Jawapan Esei
Dalam senario perancangan peranan bahasa, Malaysia mempunyai dasar bahasa yang cukup jelas yang merangkumi empat dasar utama iaitu dasar bahasa kebangsaan, dasar bahasa rasmi, dasar bahasa pendidikan, dan dasar bahasa untuk maksud-maksud tertentu atau khusus. Senario sebegini rentetan daripada persepsi bahawa bahasa menjadi faktor terpenting dalam menentukan jati diri sesebuah negara. Keperluan satu bahasa kebangsaan yang menjadi pertuturan umum dan bahasa rasmi kebangsaan disedari penting untuk menyatukan rakyat pelbagai asal keturunan yang masing-masing dengan bahasa ibundanya. Isu bahasa merupakan salah satu pokok perbincangan semasa permuafakatan kontrak sosial. Isu ini dapat diselesaikan dengan toleransi dan permuafakatan antara kaum-kaum utama di Tanah Melayu. Secara ringkasnya, dapat dirumuskan seperti berikut: Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini bertepatan dengan Perenggan 152 para 1 dalam Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa bahasa Melayu dinaikkan taraf sebagai bahasa kebangsaan. Dasar bahasa pendidikan Malaysia sangat jelas, iaitu peranan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama bagi semua sistem pendidikan formal peringkat sekolah rendah kebangsaan, menengah, dan pengajian tinggi. Pengiktirafan ini telah diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961. Selain itu, peranan dan status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan terutamanya di institusi-institusi pendidikan tinggi swasta mengalami perubahan atau penambahbaikan apabila pihak Parlimen Malaysia meluluskan Akta Pendidikan 1996. Berpaksikan Seksyen 2 dalam Akta 1996, dapat ditafsirkan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah dijadikan bahasa pengantar di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Namun demikian, menurut Seksyen 17 (1) menteri diberi peruntukan kuasa untuk mengecualikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sesebuah institusi pendidikan. Peruntukan tersebut secara jelas memastikan bahawa peranan dan status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah mengalami perubahan yang positif dan dinamik. Bahasa Melayu diyakini berperanan sebagai alat penyatuan kaum, yang menjadi jambatan menghubungkan pelbagai etnik. Kendatipun ada bahasa kebangsaan, tiada sesiapapun yang dilarang daripada menggunakan, belajar, atau mengajar apa-apa bahasa lain. Oleh itu, hal ini tidak menghalang kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) dan (Tamil) di Malaysia. Bahkan bahasa Inggeris juga diwajibkan bagi semua sekolah rendah dan menengah. Peruntukan ini tidak terdapat di mana-mana negara lain. Bahkan, di negara-negara liberal yang memperjuangkan hak asasi manusia pun tiada jaminan sebegini seperti yang dilaksanakan di Malaysia.