Soalan 1
Bincangkan perbezaan antara agama dan penganutnya. Misalnya, antara Hindu dan Hinduisme, Muslim dan Islam, dan sebagainya.Islam diibaratkan sebuah taman yang cantik dan indah, yang di dalamnya ada berbagai-bagai keindahan, kenikmatan dan kebaikan. Bagi seorang Islam yang dikatakan muslim itu, dia adalah seorang yang baru berada di muka pintu taman. Dia sudah masuk tetapi baru sekitar pintu sahaja, tidak sampai benar-benar masuk ke dalam taman. Jika Islam itu diibaratkan seperti taman yang disebutkan, bermakna seseorang itu baru melepasi pintunya. Seolah-olah Tuhan mempunyai satu taman yang indah dan cantik kemudian ada satu pintu masuk yang besar. 'Masuk Islam' itu seperti hanya masuk pintu, masih tidak tahu lagi apa yang ada di dalam taman. Jika sudah memasuki pintu, sudah berpeluang pula menjelajah taman dan dapat merasa segala keindahan dan nikmat yang ada dalam taman itu barulah seseorang itu dikira sudah beriman. Yang dikatakan seorang mukmin itu, dia sudah pun menjelajahi taman. Dia sudah melihat kecantikan, kebaikan, kehebatan dan keindahan taman. Di dalam taman itu ada bermacam-macam keindahan yakni keindahan rasa, keindahan akal, keindahan pandangan, pendengaran dan lain-lain lagi. Bila 'masuk Islam', keindahan-keindahan itu belum dirasa. Bila seseorang itu sudah bebas dalam taman, dapat rasa pelbagai kenikmatan dalam taman itu, barulah dikatakan dia seorang mukmin.
Soalan 2
Bincangkan bagaimana budaya setempat mempengaruhi amalan agama masyarakat.Sosialisasi merujuk kepada proses mempelajari aspek-aspek kemasyarakatan atau perkara-perkara yang diamalkan dalam masyarakat supaya seseorang itu dapat berfungsi dalam masyarakatnya. Pembudayaan (enculturation) merujuk kepada proses penerapan unsur-unsur budaya supaya seseorang bertindak dalam lingkungan peraturan, norma dan nilai masyarakatnya. (Nadiah bt Abdul Rahman dan Priscilla law Nguik Hung, 2008:70). Kedua-duanya bertujuan mengekalkan kesinambungan budaya Melayu. Keutamaan orang Melayu dalam proses sosialisasi dan pembudayaan ialah pembentukan jati-diri serta peribadi Melayu yang baik, berakhlak dan berbudi. Proses ini telah menanam nilai budaya yang kuat dalam masyarakat Melayu. Antara agen yang penting dalam proses ini ialah keluarga, kelompok, sekolah sekular dan agama, maktab-maktab dan universiti-universiti. Pembentukan budaya masyarakat Melayu mempunyai asas yang kukuh. Asas utama ialah agama Islam. Masyarakat Melayu akan mengazankan (membacakan kalimah azan) kepada bayi lelaki dan mengqamatkan bayi perempuan (membacakan kalimah qamat). Budaya ini telah dilakukan sejak kedatangan Islam ke Alam Melayu sejak dahulu lagi. Tujuannya ialah untuk memperdengarkan seruan azan, kalimah syahadah dan untuk meniupkan roh dan semangat Islam kepada bayi. Asas kedua pula ialah mengamalkan dan mengekalkan adat turun menurun. Ini adalah amalan yang dilakukan sekian lama atas pengaruh Islam dan Arab. Konsep adat memancarkan hubungan mendalam serta bermakna antara manusia dengan alam sekitarnya, termasuk alam tabii, alam sosial dan alam ghaib. Gabungan Islam dan adat terdapat dalam semua upacara kitaran hidup masyarakat Melayu seperti mencukur rambut, turun tanah atau mencecah tanah, membela mulut serta berkhatan. Antara unsur-unsur Islam yang diterapkan secara berterusan ialah kanak-kanak diajar konsep dosa, pahala, haram dan halal.