Dato' Sri Onn Jaafar telah dilahirkan pada 12 Februari 1895. Beliau merupakan pengasas dan presiden kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu bersatu (UMNO). Beliau pernah dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada 1 Jun 1947 tetapi beliau telah meletakkan jawatan tiga tahun kemudian iaitu pada 18 Mei 1950 untuk menumpukan perhatiannya kepada UMNO. Dato' Onn Jaafar telah dilahirkan di Batu Pahat, Johor serta merupakan anak kepada Datuk Jaafar Haji Muhammad yang merupakan Menteri Besar Johor yang pertama. Beliau merupakan seorang kerabat diraja Johor di mana beliau telah dipelihara oleh Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar sejak kecil.
Sumbangan beliau dalam perjuangan ke arah kemerdekaan negara pada hakikatnya tidak boleh dinafikan. Meskipun ada suara-suara yang melabelkan beliau sebagai pemecah belah perpaduan UMNO dan pembunuh semangat kemerdekaan yang amat ghairah diperjuangkan oleh orang-orang Melayu, beliau tetap merupakan seorang tokoh Melayu terulung yang mempunyai wawasan yang begitu jauh. Kemerdekaan hari ini yang tercapai pada 31 Ogos 1957 meskipun tidak dianggap sebagai buah tangan darinya, tetapi sebenarnya adalah merupakan hasil asas yang dibinanya. Asas dan rangka kemerdekaan yang dilakar oleh Dato’ Onn tetap menjadi ikon perintis jalan kepada bangsa Melayu walau pun beliau tidak dianggap sebagai pemimpin Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan. Kemerdekaan hari ini adalah hasil buah tangan Tunku Abdul Rahman. Tetapi ironinya apabila sejarah mencatatkan bahawa Tunku juga keluar dari UMNO di penghujung usianya seolah-olah menjejaki langkah Dato’ Onn kerana berlaku masalah dalaman UMNO. UMNO Berjaya mengekalkan maruah dan martabat politik Melayu. Kuasa politik Melayu adalah lambing kejayaan dan kedaulatan Melayu pada hari ini. Meskipun tokoh ulung kepimpinannya datang dan pergi dengan pelbagai haluan, UMNO berjaya meneruskan perjuangan.