Pada 1 hingga 4 Mac 1946, 41 persatuan Melayu menghadiri Kongres Melayu pertama yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman. Hasil daripada mesyuarat, sebuah badan yang mewakili orang Melayu menentang Malayan Union akan ditubuhkan. Kongres Melayu Ketiga kemudiannya diadakan di Istana Besar Johor Bahru pada bulan Mei, 1946. Kongres inilah yang melahirkan UMNO dengan Datuk Onn sebagai president yang pertama. Pada 1 Oktober 1946, Datuk Onn Datuk Jaafar dilantik menjadi Menteri Besar Johor. Tiga tahun kemudian, Datuk Onn meletakkan jawatan Menteri Besar Johor dan menumpukan kepada UMNO. Di bawah kepimpinan Dato' Onn, UMNO telah berjaya memaksa kerajaan British membubarkan Malayan Union dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu 1948 mengekalkan kedudukan Raja-raja Melayu, memperketatkan syarat-syarat kerakyatan dan memberi hak istimewa Melayu. Dato' Onn bercadang untuk membuka keahlian UMNO kepada semua orang tanpa mengira kaum. Cadangan tersebut ditentangan. Oleh yang demikian, Dato' Onn meletakkan jawatan sebagai president UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 dan 26 Ogos 1951.Namun begitu, UMNO telah menggabungkan parti-parti yang dianggotai oleh kaum lain iaitu MCA dan MIC menjadi parti Perikatan pada tahun 1955. Dato' Onn menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya selepas meninggalkan UMNO. Malangnya, parti tersebut tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu. Pada tahun 1954, beliau menubuhkan Parti Negara mengganti Parti Kemerdekaan Malaya. Tujuan penubuhan parti tersebut adalah untuk bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama pada tahun 1955. Sekali lagi, partinya gagal mendapat sokongan dan tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya umum.