Jawapan Esei
2. Sistem sekolah satu aliran penting untuk memupuk kesepaduan sosial dalam kalangan anak-anak muda masa kini. Integrasi Nasional antara kaum merupakan salah satu aspek penting yang perlu diambil perhatian dalam masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa ini. Pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah ( KBSR ) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah ( KBSM ) merupakan susulan perubahan yang dilakukan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet yang bertujuan untuk meningkatkan mutu pendidikan negara. Maka segala perubahan dalam kurikulum, cita-cita Falsafah Pendidikan Negara dan pendekatan yang ditekankan kesepaduan dalam kurikulum perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat. Pelaksanaan kurikulum baru ini adalah satu usaha untuk menangani cabaran perkambangan semasa di mana nilai murni dan kerohanian telah mula diabaikan dalam kehidupan masyarakat pada waktu itu. Kelebihan dasar pendidikan melalui pelaksanaan KBSR dan KBSM dapat kita lihat kepada objektif yang ingin dicapai. Selain penguasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan membina sikap nilai-nilai kemanusiaan berlandaskan RUKUN NEGARA, murid juga dapat bergaul, menghargai hak dan kebolehan orang lain serta mempunyai semangat kerjasama dan toleransi. Semangat kerjasama dan toleransi ini diterapkan dalam aktiviti gerak kerja kokurikulum. Melalui aktiviti kokurikulum KBSR dan KBSM seperti kelab, persatuan serta sukan dan permainan, pelajar berpeluang berinteraksi dengan pelbagai kaum, memahami budaya lain, berdikari dan mendisiplinkan diri, serta mengamalkan sikap toleransi dan kerjasama dalam kumpulan. Penerapan nilai-nilai murni ini amat penting untuk memupuk individu ke arah integrasi nasional. Integrasi nasional dalam KBSR dan KBSM juga dicapai melalui aktiviti ‘Budaya Sekolah’. Aktiviti budaya sekolah telah menjadi perkara rutin setiap sekolah hingga masa kini. Ini merangkumi aktiviti seperti menyanyikan lagu kebangsaan, lagu negeri, lagu sekolah dan lagu patriotik secara bersama-sama dalam perhimpunan sekolah, bacaan ikrar dalam acara rasmi sekolah seperti sukan dan mengibarkan bendera kebangsaan setiap persekolahan. Jelaslah dan tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti budaya sekolah untuk memupuk semangat patriotisme dan kenegaraan yang dilaksanakan melalui KBSR dan KBSM dapat menyumbang ke arah pembentukan integrasi nasional secara menyeluruh dan bersepadu di kalangan pelajar sekolah rendah mahupun sekolah menengah.