Perpaduan merupakan satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta memiliki perasaan cinta dan bangga kepada tanah air. Dari sudut psikologi sosial keadaan ini berkaitan dengan ‘rasa kesatuan’ yang merentas pemisahan fizikal dan psikologikal serta konteks metafizikal,iaitu boleh dilihat dengan mata kasar.
Selain itu,dari perspektif antropologi-sosiologi ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ merupakan satu rumusan berkenaan cara manusia menguruskan perbezaan sosial dalam kalangan mereka. Contohnya perbezaan dari segi agama,etnik,dan wilayah. Dari sudut ontologikal pula,pada umumnya dinyatakan bahawa keperluan untuk mengurus perbezaan adalah atas keinginan untuk mewujudkan keadaan aman dan stabil dalam masyarakat. Perpaduan dalam kepelbagaian ialah kesamaan atau kesatuan satu bangsa,satu agama,satu bahasa,satu negara dan ia hanyalah suatu gambaran tentang masyarakat yang sempurna yang tidak boleh menjadi kenyataan.
Manakala konsep kesepaduan sosial lebih realistik kerana ia merupakan satu fenomena sosial yang dipacu oleh idaman mendalam terhadap perpaduan yang seharusnya pula mempengaruhi para anggota masyarakat tersebut untuk merungkai pelbagai ikhtiar dan kegiatan yang dianggap sebagai prasyarat mencapai perpaduan. Ia difahami menerusi konsep takrifan harian dan takrifan autoriti. Takrifan autoriti lebih cenderung bersifat tetap. Sebagai contoh, orang Melayu menganut agama Islam,bertutur dalam bahasa Melayu, dan mengamalkan adat resam serta budaya Melayu. Takrifan harian iaitu takrifan masyarakat awam berbeza dalam kehidupan seharian. Contohnya, sebahagian orang Melayu bertutur dalam bahasa Inggeris.
Kesepaduan sosial boleh wujud dan bercambah,terutama jika terdapat tindakan authority-defined dan top-down yang dapat melengkapkan dan menjamin kelangsungannya dan meningkatkan daya tahan dalam sesebuah masyarakat majmuk. Kewujudan kesepaduan sosial juga ada yang disumbangkan secara bottom-up iaitu hasil daripada interaksi dan jalinan hubungan yang berlaku di peringkat masyarakat awam itu sendiri dalam kehidupan sehari-hari tanpa campur tangan oleh pihak kerajaan.