Jawapan Esei
Bahasa Melayu telah diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara. Perenggan 152, para 1 dalam Perlembagaan Malaysia menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia ialah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan. Tanggal 1 September 1967, bahasa Melayu telah dimantapkan dengan dinobatkan sebagai bahasa rasmi bagi Persekutuan Malaysia yang telah diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Hal ini berlaku selepas 10 tahun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Namun demikian, pada masa yang sama bahasa-bahasa lain yang digunakan oleh bangsa-bangsa lain di Malaysia, bebas digunakan seperti bahasa Mandarin oleh orang Cina dan bahasa Tamil oleh orang India. Sejajar dengan fungsi bahasa Inggeris yang mendominasi bahasa perdagangan dan perindustrian sarwa negara, kerajaan Malaysia juga menggalakkan rakyatnya menguasai bahasa antarabangsa tersebut khususnya untuk bidang pelancongan dan perdagangan antarabangsa. Kita dapat lihat bahawa peranan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama bagi semua sistem pendidikan formal peringkat sekolah rendah kebangsaan, menengah, dan pengajian tinggi. Pengiktirafan ini telah diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961. Selain itu, peranan dan status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan terutamanya di institusi-institusi pendidikan tinggi swasta mengalami perubahan atau penambahbaikan apabila pihak Parlimen Malaysia meluluskan Akta Pendidikan 1996. Berpaksikan Seksyen 2 dalam Akta 1996, dapat ditafsirkan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah dijadikan bahasa pengantar di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Namun demikian, menurut Seksyen 17 (1) menteri diberi peruntukan kuasa untuk mengecualikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sesebuah institusi pendidikan. Peruntukan tersebut secara jelas memastikan bahawa peranan dan status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah mengalami perubahan yang positif dan dinamik. Peranan bahasa yang seterusnya adalah amat penting dalam masyarakat apatah lagi dalam masyarakat yang pelbagai bangsa, berbilang agama,dan mengamalkan cara hidup yang berlainan. Bahasa Melayu diyakini berperanan sebagai alat penyatuan kaum, yang menjadi jambatan menghubungkan pelbagai etnik. Kendatipun ada bahasa kebangsaan, tiada sesiapapun yang dilarang daripada menggunakan, belajar, atau mengajar apa-apa bahasa lain. Oleh itu, hal ini tidak menghalang kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) dan (Tamil) di Malaysia. Bahkan bahasa Inggeris juga diwajibkan bagi semua sekolah rendah dan menengah. Peruntukan ini tidak terdapat di mana-mana negara lain. Bahkan, di negara-negara liberal yang memperjuangkan hak asasi manusia pun tiada jaminan sebegini seperti yang dilaksanakan di Malaysia.