Nur Syukriyah Idris's 7.A1 : Perbincangan 1 - OpenLearning

Soalan 1

Bincangkan perbezaan antara agama dan penganutnya. Misalnya, antara Hindu dan Hinduisme, Muslim dan Islam, dan sebagainya.
Agama Islam Allah adalah Esa (tunggal), Allah yang menjadi tempat bermohon. "Dia tidak berputera dan tidak diputrakan dan tidak ada seorang pun yang serupa denganNya." (QS. Ikhlas:1-4) " Tiada Tuhan (yang wajib disembah) kecuali dia yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang " (Q:S al-Baqarah:163) Mentauhidkan atau mengesakan Allah SWT sebagai Tuhan yang satu dan tiada sekutu bagi-Nya. Kaedah mentauhidkan Allah adalah dengan cara Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah, Tauhid zat, Tauhid sifat dan Tauhid af'al. Dalam rukun Iman Islam menuntut kepada umatnya supaya mentauhidkan Allah SWT. Beriman kepada Allah iaitu mempercayai kewujudan dan keesaan Allah, baik dalam kekuasaNya mahupun dalam hal-hal menyembah kepadaNya. Kemurnian dan keikhlasan iman perlu kepada pengakuan dan persaksian melalui konsep syahadah iaitu bersaksi bahawa tiada Tuhan yang wajib disembah melainkan Allah SWT. Yang Maha Agung, Maha Berkuasa, Maha Mencipta dan Maha diatas segala sesuatu, serta mengakui sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruNya. Ini adalah perkara yang paling utama (dalam rukun Islam) yang perlu ditunaikan untuk menjadi seorang muslim yang beriman. Allah sebagai khalik (pencipta :Fathir:3). Sedangkan manusia sebagai makhluk Allah wajiblah tunduk, patuh, taat dan memperhambakan diri hanya kepadanya sahaja (An Nisa’:59). Allah telah memilih agama Islam sebagai agama yang hak. SyariatNya itu disampaikan oleh orang-orang yang terpilih (para nabi dan para rasul). Rasul yang paling agung iaitu Muhammad s.a.w. Beliaulah yang telah menerima wahyu dariNya yang dinamakan al-Quran (ia bukan ciptaan manusia, kekal sifatnya, syumul dan mengandungi kemurnian muthlak). Oleh itu, agama Islam akhirnya dinamakan dengan agama wahyu. Allah Maha Kuasa. Makhluk tiada daya dan tiada kekuatan sama sekali, kecuali dengan bantuan pertolongannya. Allah mencipta segala sesuatu cukup dengan menyebut "KUN" maka jadilah ia. Ulama tauhid ada yang menafsirkan bukan bererti setiap menjadikan sesuatu Allah perlu menyebut "KUN" Namu ia menunjukkan sesungguhnya hanya Allahlah yang layak mencipta. Allah bersifat Qadim, sedangkan alam bersifat baharu. Dalam ilmu mantik, perkara ini diuraikan dengan panjang lebar iaitu menghukum secara kulli dengan menyusun qadhiah-qadhiah yang akhirnya menghasilkan natijah (kesimpulan) yang lojik dan rasional. " Alam (manusia, haiwan, bumi, tumbuh-tumbuhan dll) adalah baharu, setiap yang baharu adalah berubah-ubah. Jadi natijah pada qadhiah yang pertama" alam adalah berubah-ubah". Dan setiap yang berubah-ubah adalah selain daripada Allah "natijah yang kedua" kerana Allah bersifat Qadim iaitu tiada pendahuluan dan tiada pengakhiran (kekal selamanya). Agama Kristian Mereka percaya dan yakin kepada Tritunggal (trinity) iaitu Tuhan mempunyai 3 oknum yang terdiri daripada Tuhan Bapa (Allah), Tuhan Anak (Isa) dan Rohul Kudus. Tuhan Bapa ialah pencipta alam sejagat dan tinggal di syurga. Tuhan Anak ialah Isa yang diutus kedunia untuk disalib sebagai penebus dosa-dosa orang-orang Kristian. Roh Kudus pula ialah roh suci dari Allah yang menyerap masuk kedalam para penulis Injil dan para pendeta. Filsafat ketuhanan yang demikian boleh disebut disebut monotheisme, sebab oknum kedua dan ketiga merupakan sebahagian daripada Tuhan (Allah) Bapa. Boleh disimpulkan, Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Rohul Kudus mempunyai zat, sifat dan perbuatan yang sama. Agama Budha Pada peringkat awal pengikut setia agama ini tidak mengakui kuasa dan Kewujudan Tuhan (tiada konsep Tuhan). Bahkan ada yang berpendapat, agama Budha sama dengan aliran Ateisme. Mereka tidak menyembah Budha. Hatta menganggap Budha sebagai guru dan orang yang bijaksana kerana ajaran yang diperkenalkannya boleh diterima oleh masyarakat pada sesuatu tempat dan bersesuaian dalam kehidupan mereka. Budha mengenepikan pembicaraan mengenai Tuhan. Dia mengelakkan segala apa yang berhubung dengan perbahasan-perbahasan ketuhanan dan metafizik atau tentang perkara-perkara halus mengenai alam, kerana dia berpendapat bahawa pelepasan manusia adalah bergantung kepada dirinya sendiri, bukan kepada Tuhan. Seruannya adalah cerita tentang pengalamannya dan tentang jalan yang diikutinya. Dia berkata bahawa kebenaran (hak) itu tiada dapat diketahui dengan pendapat-pendapat (teori-teori) tetapi ia dengan melalui jalan yang menuju kepadanya. Agama Hindu Tuhan itu tidak tunggal (Trimurti). Mengakui kepada kuasa Tuhan dan setiap Tuhan mempunyai kuasa yang berlainan. Trimurti adalah mempercayai wujudnya tiga Tuhan yang terpenting. Ia adalah Brahma iaitu Tuhan pencipta. Manakala Vishnu adalah Tuhan Memelihara dan Shiva adalah Tuhan Pemusnah. Kesimpulan Daripada uraian diatas, jelas nampak sekali perbezaan tentang konsep ketuhanan menurut Islam dengan agama lain. Islam hanya ada satu Tuhan yang wajib disembah, tidak beranak, tidak serupa dengan selainnya dan agamanya bersifat wahyu iaitu bersumberkan al-Quran (kalamNya) dan al-Hadis (Wahyu dariNya melalui seorang Rasul s.a.w.) erti kata lain, semuanya bukan ciptaan manusia. Sedangkan Agama lain tentang konsep Tuhan sumbernya tidak jelas, lebih bersifat mitos, berbentun mimpi, banyak yang direka-reka dan kesemuanya hasil ciptaan manusia yang tidak pasti kebenaran dan kemurnian fakta dan datanya. Misalan agama Kristian mendakwa kononnya Isa a.s. adalah anak Tuhan. namun dalam Injil yang asli dan perjanjian lama, Isa a.s. tidak pernah mengaku dirinya adalah Tuhan. Sedangkan dalam agama Hindu pula, Penganutnya menyembah Tuhan Shivah kerana mereka takut kepadanya bukan kerana yakin, percaya dan taat, tapi kerana menurut kepercayaan mereka Tuhan Shiva adalah Tuhan Pemusnah. Dan yang peliknya konsep Tuhan "Trimurti" dalam agama Hindu dan konsep Tuhan "Trimurti" dalam agama Kristian tidak dapat difahami dengan jelas maksudnya dan tidak boleh dibuktikan kebenarannya sekalipun oleh Rahib-rahib dan Pendeta-pendeta mereka itu sendiri. Untuk yang tidak mempercayai tuhan kerana tidak melihat, ini jawapannya. Bukan semuanya kita boleh lihat dengan mata. Lihatlah langit dan bumi terjadi dengan ciptaan Allah, tidak mungkin langit dan bumi jadi dengan sendiri. Bagaimana kita tahu langit dan bumi terjadi dengan sendirinya sedangkan kita belum wujud lagi ketika ada langit dan bumi diciptkan oleh Allah. Jika kita mengkaji al-Quran pasti kita akan nampak bukti-bukti kewujudan Allah Pencipta Sekelian Alam. Contohnya, kita tahu ada udara tetapi adakah kita melihat udara? Kita tidak dapat melihatnya, bagaimana kita hendak melihat Allah dengan mata yang dicipta oleh-Nya. Satu contoh yang lain, ada satu guru atisme (tidak percaya tuhan) bertanya kepada murid didalam kelas, adakah murid-murid ]melihat kapur ini?Jawab murid-murid melihat..Guru tadi menjawab kapur wujud, kemudian guru bertanya lagi, adakah murid-murid melihat papan tulis ini?Jawab murid-murid melihat..Guru tadi menjawab papan tulis wujud, kemudian guru bertanya lagi, adakah murid-murid melihat Allah?Jawab murid-murid tidak melihat..Guru tadi menjawab Allah tidak wujud tetapi seorang murid bangun bertanya adakah kita melihat akal guru? Murid-murid menjawab tidak, murid tadi berkata guru tidak mempunyai akal. Kesimpulannya kita tidak dapat melihat Allah dengan mata kita. Akal itu, ciptaan Allah yang tidak dapat dilihat dengan mata kita, bagaimana kita hendak melihat Allah, Pencipta sekelian alam. Oleh itu, cuma agama Islam agama yang benar, pengkaji barat pun mencari kota lama dengan al-Quran, mengapa tidak menggunakan cara lain sebagai sumber rujukan? Al-Quran tidak pernah menipu kita kerana ia daripada Allah. Oleh itu saudaraku, marilah kita sayangi agama Islam dan kita mengamalkan ajaran Islam dengan sebenarnya kerana kita sudah berada dijalan yang benar.

Soalan 2

Bincangkan bagaimana budaya setempat mempengaruhi amalan agama  masyarakat.
Bahasa dan budaya Melayu sebagai asas kepada pembentukan tamadun Malaysia. Oleh itu kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti nilai-nilai budaya masyarakat Melayu yang berteraskan kepada nilai-nilai agama Islam. Aspek nilai-nilai yang dikaji boleh dilihat dalam kehidupan masyarakat Melayu. Kajian ini memilih nilai budaya masyarakat Melayu dalam asas pembentukan negara bangsa kerana terdapat unsur-unsur nilai yang penting. Walaupun negara Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan, namun kajian ini menitikberatkan nilai budaya masyarakat Melayu. Dalam dunia sekarang, nilai-nilai ini seakan-akan tercabar dengan kehadiran pelbagai pengaruh dari luar. Perubahan demi perubahan memberi kesan yang amat mendalam dalam nilai-nilai budaya masyarakat Melayu. Hasil kajian ini didapati daripada pelbagai bahan ilmiah dan rujukan yang berkaitan dengan nilai budaya masyarakat Melayu. Dapatan kajian menunjukkan bahawa asas kepada pembentukan negara bangsa Malaysia adalah pengaruh agama Islam. Kedatangan agama Islam ke Alam Melayu menjadikan bahasa dan budaya Melayu menjadi semakin penting. Secara khusus, Islam dan adat Melayu menjadi salah satu struktur terpenting kemelayuan dalam tamadun Malaysia. Nilai bahasa dan budaya masyarakat Melayu perlu dipelihara dan dikembangkan untuk membentuk dan meneruskan masyarakat Malaysia yang harmoni dan sejahtera. Konsep Melayu yang digunakan dalam konteks yang lebih luas sebagai penduduk asal di alam Melayu ini adalah berasaskan kepada idea yang dapat dikesan kepada sejarah peradaban Melayu itu sendiri. Dengan kepelbagaian kelompok sosial dan sub budaya yang membina masyarakat dan budaya Melayu yang lebih luas itu telah memberikan kekuatan yang menyatakan kekayaan khazanah budaya Melayu. Istilah Melayu merujuk kepada tiga pengertian atau dimensi yang berbeza, iaitu ras (genetik atau biologi), kebudayaan dan bahasa. Ras Melayu merujuk kepada sekumpulan manusia yang memiliki ciri-ciri genetik yang sama dan yang berasal dari alam Melayu. Kebudayaan Melayu merujuk kepada pegangan dan amalan yang didasarkan kepada agama Islam dan adat resam masyarakat Melayu. Bahasa Melayu adalah bahasa yang dituturkan di seluruh Kepulauan Melayu. Ia merangkumi subkeluarga seperti bahasa Jawa, Sunda, Madura, Acheh, Minangkabau, Sasak, Melanau, Iban, Bajau, Murut, Bugis dan Sulu. Selepas kedatangan Islam bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa terpenting di dunia (Osman Bakar, Azizan Baharudin, dan Zaid Ahmad, 2009: 63-64). Masyarakat Melayu sudah bertapak di kawasan Asia Tenggara sekurang-kurangnya 5,000 tahun dahulu. Amalan bermesyuarah dalam masyarakat Melayu diamalkan bersesuaian dengan cara kehidupan masyarakat yang menekankan nilai kesaksamaan antara ahli-ahlinya. Amalan ini lazimnya diamalkan dalam kalangan masyarakat desa manakala masyarakat bangsawan dan istana, raja atau sultan berkuasa mutlak. Selain daripada kemunculan nilai-nilai yang dibentuk sendiri dalam budaya Melayu, nilai-nilai baru juga diterima daripada interaksi dengan masyarakat luar. Perkembangan masyarakat Melayu selalu dikaitkan dengan kerajaan-kerajaan awal Melayu seperti Kerajaan Lembah Bujang (Kedah Tua), Kerajaan Srivijaya, Kerajaan Majapahit, Kerajaan Melayu Melaka, Kerajaan Kesultanan Johor dan seterusnya. Nilai-nilai masyarakat Melayu tergambar dalam setiap perkembangan kerajaan-kerajaan Melayu. Kedatangan agama Hindu, Buddha dan Islam telah memantapkan lagi nilai-nilai yang sedia ada. Pandangan Semesta Alam Masyarakat Melayu Bagi mengkaji nilai dalam budaya masyarakat Melayu, adalah penting untuk melihat secara ringkas pengaruh-pengaruh yang membentuk budaya masyarakat Melayu. Sebelum kedatangan Islam, agama Hindu atau Buddha telah bertapak di dalam kehidupan masyarakat di Kepulauan Melayu. Pengaruh agama Hindu atau Buddha telah memberi kesan yang amat dalam dan kuat terutama sekali dalam sistem politik, sosial, ekonomi dan pemikiran masyarakat Melayu. Kedatangan Islam dikatakan telah memantapkan keseluruhan Pandangan Semesta Melayu. Pandangan dunia Melayu (Malay World view) dilihat dari pelbagai aspek iaitu merangkumi pandangan terhadap: (Nadiah Abdul Rahman dan Priscilla Law Nguik Hung, Tamadun Islam dan Asia, 2008: 57) a) Alam nyata yang meliputi pandangan dan cerapan (persepsi) terhadap objek alam seperti laut, sungai, hutan dan gunung. b) Alam ghaib yang meliputi makhluk ghaib, alam selepas mati dan konsepsi kuasa atau tenaga dalam alam seperti semangat, nyawa dan roh. c) Sesama manusia yang meliputi pandangan terhadap orang lain dalam rangka hubungan kita-mereka (we-they) Dalam budaya masyarakat Melayu, pelbagai upacara agama dilakukan yang menggambarkan interaksi manusia dengan kuasa ghaib. Penggunaan pelbagai lambang seperti bulan bintang juga melambangkan hubungan manusia dengan agama Islam. Cerita penglipur lara juga tidak hilang dalam budaya masyarakat Melayu. Amalan berpantun, pepatah, perbilangan dan sebagainya menggambarkan kebudayaan Melayu yang tinggi nilainya. Sebelum kedatangan agama Islam, masyarakat Melayu mengamalkan kepercayaan animisme dan dinamisme. Animisme adalah percaya kepada setiap benda ada jiwa, roh dan semangat. Dinamisme pula, kepercayaan kepada tenaga yang ada dalam roh, jiwa dan semangat dalam diri manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan atau benda-benda yang boleh mendatangkan kesan baik dan buruk. Kedatangan Hindu atau Buddha telah menjadikan upacara keagamaan masyarakat Melayu lebih rapi dan formal. Kesan yang jelas sekali ialah pemisahan golongan raja, para bangsawan, golongan agama dan rakyat jelata. Dan ini telah menular dalam budaya masyarakat Melayu. Kedatangan agama Islam telah memberi jawapan terhadap kejadian alam, memantapkan keseluruhan pandangan semesta Melayu dan tertumpu kepada Tuhan (God-Centered) (Nadiah Abdul Rahman dan Priscilla Law Nguik Hung, Tamadun Islam dan Asia, 2008: 60) Budaya masyarakat Melayu terbina dengan semulajadi sejak awal lagi. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh agama Hindu atau Buddha dan agama Islam telah mengukuhkan lagi sistem kepercayaan, kebudayaan dan kesenian masyarakat Melayu. 314 Pengaruh Agama Islam Dalam Masyarakat Melayu Kedatangan Islam telah banyak mencorakkan suasana masyarakat Melayu. Kesan dan pengaruh kedatangan Islam dalam kebudayaan Melayu dapat dilihat dalam pelbagai aspek seperti, akidah, politik, sosial, undang-undang, ekonomi, kesenian, bahasa dan sastera serta pendidikan. Nilai-nilai keislaman dalam budaya Melayu amat jelas sekali. Agama Islam telah mengubah bentuk kepercayaan, corak hidup dan pandangan semesta masyarakat Melayu. Kepercayaan kepada dewa dan animisme bertukar keada kepercayaan kepada Allah S.W.T dan rasul-Nya. Walaupun Islam telah bertapak kuat alam kehidupan masyarakat Melayu, ini tidak bermakna kepercayaan animisme dan Hindu-Buddha berjaya dikikis sepenuhnya daripada kehidupan masyarakat Melayu. Masih terdapat banyak petunjuk yang menggambarkan masyarakat Melayu terpengaruh dengan unsur-unsur sebelum kedatangan Islam. Proses Sosialisasi dan Pembudayaan dalam masyarakat Melayu Sosialisasi merujuk kepada proses mempelajari aspek-aspek kemasyarakatan atau perkara-perkara yang diamalkan dalam masyarakat supaya seseorang itu dapat berfungsi dalam masyarakatnya. Pembudayaan (enculturation) merujuk kepada proses penerapan unsur-unsur budaya supaya seseorang bertindak dalam lingkungan peraturan, norma dan nilai masyarakatnya. (Nadiah bt Abdul Rahman dan Priscilla law Nguik Hung, 2008:70). Kedua-duanya bertujuan mengekalkan kesinambungan budaya Melayu. Keutamaan orang Melayu dalam proses sosialisasi dan pembudayaan ialah pembentukan jati-diri serta peribadi Melayu yang baik, berakhlak dan berbudi. Proses ini telah menanam nilai budaya yang kuat dalam masyarakat Melayu. Antara agen yang penting dalam proses ini ialah keluarga, kelompok, sekolah sekular dan agama, maktab-maktab dan universiti-universiti. Pembentukan budaya masyarakat Melayu mempunyai asas yang kukuh. Asas utama ialah agama Islam. Masyarakat Melayu akan mengazankan (membacakan kalimah azan) kepada bayi lelaki dan mengqamatkan bayi perempuan (membacakan kalimah qamat). Budaya ini telah dilakukan sejak kedatangan Islam ke Alam Melayu sejak dahulu lagi. Tujuannya ialah untuk memperdengarkan seruan azan, kalimah syahadah dan untuk meniupkan roh dan semangat Islam kepada bayi. Asas kedua pula ialah mengamalkan dan mengekalkan adat turun menurun. Ini adalah amalan yang dilakukan sekian lama atas pengaruh Islam dan Arab. Konsep adat memancarkan hubungan mendalam serta bermakna antara manusia dengan alam sekitarnya, termasuk alam tabii, alam sosial dan alam ghaib. Gabungan Islam dan adat terdapat dalam semua upacara kitaran hidup masyarakat Melayu seperti mencukur rambut, turun tanah atau mencecah tanah, membela mulut serta berkhatan. Antara unsur-unsur Islam yang diterapkan secara berterusan ialah kanak-kanak diajar konsep dosa, pahala, haram dan halal. Begitu juga dengan kanak-kanak diajar sembahyang, berpuasa dan mengaji al-Quran. Kesemua ini telah membentuk nilai budaya masyarakat Melayu yang tinggi sehingga kini. Terdapat beberapa daya kreativiti budaya masyarakat Melayu yang dapat dilihat melalui penggubalan peribahasa dan kata perbilangan yang bertujuan sebagai panduan, teladan dan sempadan dalam proses sosialisasi. Contohnya: i. Seperti ayam mematuk anaknya ii. Tatkala rebung hendak dilentur jangan dinantikan menjadi aur iii. Bapa borek anak rintik iv. Seperti ketam mengajar anak berjalan lurus v. Bapa kencing berdiri, anak kencing berlari Pemikiran Masyarakat Melayu Pemikiran adalah perilaku penyelesaian masalah. Manusia mula berfikir sebagai daya usaha untuk penyesuaian diri dengan alam sekeliling. Kenyataan ini amat relevan dalam konteks pemikiran Melayu tradisional. (Che Ibrahim Salleh, Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu, 2008: 35). Masyarakat Melayu mengalami perubahan alam pemikiran secara evolusi bermula dengan pegangan kepada konsep kepercayaan Paganisme, Animisme, Hindu, Buddha, Islam, dan sekularisme. Dalam hal ini, pegangan masyarakat Melayu turut dipengaruhi oleh konsep-konsep kepercayaan tersebut. Perubahan ini menunjukkan alam pemikiran Melayu terbuka. Seandainya proses penyesuaian tidak dilakukan, mungkin berlaku pertentangan dan konflik budaya akan menyebabkan berlakunya permusuhan dan penolakan terhadap konsep yang cuba diterapkan. Kedatangan Islam ke alam Melayu telah membawa unsur rasionalisme dan intelektualisme ke dalam penghidupan masyarakat Melayu. Perubahan yang jelas sekali ialah mengubah kepercayaan masyarakat Melayu dari kepercayaan yang mempersekutukan Allah kepada agama mentauhidkan Allah. Islam sebagai agama sejagat yang merangkumi keseluruhan cara hidup, sudah tentu membawa perubahan keseluruhan pemikiran masyarakat Melayu. Demikianlah hubungan Islam dengan masyarakat Melayu ketika awal kedatangannya sehingga meninggalkan kesan dalam jiwa bangsa Melayu. Kini Islam dan Melayu sudah menjadi suatu sinonim yang tidak dapat dipisahkan. Masyarakat Melayu dalam ilmu pengetahuan tidak lagi terkongkong di istana dan kalangan golongan bangsawan, seperti zaman Hindu-Buddha, tetapi disebarkan juga dalam kalangan rakyat jelata melalui pendidikan dan pengajaran di masjid, surau, madrasah dan pesantren. Penumpuan ilmu pengetahuan dan persuratan bukan lagi menekankan aspek estetik, romantik, ketakjuban, daya khayalan dan imaginasi, tetapi kepada yang lebih rasional, akali dan intelektual, cetusan dan dorongan secara langsung daripada al-Quran dan hadis yang menekankan kewarasan, kerasionalan berasaskan akal budi dan ilmu yang sahih dan nyata. Proses ini telah membentuk alam pemikiran masyarakat Melayu termasuk budayanya. Asas Nilai Pembentukan Kebudayaan Melayu Memandangkan kebudayaan mencakupi segala bidang kehidupan manusia, adalah penting untuk membincangkan secara ringkas aspek sosial, politik, adat dan istiadat, serta ekonomi. Aspek ini hampir menerangkan kebudayaan masyarkat Melayu sehingga kini. Aspek sosial meliputi kepercayaan dan agama sejak pra-sejarah hingga kedatangan Islam, struktur masyarakat, perhubungan dan kedudukan wanita dalam masyarakat. Aspek budaya politik termasuklah konsep raja dan kerajaan yang melibatkan asal keturunan raja, kebesaran, taat setia rakyat dan penubuhan sesebuah kerajaan atau negeri serta sistem pemerintahan. Aspek kebudayaan juga menyentuh adat istiadat yang merupakan undang-undang dan peraturan seperti pertabalan, perkahwinan dan kematian. Disini bentuk serta perlaksanaan adat istiadat akan dititikberatkan. Aspek ekonomi merujuk kepada ekonomi tradisional yang sering dikaitkan dengan orang Melayu seperti ekonomi sara diri (secukup hidup). Pendedahan dan penyesuaian masyarakat Melayu dengan budaya baru dari luar telah mengubah nilai budaya mereka. Namun bukan semua yang mengalami perubahan. Aspek kepercayaan animisme masih lagi dikekalkan. Pembentukan jati diri dan peribadi Melayu yang baik, beragama, berakhlak dan berbudi menjadi keutamaan dalam proses sosialisasi dan pembudayaan. Akidah Islam Nilai-nilai yang menjadi asas kepada tamadun Melayu berteraskan kepada nilai-nilai agama Islam. Kesemua nilai tersebut berkait rapat dengan konsep iman yang terdapat dalam agama Islam. Nilai asas ini boleh dilihat dalam ungkapan-ungkapan Melayu seperti peribahasa, perumpamaan dan pepatah-pepatih. Terdapat pelbagai perkara yang boleh dibuat untuk menunjukkan nilai-nilai budaya masyarakat Melayu. Pengaruh kedatangan Islam ke dalam masyarakat Melayu banyak mengubah budaya Melayu. Keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T merupakan perkara yang paling penting dalam agama Islam. Ia melibatkan asas pegangan hidup, pemikiran atau falsafah kepada kehidupan manusia di dunia ini. Mentaati segala yang dituntut dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah S.W.T. adalah sebahagian daripada cara bagaimana orang Melayu mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan. Dalam hal ini, pandangan semesta masyarakat Melayu berunsurkan tradisional disesuaikan dengan dasar-dasar akidah Islam. Ketaatan kepada Sultan dan Menghormati Pemimpin Sejarah masyarakat Melayu berkait rapat dengan kesultanan Melayu. Masyarakat Melayu taat setia kepada Sultan atau Raja sejak turun-menurun yang diikuti dan diajar oleh orang Melayu sehingga ke hari ini. Ini membuktikkan bahawa budaya masyarakat Melayu amat menghormati pemimpin. Nilai ketaatan dan kesetiaan kepada Sultan atau Raja telah menjadi sebahagian budaya orang Melayu. Nilai inilah yang membentuk budaya masyarakat Melayu menjadi orang yang berdisiplin. Dalam agama Islam pemimpin adalah khalifah Allah S.W.T. di muka bumi. Dalam pepatah Melayu: Ada raja adat berdiri, Tiada raja adat mati Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah Biar mati anak, jangan mati adat dan, raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah. Berpegang Teguh kepada Adat Resam Masyarakat Melayu berpegang teguh kepada adat tradisi seperti dilihat dalam amalan hidup seharian. Orang Melayu amat menjaga adat resam termasuk pantang-larang dan adat isitadat yang diwarisi dan diamalkan sejak turun-menurun. Antara adat istiadat yang masih diamalkan seperti adat istiadat menyambut kelahiran, perkahwinan dan kematian. Orang Melayu memahami kedaulatan hukum-hukum adat sejak dahulu lagi dan mematuhinya. Dalam pepatah Melayu ada menegaskan, adat dikelek dan hukum dijunjung. Terdapat beberapa upacara “rites de passage” gabungan unsur Islam dan adat diadakan pada hampir setiap tahap kitaran hidup. Contohnya, sebelum seseorang itu dilahirkan lagi, berbagai-bagai pantang larang diikuti. Ibu yang mengandung dilarang melakukan perbuatan yang buruk atau keji. Dengan berbuat demikian, dipercayai anak yang bakal dilahirkan sedikit sebanyak mewarisi perangai kedua-dua ibu bapaya (yang dilakukan semasa ibu mengandungkannya). Memuliakan yang Tua Dalam masyarakat Melayu, menghormati dan memuliakan orang yang tua adalah satu nilai yang jelaskan sekali berlaku. Nilai ini berkaitan dengan pemahaman masyarakat Melayu bahawa orang yang lebih berusia mempunyai lebih banyak pengalaman berbanding orang-orang muda. Pengalaman adalah sesuatu yang sentiasa dipandang penting dalam masyarakat Melayu. Golongan muda digalakkan merantau untuk mencari pengalaman lain. Dalam konteks Islam, Baginda S.A.W. tidak mengiktiraf umat yang tidak menghormati orang yang tua dan menyayangi orang yang orang muda. Menghormati dan mendengar nasihat orang tua, orang muda tidak akan melakukan kesilapan dan kesalahan dalam hidup mereka. Apa yang penting ialah kerjasama antara orang muda dengan orang tua harus dipupuk untuk menjamin keharmonian masyarakat sekeliling. Saling Menghormati Salah satu nilai budaya orang Melayu tidak memandang rendah kepada orang lain. Orang Melayu saling menghormati orang lain dan bersikap rendah diri. Orang Melayu digalakkan memberi penghormatan terlebih dahulu kepada orang lain. Orang yang tidak membalas penghormatan yang diberi akan dipandang rendah. Meraikan Tetamu Meraikan tetamu merupakan satu nilai yang penting dalam masyarakat Melyu. Mengikut ajaran agama Islam, tetamu hendaklah dilindungi, dimuliakan dan dilayan dengan sebaik mungkin, malah tuan rumah disunatkan berkorban dan tidak mementingkan diri sendiri demi menjaga dan menghormati tetamu. Oleh yang demikian, tetamu sentiasa dipandang baik oleh orang Melayu dan diraikan dengan sebaik-baiknya. Bertimbang Rasa Orang Melayu sentiasa mengutamakan perasaan orang lain dalam pelbagai keadaan. Sikap bertimbang rasa menjadikan masyarakat Melayu tidak mementingkan perasaannya semata-mata. Pemikiran ini memerlukan kita tidak mengikut perasaan sahaja, ia memerlukan pertimbangan perasaan orang lain. Nilai bertimbang rasa ini adalah salah sifat terpuji dalam Islam. Dalam masyarakat Melayu kini, orang muda haruslah meminta kepada orang tua sesuatu yang termampu dan tidak melampau. Begitu juga, dengan permintaan terhadap rakan-rakan, seharusnya rasional dan wajar. Setiap permintaan dan kelakuan harus ada timbang rasa. Budaya inilah yang akan menaikkan masyarakat Melayu. Bersopan Santun atau Berbudi Pekerti Nilai ini membentuk masyarakat Melayu yang penyabar dan penyayang, bersopan santun dan berbudi pekerti adalah sebahagian daripada nilai-nilai tamadun Melayu yang berkaitan dengan beradab (atau civilized). Masyarakat Melayu menganggap bahawa orang yang beradab sebagai halus (atau refined) budi pekertinya, manakala yang tidak beradab dianggap kasar. Sesuai dengan penegasan Nabi S.A.W. bahawa: Baginda diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Islam menganjurkan pengikutnya sentiasa bercakap benar dan melarang pembohongan. Begitu juga di bidang penulisan, terutama dalam konteks laporan berita, isi karya yang dihasilkan mestilah benar dan tidak mengandungi penyelewengan. Ia harus membantu dalam meninggikan pemikiran masyarakat. Dalam berpakaian, selain bersih, Islam juga menekankan pentingnya menutup aurat. Namun, sesetengah orang Melayu/Islam ‘moden’ gemar mengamalkan budaya dedah. Pendidikan moral memang sesuai untuk membentuk masyarakat lain yang sopan. Tetapi, masyarakat Melayu dan Islam amnya amat perlukan pendidikan Islam. Untuk membina masyarakat sopan, kita harus mulakan dari institusi keluarga. Ibubapa memainkan peranan penting kerana merekalah yang bertanggungjawab mendidik anak-anak bangsa menjadi orang berguna. Tugas utama mereka ialah memastikan keharmonian keluarga dan tidak bercerai-berai. Sekitaran yang harmoni dapat merangsang perkembangan mental dan rohani anak-anak mereka. Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak. Misalnya, mereka tidak harus bertengkar di hadapan anak-anak kerana ini akan menjejas jiwa anak-anak mereka. Banyak masalah sosial yang melanda masyarakat berpunca daripada kelalaian ibu bapa mengawasi pergerakan anak-anak mereka. Oleh itu, ibubapa Melayu/Islam perlu menilai kembali pegangan hidup mereka demi mengekalkan citra sopan Melayu. Bekerja bersungguh-sungguh Masyarakat Melayu mementingkan nilai bekerja bersungguh-sungguh. Nilai ini juga sebahagian daripada ajaran agama Islam yang menuntut pekerjaan halal dan kesungguhan bekerja. Mengikut pemikiran ini, hasil pekerjaan kita akan menjadi sebahagian daripada darah daging kita dan juga ahli keluarga kita. Apabila kita melakukan perkerjaan yang haram atau tidak melakukan pekerjaan kita dengan sempurna, perkara yang tidak elok akan menjadi sebahagian daripada diri kita sendiri dan ahli keluarga. Ia mampu untuk membuatkan kita menjadi orang yang tidak elok. Rasulullah S.A.W. menegaskan bahawa Allah S.W.T. amat menyukai mukmin yang tekun dan teliti apabila menunaikan satu-satu pekerjaan yang diamanahkan. Terdapat pemimpin Negara kita yang mengutamakan nilai bekerja bersungguh-sungguh. Antaranya, Perdana Menteri Malaysia Kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau sentiasa mengingatkan masyarakat agar menerapkan nilai ini dalam kerjaya. Bergotong-royong Salah satu nilai budaya masyarakat orang Melayu ialah melakukan sesuatu perkerjaan dengan bergotong-royong kehidupan secara berkumpalan. Gotong-royong diamalkan dalam aktiviti seperti kenduri-kendara, menanam dan menuai padi, membersihkan rumah ibadat dan tanah perkuburan. Masyarakat Melayu kini, masih lagi giat bergotong-royong dalam melaksanakan apa sahaja untuk kepentingan masyarakat sekeliling. Antara sifat masyarakat Melayu ialah dalam membersihkan masjid, surau dan sebagainya. Dalam membersihkan masjid, amalan ini dilakukan sejak awal kedatangan Islam di Alam Melayu. Sifat ini menggambarkan budaya Melayu sentiasa bersatu padu dalam apa jua cabaran dan halangan. Bermesyuarah dan Bermuafakat Nilai masyarakat Melayu iaitu bermesyuarah ataupun bermuafakat adalah cara bagaimana masyarakat Melayu cuba mencapai persetujuan ramai. Orang Melayu selalu menyebut “Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat”. Orang ramai diberi peluang untuk menyuarakan pendapat mereka dan persetujuan dicapai dengan mengambil kira semua pendapat. Sesuai dengan perintah Allah SWT dalam al-Quran : “Supaya sentiasa bermesyuarat dalam semua urusan hidup mereka” (surah al-Syura, ayat 38) Mengutamakan Ikatan Kekeluargaan dan Hubungan Silaturahim Dalam budaya masyarakat Melayu adalah satu perkara penting yang harus diketahui oleh masyarakat kini iaitu mengutamakan ikatan kekeluargaan dan hubungan silaturahim. Ini dapat dilihat daripada amalan gelaran dalam keluarga seperti, datuk, nenek, along, angah, pak cik dan mak cik. Apa yang paling jelas sekali ialah cara bagaimana mengikat hubungan silaturahim orang Melayu. Orang Melayu bersifat bekerjasama dalam mengadakan kenduri kendara dan saling ziarah menziarahi. Amalan ini amat berkesan dalam memupuk ikatan kekeluargaan malah dalam persahabatan. KESIMPULAN Nilai bahasa dan budaya adalah amat penting dalam pembentukan negara bangsa. Adalah penting untuk mempertahankan nilai-nilai yang dimiliki oleh masyarakat setempat. Sebagai sebuah negara bangsa yang masyarakatnya berbilang kaum dan agama seharusnya memiliki pelbagai nilai dan norma. Hal ini dapat diperhatikan dalam perlakuan-perlakuan harian masyarakat setempat. Bahasa dan budaya Melayu merupakan asas bagi pembentukan tamadun Malaysia hingga kini. Masyarakat Melayu amat menitikberatkan perlakuan seseorang dalam meletakkan kedudukannya dalam masyarakat. Seperti yang telah dibincangkan dalam kajian ini, pengaruh agama Islam terhadap masyarakat Melayu amat mendalam sekali. Sehingga membentuk sebuah masyarakat yang memiliki nilai-nilai yang jelas dalam kehidupan harian. Kedatangan agama Islam ke Alam Melayu telah menaikkan martabat bahasa dan budaya masyarakat Melayu sehingga kini. Nilai utama Islam yang berasaskan akidah telah membentuk nilai ketaatan dan keimanan kepada Allah S.W.T. sehingga membentuk nilai-nilai baru dalam budaya Melayu. Dalam membina peradaban bangsa Malaysia menjelang 2020, apa yang pasti ialah budaya dan nilai luhur yang wujud dalam agama Islam dan budaya orang Melayu perlu diperkasakan dan dijadikan sebagai teras kepada pembentukan dan pembinaan bangsa Malaysia dan Negara Malaysia. Ini kerana Melayu pernah membuktikan kepada dunia bahawa mereka pernah mengecapi zaman kegemilangan lantaran berpegang teguh dan menghayati sepenuhnya agama Islam. Dalam konteks negara bangsa, adalah amat penting bagi masyarakat kini menilai dan menghayati kembali nilai-nilai dalam budaya Melayu yang telah menjadi asas dalam pembentukan tamadun Malaysia. Sebagai sebuah negara yang majmuk, seharusnya kerjasama dan toleransi amat penting untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian. Penerapan nilai bahasa dan budaya Melayu perlu dilaksanakan oleh semua pihak dan pelbagai bidang. Walaupun amat dititikberatkan dalam pendidikan Islam dan Moral dalam pembelajaran, namun institusi lain juga harus menerapkan nilai-nilai tersebut. Semua pihak haruslah berganding bahu bagi mengekalkan nilai-nilai budaya yang selama ini menjadi asas bagi keharmonian dan ketamadunan negara Malaysia. Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang Keenam haruslah diiringi dengan penerapaan nilai-nilai budaya Melayu. Begitu juga dengan nilai-nilai budaya masyarakat yang lain. Saling menghormati dan terbuka akan meningkatkan lagi keharmonian masyarakat Malaysia. Oleh yang demikian, adalah satu kepentingan untuk memupuk nilai- nilai budaya masyarakat Melayu kepada masyarakat zaman sekarang supaya dapat mengekalkan kemerdekaan, keamanan dan kesejahteraan masyarakat Malaysia. Untuk mengulangi zaman kegemilangan Melayu ketika dahulu, generasi hari ini perlu kembali memahami dan menghayati agama Islam dalam erti kata yang sebenar kerana Islam adalah dinamik dan progresif.

Comments

Chat