Soalan 1
Hubungan antara agama dan etnik di Malaysia.Di Malaysia, berkongsi sambutan perayaan merupakan fenomena biasa dan merupakan salah satu medium untuk mendedahkan pemahaman antara agama dan budaya masyarakat yang berbilang kaum di negara ini. Selaras dengan gagasan 1 Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri najib Tun Razak yang bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara kaum di Malaysia. Dialog Antara Agama Mantan Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengulas mengenai konsep berdialog antara agama yang dicadang untuk dilaksanakan di Malaysia. Ujar beliau masyarakat Malaysia masih lagi berfikiran konservatif dan tidak selesa dengan idea dialog antara agama ini dan masa yang lama adalah perlu untuk menerapkan konsep ini kepada rakyat berbilang kaum. Mantan Perdana Menteri yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah mencadangkan kepada seluruh agama di dunia untuk berdialog secara terbuka terutamanya bagi menghapuskan salah tanggap terhadap kepercayaan masing-masing khususnya Islam. Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya wajar menyahut seruan Perdana Menteri kita sendiri. Umat Islam wajar mengusahakan momentum ke arah itu. Usaha mendidik masyarakat untuk berdialog adalah perlu. Dialog boleh merangkumi aspek-aspek keagamaan mahupun isu-isu sosial. Sistem Pendidikan Terdapat pelbagai kaedah yang boleh di implimentasikan, antaranya melalui sistem pendidikan negara dan peranan media massa dalam menyebarkan maklumat yang sahih dalam usaha untuk menghilangkan rasa tidak selesa masyarakat terhadap kepercayaan agama lain. Punca utama timbul salah faham antara masyarakat adalah disebabkan kurangnya pengetahuan terhadap sistem kepercayaan agama lain. Perkara ini boleh menyumbang kepada sikap prejudis terhadap sesuatu agama dalam kehidupan. Institusi pengajian tinggi wajar melaksanakan satu subjek yang memperkenalkan kepada pelajar setiap agama-agama yang wujud di dunia. Dengan cara ini, minda pelajar-pelajar dapat dibuka terhadap sesebuah agama untuk memastikan dialog antara agama tercapai di masa hadapan. Bagi menangani perkara ini, kerajaan telah mengambil langkah dengan mewajibkan semua pelajar untuk mengambil subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) untuk membekalkan pelajar dengan ilmu mengenai sesebuah tamadun dan agama. Walaubagaimanapun, dialog antara agama wajar ditambah dalam mata pelajaran Titas bagi melahirkan pelajar dengan keyakinan yang cukup untuk berdialog dan mengemukakan hujah bernas untuk membetulkan tafsir dan kekeliruan yang menjadi dilema penganut agama lain terhadap agama Islam. Islam Hadhari dan Dasar Islamisasi Islam Hadhari yang dicanangkan oleh Tun Abdullah juga mempunyai kaitan yang kuat dalam hubungan antara agama dan juga pelaksanaan dialog antara agama di Malaysia. Pelaksanaan dasar Islamisasi oleh kerajaan pada tahun 1982 telah membuatkan penganut agama lain risau berkenaan hak kebebasan beragama sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Mereka telah melaksanakan pelbagai agenda sehingga tertubuhnya Majlis Perundingan Agama-Agama Malaysia sebagai platform untuk menyuarakan tuntutan kepada kerajaan. Hal ini berikutan kegagalan pihak kerajaan untuk menerangkan keseluruhan dasar tersebut kepada masyarakat bukan Islam. Dengan pelaksanaan Islam Hadhari, proses dialog antara kerajaaan dengan seluruh masyarakat terutama bukan Islam harus berjalan dengan lancar. Segala maklumat mengenai Islam Hadhari akan difahami dengan jelas dan segala salah faham dapat dielakkan. Disebabkan pelaksanaan Islam Hadhari yang dijalankan oleh kerajaan masih belum jelas, para penyelidik dan ahli akademik harus menjalankan penyelidikan dan mengadakan pendekatan menyeluruh. Antara perkara-perkara penting yaang wajar dijadikan dasar kajian adalah seperti aspek budaya, kepercayaan dan agama. Semua faktor ini mampu memupuk sikap saling menghormati di antara masyarakat berbilang agama, bangsa dan budaya di negara ini. Dialog antara agama merupakan medium baru dalam berdakwah kepada kaum lain di samping medan untuk mencapai perpaduan dan kedamaian dalam negara yang berbilang agama, bangsa dan budaya seperti di Malaysia.
Soalan 2
Hubungan antara faktor politik dan agama di Malaysia.Agama dan politik adalah dua perkara penting dalam kehidupan manusia. Namun, agama dan politik juga sering mengundang perdebatan dan polemik. Justeru, ada dalam kalangan kita mahu mengelak daripada berbicara mengenai agama dan politik kerana ia boleh membawa perbalahan dan perbezaan pandangan yang akhirnya menjurus kepada konflik. Bagaimanapun, kita tidak dapat mengelak daripada menyentuh soal agama dan politik dalam kehidupan. Agama dan politik umpama darah daging yang meresapi tubuh badan manusia. Majoriti manusia mempunyai pegangan agama dan pendirian politik masing-masing. Mungkin hanya segelintir yang tidak memilih mana-mana agama dan menolak politik secara mentah-mentah. Pada era globalisasi dan dunia tanpa sempadan, identiti semakin kabur. Manusia adalah warga dunia yang sering terdedah dengan interaksi dan pengalaman global. Banyak pihak percaya globalisasi mengikis identiti agama kerana nilai umum dan sejagat semakin diterima. Globalisasi perkukuh identiti agama Namun, dari satu sudut lain, globalisasi juga memperkukuhkan identiti agama dalam kehidupan manusia khususnya Islam. Buktinya, apabila identiti agama semakin dikaburkan dengan nilai umum dan sejagat seperti demokrasi dan hak asasi manusia, manusia mencari semula dan menonjolkan agama sebagai ciri dan identiti mereka. Dalam erti kata lain, agama menjadi semakin penting oleh penganutnya sebagai satu cara dan kaedah membezakan dengan penganut yang lain. Apatah lagi, nilai umum dan sejagat yang dijaja atas nama demokrasi dan hak asasi manusia mengancam identiti dan jati diri asal mereka. Usaha memperjuang dan memperkukuh kedudukan agama sering menjadi faktor yang boleh mencetuskan polemik, lebih-lebih lagi ia mencabar kepercayaan agama lain yang secara kebetulan membawa faham dan pemikiran berbeza dan cenderung kepada perjuangan liberal. Malaysia adalah contoh terbaik bagaimana sensitiviti agama semakin kuat dalam konteks globalisasi. Menariknya, geseran antara agama ini berlaku bukan disebabkan perkara pokok, tetapi hal cabang. Mutakhir ini kita dikejutkan dengan bantahan masyarakat Islam di Taman Medan di Petaling Jaya yang menuntut agar tanda salib besar di premis itu diturunkan. Bantahan itu dibuat atas alasan tanda salib itu boleh mencabar akidah dan kepercayaan majoriti penduduk kawasan itu yang beragama Islam. Peristiwa ini jelas menggambarkan bagaimana rapuhnya hubungan antara agama di Malaysia jika ia tidak ditangani dengan bijaksana. Soal kecil dan boleh diselesaikan dengan kefahaman ilmu berpotensi menjadi barah dalam masyarakat jika usaha menangani perbezaan agama tidak giat dilaksanakan. Selain agama, politik juga sering menjadi bahan pengukuh yang membezakan manusia. Malangnya, politik lebih dinilai dari kaca mata parti politik dari melihatnya secara lebih terbuka. Polarisasi politik ini menjadi semakin serius apabila semua perkara dipolitikkan secara sempit sehingga mahu bercakap soal Islam dan Melayu pun dikaitkan dengan parti politik. Malah, kegiatan politik di negara ini tidak lagi berlandaskan ilmu politik, sebaliknya emosi dan amarah yang memperkukuhkan perbezaan fahaman politik dalam masyarakat. Terlalu banyak slogan cuba dicadangkan pemimpin politik seperti politik budiman dan sebagainya, namun politik tetap dinilai dari kaca mata parti politik yang sempit. Memelihara peranan agama dan politik amat penting dalam memastikan kehidupan manusia yang harmoni. Justeru, Islam memperakukan agama dan politik tidak boleh dipisahkan. Konsep din wa daulah atau agama dan politik ini disokong oleh beberapa ulama dan pemikir Islam, antaranya Imam Al-Ghazali yang menyifatkan hubungan antara agama dan politik umpama dua sisi dalam satu syiling. Urus kepelbagaian Selain Islam, kepercayaan lain pastinya turut mempunyai pendirian sama, iaitu mahu memastikan kehidupan manusia perlu dilandaskan dengan kebaikan agama dan kejelasan tadbir urus kehidupan. Wacana dan perbincangan secara ilmiah perlu dipergiatkan dalam menyokong usaha mewujudkan keharmonian dalam masyarakat. Bagi merancakkan kefahaman masyarakat Malaysia yang berbilang kaum mengenai perbezaan agama dan politik ini, seminar 'Government and Civilization 2 (SOGOC 2)' anjuran Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan diadakan pada 10 dan 11 Ogos 2015 ini. Ia diharapkan memberi ruang untuk pelbagai pihak mencari jalan bagaimana menguruskan kepelbagaian ini dengan lebih efektif. Kesefahaman melalui program ini dijangka dapat mengurangkan bibit prasangka dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Diharapkan idea baharu yang diketengahkan dalam seminar ini nanti akan dapat diambil perhatian oleh pihak berwajib dan berkepentingan sebagai dasar awam dan dasar memelihara keharmonian negara.