadun kerana kota atau bandar merupakan pusat pemerintahan dan kekuasaan. Oleh itu, pembangunan bandar mestilah menggunakan perancangan yang baik dan rapi. Antara faktor penting yang mesti diambilkira dalam perancangan sesebuah bandar adalah seperti berikut:
• Udara yang bersih
• Kemudahan asas yang lengkap seperti terusan sebagai jalan perhubungan
• Sumber makanan asasi
• Berhampiran dengan sumber binaan
• Kawasan penternakan (M.A.J. Beg, 1982a; 1995)
.
1.1.2 Istilah Madaniyah
Istilah madaniyah diperkenalkan oleh Muhammad Farid Wajdi (19M) dan Syeikh Muhammad Abduh (20M) (M.A.J. Beg, 1982b). Istilah ini juga merujuk kepada makna tamadun. Perkataan madaniyah diambil daripada perkataan madinah yang bermaksud bandar, kota atau city. Kota merupakan pusat peradaban atau tamadun. Ini jelas menunjukkan kaitan yang rapat antara keempat-empat perkataan ini. Keempat-empat perkataan ini juga sama dengan maksud perkataan civitas dalam bahasa Latin. Oleh itu, civitas dan madinah menjadi pusat dan lambang kemunculan tamadun.
 
1.1.3 Istilah Tamaddun
Istilah tamaddun yang mempunyai maksud yang sama dengan civilization telah diperkenalkan oleh Jurji Zaydan, seorang penulis Arab (M.A.J. Beg, 1982b).
 
1.1.4 Istilah Civilization
Dalam bahasa Inggeris, istilah yang digunapakai untuk menggambarkan masyarakat yang bertamadun ialah civilization. Istilah ini diambil daripada perkataan Latin civitas yang bermaksud kota, di mana kota merupakan salah satu faktor penting kewujudan sesebuah tamadun (Beg, 1982). Civilization juga dihubungkan dengan perkataan civil yang bermaksud keadaan masyarakat yang mempunyai tahap kehidupan yang tinggi (Azhar Hj Mad Aros dll, 2003).
 
Para sarjana barat pula telah memberi beberapa gambaran berikut bagi masyarakat yang bertamadun.
i. Collingwood:
Masyarakat yang bertamadun ialah masyarakat yang mencapai tahap kehidupan civil iaitu kehidupan sopan. Masyarakat civil ini akan melahirkan masyarakat bandar iaitu masyarakat yang mempunyai kehalusan budi.
 
ii. Samuel Johnson:
Masyarakat yang bertamadun ialah suatu keadaan yang bertentangan dengan kehidupan biadab (barbaric). Masyarakat ini telah mencapai tahap kesopanan yang tinggi.
 
iii. Gordon Childe (sejarawan):
Pencapaian material adalah lambang ketamadunan. Civilization mempunyai persamaan dengan revolusi perbandaran. Pengukuran tamadun adalah berdasarkan kepada kewujudan bandar. Beliau menyamakan erti tamadun dengan revolusi bandar kerana apabila berlakunya revolusi bandar di satu-satu kawasan, maka akan lahirlah satu tamadun baru di kawasan berkenaan.
 
iv. Edward L. Farmer:
Masyarakat yang bertamadun ialah masyarakat yang memiliki unit kebudayaan yang besar yang mengandungi norma-norma sosial, tradisi dan institusi yang dikongsi bersama dan diwarisi dari generasi ke generasi. Beliau juga memasukkan beberapa ciri berikut bagi menggambarkan masyarakat yang bertamadun iaitu:
• Penempatan kekal
• Revolusi pertanian
• Stratifikasi sosial
• Kewujudan agama
• Urbanisasi
• Pengkhususan kerja
• Sistem tulisan.
 
v. Darcy Riberio (Ahli antropologi):
Proses kehidupan bertamadun melibatkan aspek-aspek berikut:
• Penyebaran teknologi pertanian – berakhirnya corak kehidupan nomad.
• Wujud aktiviti perternakan dan pengkhususan kerja berasaskan kelompok kemahiran.
• Revolusi bandar – pertumbuhan bandar dan negara, wujud stratifikasi sosial.
• Penggunaan peralatan tembaga dan gangsa.
• Wujudnya sistem tulisan, angka, kalendar dan lain-lain.
• Revolusi pengairan
• Revolusi penghasilan inovasi teknologi berasaskan besi
• Revolusi penternakan
• Revolusi perdagangan
• Revolusi teknologi
• Revolusi industri
 
vi. E.B. Taylor (ahli antropologi):
Tamadun merangkumi keseluruhan pencapaian manusia termasuk pengetahuan, kepercayaan, seni, moral, undang-undang, adat dan keupayaan serta tabiat-tabiat lain yang diusahakan oleh manusia sebagai anggota masyarakat.
 
vii. Albert Schwetzer (ahli falsafah Jerman):
Tamadun merupakan keseluruhan kemajuan hasil daripada tindakan dan pemikiran manusia yang membawa kepada penyempurnaan kerohanian seseorang individu (Azhar Hj Mad Aros dll, 2003; M.A.J. Beg, 1982b).
 
1.1.5 Istilah Peradaban
Peradaban merupakan istilah dalam bahasa Melayu yang sering dikaitkan dengan masyarakat yang bertamadun. Menurut Kamus Dewan, masyarakat yang beradab atau bertamadun ialah masyarakat yang memiliki tingkat kemajuan dalam kehidupan jasmani dan rohani. Tamadun dinyatakan sebagai satu keadaan masyarakat yang dicirikan atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran sama ada aspek sosial, budaya, politik dan lain-lain yang tinggi (Kamus Dewan, 2002).
 
Perkataan bahasa arab lain yang turut digunakan untuk mentakrifkan tamadun ialah hadarah yang berasal daripada perkataan hadara yang merujuk kepada perbuatan duduk di bandar dan perilaku kehidupan yang tinggi. Hadarah juga bererti tinggal menetap dalam sesebuah wilayah, daerah atau bahagian ibu kota dan bandar.
Bedasarkan perkataan Umran, pula adalah berasal daripada Firman Allah s.w.t. dalam Surah Hud ayat 61 yang membawa maksud “Dia lah Yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendakikamu memakmurkannya”. Perkataan ini telah digunakan oleh Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah abad 14M.
 
Bedasarkan pengertian-pengertian yang dikemukakan, konsep ketamadunan sepatutnya dilihat dari perspektif yang meliputi pencapaian tatasusila dan moral yang tinggi serta kemajuan penempatan dan kemudahan yang sempurna. Bagaimanapun, konsep ketamadunan yang sering difahami oleh masyarakat hari ini lebih menjurus kepada pekara yang berkaitan dengan kemajuan penempatan dan kemudahan yang sempurna semata-mata. Lebih buruk daripada itu, tasawur terhadapp kemajuan penempatan dan kemudahan disempitkan lagi kepada soalan kebendaan yang menjadi simbol kemewahan. Kemuncak kewujudan sesebuah tamadun bukanlah digambarkan oleh limpahan kemewahan tetapi suasana kemakmuran sebagaimana ungkapan umran yang digunakan oleh Ibn Khaldun.
 
Tamadun Islam itu merupakan suatu tamadun yang telah diadun dalam bentuk antara bangsa. Sifatnya terbukti di dalam berbagai-bagai bidang kemajuan, terutama sekali dalam bidang kesenian, dan ini termasuk juga senibina. Berbagai-bagai bentuk hasil kesenian dan senibina adalah lahir daripada Tamadun Islam. Adunan ini berpandukaِn kitab perundangan Islam, iaitu al-Quran dan al-Hadis. Ia adalah tamadun yang baru, melambangkan keperibadian Islam yang terus berkembang untuk memberi sumbangan terhadap kehidupan manusia keseluruhannya.
 
Tamadun Islam mempunyai beberapa asas yang penting dalam mewujudkan pembangunan kebendaan dan kerohanian umat Islam iaitu asas keimanan, asas ‘ubudiyah, asas syariah dan asas akhlak. Keempat-empat asas ini adalah berperanan serentak dalam kehidupan umat Islam. Ianya tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Kemajuan sama ada kebenaan atau kerohanian umat Islam hendaklah bertunjankan kepada keimanan atau akidah kepada Allah s.w.t. dalam masa yang sama ia adalah ibadah dan mengikut landasan syariah serta mempunyai nilai-nilai akhlak Islam yang murni berpandukan kepada al Quran.
 
sekian

Comments

Chat