Soalan 1
Hubungan antara agama dan etnik di Malaysia.Dalam konteks Malaysia, kebebasan beragama diamalkan mengikut lunas-lunas yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Walaupun Islam adalah agama rasmi negara, namun penganut agama lain boleh mengamalkan agama mereka tanpa sekatan. Pendekatan ini selaras dengan kehendakan dan semangat agama Islam itu sendiri, "tiada paksaan dalam agama". Kepelbagaian agama dan kaum itu merupakan hakikat yang dijadikan oleh Tuhan supaya manusia boleh bekerja-sama dan kenal mengenal di antara satu sama lain. Bersesuaian dengan firman Allah s.w.t dalam Surah al-Hujurat ayat ke 49. Semangat bekerja-sama secara kolektif tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan demi kebaikan antara manusia sangat dituntut dalam ajaran Islam. Namun Kerjasama itu hendaklah ke arah kebaikan dan bukannya ke arah melakukan keburukan. Nabi Muhammad s.a.w. telah menerangkan hal ini dengan satu perumpamaan yang amat dalam maknanya iaitu hidup ini diibaratkan seperti keselamatan sebuah kapal di lautan bergantung kepada setiap kelasinya. Tiada seorangpun yang boleh membuat lobang di kapal itu atas nama kebebasan individu kerana perbuatan ini akan mengancam keselamatan semua orang. Hadis ini berbunyi "Satu perumpamaan mengenai orang yang patuh kepada perintah Allah dan orang yang melanggarinya; mereka ialah seperti satu kumpulan manusia yang sama-sama memiliki sebuah kapal. Sebahagian dari mereka berada di tingkat atas dan sebahagian lagi berada di tingkat bawah. Jika golongan yang berada di bawah ingin mendapatkan air, mereka terpaksa melintasi mereka-mereka yang berada di atas. Lalu mereka berkata, ‘kenapa tidak kita buatkan sebuah lubang (di lantai) kapal. Dengan cara itu kita akan mendapat air tanpa mengganggu golongan di atas'. Sekiranya mereka melaksanakan cadangan mereka itu semua akan binasa. Tetapi sekiranya mereka ditegah daripada melakukan perbuatan itu, mereka akan selamat dan semua akan terselamat". Setiap individu bertanggungjawab untuk berlaku adil bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang lain. Agama Islam menyuruh kita senantiasa berusaha menegakkan keadilan kerana sikap adil itu adalah ketakwaan kepada Ilahi sebagaimana firmanNya dalam Surah an-Nisa ayat 135 dan al-Maidah ayat 8. Agama Islam mengajar umatnya supaya berlaku adil terhadap jiwanya dengan mengimbangi antara hak dirinya, hak Tuhannya dan juga hak orang lain. Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Abdullah Ibn ‘Amr r.a. apabila Abdullah mengaibkan hak dirinya dengan terus menerus berpuasa pada siang hari dan berqiamulai pada malam hari "Puasalah tetapi berbukalah (pada masa-masa yang sesuai) dan berdirilah dalam sembahyang dan ibadah di waktu malam, tetapi (jangan sampai tidak tidur) - kerana sesungguhnya bagi jasadmu ada haknya, bagi matamu ada haknya, bagi keluargamu ada haknya dan bagi tetamumu ada haknya" (Disepakati antara al-Bukhari dan Muslim). Agama Islam mengkehendaki pelaksanaan keadilan itu dilaksanakan tanpa ada sebarang perasaan berat sebelah dan prejudis. Dengan maksud perasaan sayang itu tidak bersekongkol dengan kebatilan dan perasaan benci itu tidak menghalangnya dari berlaku adil serta memberi hak kepada yang berhak. Perkara ini jelas kerana Allah s.w.t. telah memerintahkan kepada kita agar berlaku adil sekalipun terhadap orang yang kita musuhi. Inilah keindahan Islam yang mementingkan perpaduan dalam kepelbagaian kaum. Selain dari memerintahkan serta menganjurkan agar berlaku adil, Islam juga mengharamkan kezaliman sekeras-kerasnya dan menentangnya habis-habisan, sama ada kezaliman itu adalah kezaliman terhadap diri sendiri atau orang lain. Paling keras jika kezaliman itu dilakukan oleh golongan yang kuat ke atas golongan yang lemah, golongan yang kaya ke atas golongan yang miskin dan kezaliman pemerintah ke atas orang yang diperintah. Semakin manusia itu lemah maka semakin besarlah dosa orang yang menzaliminya. Antara bentuk keadilan yang paling jelas yang ditegaskan oleh Islam ialah apa yang kita kenali di zaman moden ini sebagai "keadilan sosial". Keadilan sosial bererti keadilan dalam membahagikan kekayaan, memberi peluang secukupnya kepada anak bangsa, memberi kepada para pekerja hasil titik peluh mereka tanpa diselewengkan oleh mereka yang berkuasa serta berpengaruh di kalangan mereka, mendekatkan jurang yang luas antara individu dan kumpulan manusia dengan membataskan kerakusan orang-orang kaya serta berusaha untuk mengangkat mertabat orang-orang miskin. Sejak merdeka, kerajaan Malaysia telah menggubal pelbagai dasar untuk mencapai tahap keadilan sosial yang maksimum agar setiap rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dapat hidup aman dan harmoni. Pendekatan evolusi dalam usaha memantapkan nilai-nilai Islam dalam sistem pentadbiran dan pengurusan negara senantiasa diteruskan. Pendekatan ini tidak menjejaskan kestabilan masyarakat. Perkongsian kuasa secara syura yang digunakan sejak merdeka, memang menjadi nadi dalam kerajaan Islam, seperti yang ditunjukkan oleh Rasullullah s.a.w di zaman kerajaan Madinah. Ketika itu, kehadiran Yahudi turut diambil kira dan cara ini telah membolehkan kerajaan ditadbir dengan cara lebih selesa. Dalam konteks kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia, masyarakat bukan Islam perlu diberi perhatian dan dijaga. Malah setiap tindak tanduk kita hendaklah tidak menimbulkan rasa tidak selesa hingga menjejaskan ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat. Keupayaan pelbagai kaum untuk duduk semeja dalam merancang pembangunan negara adalah satu perkongsian kuasa yang bijak dan memberi manfaat dan faedah kepada pembangunan negara. Ketenteraman ini penting bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan yang serius untuk melaksanakan gagasan 1Malaysia yang bermatlamatkan ‘rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'. Pengiktirafan yang diterima oleh Malaysia daripada masyarakat Antarabangsa khasnya negara-negara Islam adalah amat jelas memperlihat kejayaan negara sebagai sebuah negara Islam yang berjaya melaksanakan dan mengendalikan keperluan umat Islam dan penganut agama lain secara adil. Kita telah mendahului negara-negara Islam lain dalam memenuhi tuntutan Islam sebagai cara hidup merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Demi meastikan pencapaian ini terus berkekalan, setiap lapisan masyarakat mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan kerajaan yang dipilih betul-betul faham dan serius mendukung pengiktirafan ini.
Soalan 2
Hubungan antara faktor politik dan agama di Malaysia.ANTARA POLITIK DAN AGAMA TIDAK DAPAT DIPISAHKAN Dalam kehidupan seharian, setiap benda yang bernyawa mahupun yang tidak bernyawa mempunyai saling kaitan antara satu sama lain. Hal-hal seperti agama dan politik tidak terkecuali dalam hal ini. Politik merangkumi makna yang cukup luas. Bukan sahaja tertumpu kepada aspek pentadbiran dan kenegaraan semata-mata, malahan hubungan sesama manusia dan juga kehidupan seharian juga dikatakan sebagai politik. Pendek kata , apa sahaja yang kita lakukan adalah politik. Kita mungkin keliru memikirkan apa yang dimaksudkan sebagai politik itu. Akan tetapi inilah hakikat yang sebenarnya . Agama sebagai satu kepercayaan dan pegangan merupakan tunjang kepada semua aspek kehidupan termasuklah aspek politik . Apa sahaja yang kita lakukan perlulah mengikuti jalan-jalan yang disyorkan oleh agama. Jika ianya bertentangan , sudah pasti akan terdapat masalah dan kerumitan yang bakal timbul. Sebagai lanjutan, politik bertolak daripada aqidah dan juga berasaskan tasawur yang tetap dan syumul. Dari sinilah, Islam tidak terpisah daripada politik dan politik tidak tersisih daripada agama . Hakikat inilah yang melahirkan suatu ungkapan yang menggambarkan suatu rumusan yang diakui oleh umat Islam secara ijma’ : Islam din wa Dawlah.11 Apa yang ada dalam agama sehingga menyebabkan politik tidak tersisih daripadanya? Hal yang demikian mungkin menyebabkan kita tertanya-tanya . Di dalam agama terdapat aqidah yang mendukungnya. Aqidah merupakan asas dalam agama . Jika aqidah itu pincang , maka pincanglah agama itu.