Jawapan Esei
1. BAHASA MELAYU MAMPU MENJADI BAHASA PENGHANTAR YANG BERKESAN DI PERINGKAT SEKOLAH DAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan rasmi bagi rakyat Malaysia. Bahasa Melayu memainkan peranan yang penting kerana bahasa berperanan sebagai asas pembinaan negara dan kebudayaan masyarakat. Ini bersesuaian dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang telah mengiktiraf dan mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara. Memandangkan negara kita terdiri daripada pelbagai kaum, bahasa ini menjadi suatu kepentingan di negara ini dan dapat dijadikan sebagai panduan. Bahasa yang berkuasa menggambarkan bangsa yang berkuasa. Ungkapan “Bahasa Jiwa Bangsa” ini menunjukkan bahawa sesuatu bahasa itu dapat berkembang maju jika bangsa itu pun maju. Namun begitu, untuk mengetengahkan bahasa Melayu, bahasa lain tidak perlu di tolak. Oleh kerana rakyat negara Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah untuk mengekalkan struktur kurikulum sekolah yang berasaskan kepada tiga kaum, iaitu bagi Sekolah Kebangsaan bahasa pengantarnya adalah Bahasa Melayu, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina menggunakan Bahasa Cina sebagai bahasa pengantar dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil menggunakan Bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar. Pelajar yang mengikuti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil yang kurang mahir dan lemah dalam penguasaan Bahasa melayu telah membawa kepada penempatan mereka di dalam kelas peralihan apabila mereka mula berada di sekolah menengah. Secara tidak langsung, penggunaan bahasa Melayu di semua sekolah membantu dalam pemupukan perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana yang berkesan untuk berkomunikasi dengan pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai dialek atau bahasa. Justeru, ini dapat dilihat bahawa bahasa Melayu mampu untuk menjadi bahasa pengantar di peringkat sekolah. Sebagaimana yang kita sedia maklum, bahasa Melayu telah berfungsi sebagai bahasa pengantar di sekolah, maktab, politeknik dan universiti. Yang dimaksudkan sebagai bahasa pengantar pendidikan ialah bahasa yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam P&P. Sebagai contoh, penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merupakan kemuncak bagi menentukan Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan. Sehingga kini, universiti itu telah melahirkan ratusan ribu siswazah yang menerima pendidikan dalam bahasa Melayu. Perkara ini tidak terhad kepada orang Melayu sahaja, tetapi melibatkan semua kaum yang menjadi warganegara Malaysia. Justeru, dapat kita rumuskan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pengantar yang berkesan dalam P&P di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi. Kesimpulannya, kita semua sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum seharusnya memainkan peranan masing-masing bagi memartabatkan dan meningkatkan penggunaan bahasa Melayu. Kita tidak mahu bahasa Melayu ditindas oleh bahasa-bahasa lain kerana bahasa melambangkan sesebuah bangsa. Seperti kata Hang Tuah, “Takkan Melayu Hilang di Dunia” dan itulah sebenarnya yang kita semua inginkan.