Nurul Hanani UTHM Ssepuluh's 6.A1 : Refleksi Perjuangan Dato Onn - OpenLearning

Pada 1 Mac 1946, sebuah Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress) diadakan di di Kelab Sultan Suleiman, Kuala Lumpur. Disertai oleh kira-kira 200 orang wakil Melayu daripada 41 buah persatuan, kongres itu membincangkan pembentukan gerakan nasional Melayu, serta kempen terselaras untuk menentang Malayan Union. Sebuah jawatankuasa dilantik untuk mendraf perlembagaan untuk penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

 

Pada 1 Mei 1946, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-2 diadakan di Johor Bahru. Dalam kongres itu, pembentukan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dipilih sebagai Presiden pertama. Kongres itu juga mengisytiharkan bahawa perjanjian-perjanjian MacMichael tidak sah dan mendesak bahawa Malayan Union dimansuhkan.

Meskipun penentangan orang-orang Melayu begitu hebat, kerajaan British enggan menarik balik pelakasanaan rancangan Malayan Union. Sebaliknya, kerajaan British mendesak bahawa Malayan Union dilaksanakan dengan segera supaya Pentadbiran Tentera British yang memerintah Tanah Melayu sejak akhir Pendudukan Jepun dapat dibatalkan.

 

Malayan Union diisytiharkan pada 1 April 1946 dengan Edward Gent merupakan Gabernor yang pertama. Bagaimanapun, penentangan terhadap Malayan Union adalah sangat kuat sehingga rancangan itu tidak dapat dikuatkuasakan dengan sepenuhnya. Malah pada majlis perlantikan Edward Gent sebagai Gabernor yang pertama majlis tersebut telah dipulau oleh sultan-sultan Melayu. Ia adalah kesan daripada tindakan orang-orang Melayu yang telah berhimpun di luar rumah tumpangan yang didiami oleh sultan-sultan Melayu yang ingin menghadiri ucapara perlantikan tersebut. Ketika itu Orang-orang melayu telah bertindak berkabung dengan cara melilit kain putih pada songkok. Orang-orang Melayu yang berkumpul itu telah menghantar wakil mereka iaitu Dato' Onn Jaafar untuk berunding dengan sultan-sultan agar turut memulaukan upacara tersebut. Melihatkan sokongan rakyat yang begitu kuat mempertahankan tahta mereka, telah menyedarkan sekelian baginda sultan untuk turut berjuang bersama-sama rakyat jelata untuk menggagalkan Malayan Union. Akhirnya, Malayan Union dibatalkan pada 1 Februari 1948 selepas itu untuk mengantikan Malayan Union yang telah gagal itu pihak British terpaksa menurut kehendak masyarakat Melayu yang bertindak melalui UMNO untuk mengwujudkan Persekutuan Tanah Melayu .

 

Persekutuan Tanah Melayu merupakan sebuah persekutuan 11 negeri di Tanah Melayu. Ia dibentuk pada 31 Januari 1948 oleh sembilan Negeri-Negeri Melayu dan dua penempatan British Pulau Pinang dan Melaka.

 

Dalam persekutuan ini, walaupun negeri-negeri Melayu menjadi negeri naungan British, Pulau Pinang dan Melaka kekal menjadi tanah jajahan. Seperti Malayan Union, persekutuan ini tidak dianggotai Singapura, yang sebelum ini dianggap sebagai sebahagian dari Malaya.

 

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu merupakan suatu kemenangan untuk orang-orang Melayu tetapi disambut dengan kecewa oleh beberapa golongan-golongan di dalam etnik yang lain. Bagaimanapun, mereka yang menentang cadangan Persekutuan tidak mempunyai sokongan di Tanah Melayu sendiri. Serta lobi Parlimen dan penyokong-penyokong di London yang telah membantu dalam pembatalan skim Malayan Union. Orang-orang Cina yang berada di Tanah Melayu berasa dikhianati kerana mereka menganggap bahawa mereka telah membuat pengorbanan yang lebih besar berbanding orang Melayu dan merupakan golongan yang paling setia kepada pihak British sepanjang peperangan dengan Jepun. Sesetengah daripada orang Cina yang tidak puas hati kini melihat Parti Komunis Malaya sebagai harapan yang tunggal untuk mencapai sebuah kemerdekaan. Ini didasari oleh pendapat pihak British telah meminggirkan masyarakat cina Tanah Melayu.

 

Persekutuan ini mendapat kemerdekaan daripada Negara-negara Komanwel British pada 31 Ogos 1957. Pada 1963, Persekutuan tanah Melayu bersama-sama dengan Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (yang dinamakan semula sebagai Sabah) membentuk sebuah persekutuan baru bernama Malaysia. Singapura kemudiannya keluar dari Malaysia dan membentuk sebuah republik sendiri pada 9 Ogos 1965.

 

Pada hari ini 16 Februari 1952, Pilihanraya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur telah diadakan. Pilihanraya itu adalah merupakan satu pembaharuan dalam sistem politik dan pentadbiran di Tanah Melayu kerana inilah julung-julung kali sistem pilihanraya diadakan.

Pilihanraya itu adalah untuk merebut 12 kerusi Majlis Perbandaran Kuala Lumpur bagi kawasan-kawasan Sentul, Bangsar, Imbi dan Petaling jaya. Parti-parti yang bertanding dalam pilihanraya itu ialah IMP (Parti Kemerdekaan Malaya), dan Parti Perikatan yang terdiri daripada UMNO-MCA, Parti Buruh Selangor, Persatuan Penyewa-penyewa Rumah dan calon bebas.

Dalam Pilihanraya itu Parti Perikatan telah berjaya memenangi 9 kerusi dari 12 kerusi yang dipertandingkan.

 

Pilihanraya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur ini adalah ekoran dari kelulusan Ordinan Pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan, 1950 (Local Authorities Elections , Ordinance, 1950) yang diluluskan menjadi Undang-undang pada 1 hb Januari, 1951. Mengikut ordinan ini tanggungjawab meluluskan Perlembagaan dan membuat Peraturan (Regulations) terserah kepada kerajaan Negeri dan Negeri-negeri Selat. Bagi Majlis Perbandaran Kuala Lumpur, Baginda Sultan Selangor telah memperkenalkan Perlembagaanya pada 27hb Mac, 1951 dan pada lhb Mei 1951, Perlembagaan dan Peraturan-peraturan Pilihanraya Pihak Berkuasa Tempatan Kuala Lumpur telah diluluskan oleh Majlis Negeri . Di bawah Perlembagaan ini sebuah Majlis yang mengandungi enam orang ahli dilantik dan enam orang dipilih, dibentuk. Hal yang sama juga berlaku ke atas Negeri-negeri Selat, iaitu Melaka dan Pulau Pinang.

 

Dalam bulan julai, 1952, Ordinan Majlis Tempatan diluluskan. Ordinan ini telah menggalakkan penubuhan Majlis-majlis Tempatan di kawasan -kawasan luar bandar yang maju dan di kampung-kampung baharu. Ini adalah merupakan kelanjutan kepada Majlis Bandaran (Town Council) untuk menggalakkan sistem pentadbiran kerajaan tempatan yang lebih progresif dan demokratik.

Comments

Chat