W NUR NABIHAH BT W NOOR RUSHAZIZ's 9.A2 : AKTIVITI 2 - OpenLearning

Soalan

Berdasarkan faktor-faktor yang dinyatakan di dalam gambar rajah di atas, tuliskan satu kertas refleksi mengenai peranan pendidikan di dalam membina kesepaduan sosial berdasarkan pengalaman anda sendiri.
Pendidikan merupakan asas penyatuan dalam proses pembinaan negara bangsa. Berdasarkan pengalaman di negara luar seperti Perancis, Amerika Syarikat, Indonesia dan Thailand, matlamat ini dicapai menerusi pelaksanaan dasar pendidikan untuk pelbagai komuniti etnik. Walaupun penerimaannya sehingga kini mencetuskan polemik, namun dasar ini berterusan dipraktikkan. Walaupun negara ini mempunyai Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan, tetapi dari sudut praktiknya, dasar tersebut agak berbeza dengan negara berkenaan. Sistem pendidikan di negara ini berorientasikan komuniti etnik tertentu yang berkongsi kurikulum yang sama. Sistem ini disebut sebagai Sistem Pendidikan Vernakular ataupun jenis Kebangsaan. Pengekalan sistem sedemikian akan menggalakkan pemisahan kanak-kanak daripada komuniti etnik yang berbeza. Jika langkah bersepadu kurang mampu dilaksanakan, tidak mustahil matlamat kerajaan untuk memupuk kesepaduan sosial antara anggota masyarakat menerusi sistem pendidikan kebangsaan, sukar untuk dicapai sepenuhnya. 194 Hubungan Etnik Neena (1985) meletakkan peranan penting pendidikan formal dalam proses sosialisasi. Bagi pelajar yang mempunyai perbezaan latar belakang sosiopolitik, sekolah boleh mensosialisasikan mereka semula mengikut kumpulan yang sama sehingga ke peringkat yang lebih tinggi, di samping dapat mengamalkan semangat bertolak ansur dan saling memahami antara satu sama lain. Sejarah Pendidikan di Malaysia dan hubungan etnik Bahasa dan pendidikan adalah dua perkara yang saling berkait rapat. Melalui pendidikan, sesuatu bahasa dapat dipertahankan dan bahasa juga menggambarkan jiwa sesebuah bangsa. Dengan warisan nilai budaya dan peradaban yang berbeza, setiap komuniti etnik di Malaysia, berusaha mempertahankan sistem pendidikan masing-masing. Atas alasan ini, usaha kerajaan untuk membentuk satu identiti kebangsaan menerusi sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan agak sukar. Konflik sebegini telah berlaku di negara luar seperti Perancis, Amerika Syarikat dan Thailand. Negara berkenaan mengekalkan satu sistem pendidikan yang dikongsi bersama. Manakala bahasa yang diberi keutamaan ialah bahasa penduduk asal ataupun komuniti awal yang mampu membawa perubahan. Dalam proses ke arah pembentukan dasar kebangsaan, negara berkenaan juga berhadapan dengan penolakan daripada komuniti etnik yang berbeza seperti di Amerika, antara komuniti Anglo-Saxon dengan komuniti Hispanik. Negara berkenaan mengekalkan satu bahasa dan satu sistem pendidikan untuk dijadikan dasar kebangsaan. Keutamaan diberikan kepada bahasa penduduk asal ataupun komuniti awal yang mampu membawa perubahan di negara yang didiami (Huntington 2005). Dalam konteks Tanah Melayu, penjajah berperanan utama dalam menentukan hala tuju sistem pendidikan. Pengaruhnya banyak ditentukan oleh tempoh penjajahan, bentuk sistem pendidikan yang dilaksanakan dan bahasa yang digunakan dalam sistem pendidikan. Dalam tempoh penjajahan selama 130 tahun, pihak British melaksanakan dasar pecah dan perintah dengan mengasingkan etnik mengikut komuniti masing-masing. Matlamatnya adalah untuk mengelakkan konflik antara satu sama lain. Dasar pecah dan perintah itu diperkuatkan lagi dengan usaha setiap komuniti mempertahankan warisan budaya dan peradaban masing- masing. latar Belakang Pendidikan Komuniti etnik di Tanah Melayu Komuniti Melayu, Cina dan India telah pun mempunyai sistem pendidikan tersendiri yang bersifat tradisi, sebelum pihak British mencampuri bidang berkenaan. Dasar pecah dan perintah mengukuhkan lagi kedudukan sistem pendidikan vernakular. Malah, usaha untuk menyatukan mereka di peringkat ini tidak timbul sehingga berlaku peristiwa Malayan Union 1946 yang merupakan pengukuhan usaha ke arah pembinaan negara bangsa. Komuniti Melayu Komuniti Melayu dibentuk bersesuaian dengan sistem nilai dan adat Melayu. Di peringkat awal, dua bentuk sekolah telah dibina. Pertama, persekolahan secara tidak formal, iaitu; sekolah pondok yang menekankan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Sekolah ini membabitkan sekolah agama, sekolah agama rakyat, sekolah pondok dan madrasah. Sukatan pelajaran pengajaran lebih menekankan pembacaan al-Quran, al-Hadis dan hal ehwal keagamaan yang dibiayai oleh individu tertentu. Sekolah ini bebas daripada pemantauan kerajaan British dan turut menyediakan pengajaran di peringkat rendah dan menengah. Pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Indonesia, India dan Mesir. Kedua, di sekolah vernakular Melayu yang didirikan oleh kerajaan British, bahasa Melayu dikekalkan sebagai bahasa pengantar dan tumpuan lebih kepada perkara asas seperti membaca, mengira, menulis, ilmu pertukangan, anyaman dan pertanian bagi memenuhi kehendak kehidupan luar bandar (Chelliah 1940). lepasan sekolah Melayu yang berkelayakan akan menyambung pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Walau bagaimanapun, mereka tidak berpeluang untuk menjawat jawatan tinggi disebabkan kelayakan yang rendah berbanding dengan mereka yang berkelulusan sekolah Inggeris. Malah, lulusan daripada kedua-dua jenis sekolah berkenaan tidak diterima untuk berkhidmat dalam pentadbiran British (Roff 1975). 196 Hubungan Etnik Komuniti Cina Penghijrahan komuniti Cina ke Tanah Melayu telah bermula sejak abad ke-3 Masihi. Populasi kaum Cina semakin bertambah setelah penguasaan British sekitar abad ke-19. Kedatangan mereka bukan semata-mata kerana pencarian harta, tetapi juga kesusahan hidup disebabkan pergolakan politik, bencana alam dan populasi yang padat, terutamanya di bahagian Selatan China (lynn 1990; Purcell 1967). Berteraskan penerimaan sebahagian ajaran Konfusius yang menekankan kepentingan pendidikan di peringkat rendah dan tinggi, majoriti komuniti Cina mendirikan sekolah di setiap wilayah dan di negara baharu yang diduduki mereka. Kepercayaan yang dipegang ialah hanya menerusi pendidikan dan harta mereka mampu mengubah nasib dan status ke tahap yang lebih baik (Wang 1991). Sebelum tahun 1900, komuniti Cina telah menubuhkan sistem pendidikan tersendiri yang lebih menjurus kepada pendidikan Cina klasik. Sukatan pelajaran pendidikan lebih kepada pemahaman penulisan Cina klasik (loh 1975). Dasar laissez-faire British membuka peluang kepada penubuhan sekolah vernakular Cina yang menerapkan nilai- nilai kecinaan seperti bahasa Cina dikekalkan sebagai bahasa pengantar, sukatan pelajaran, guru dan buku teks adalah berdasarkan negara China. Tujuan penubuhan sekolah berkenaan adalah untuk mengekalkan identiti komuniti Cina di Tanah Melayu agar tidak terpisah dengan negara asal. Sekolah berkenaan ditubuhkan secara persendirian dan dibiayai Persatuan Peniaga Cina (Chinese Chambers of Commerce) dan dilindungi oleh persatuan Cina (Huatuan) dan seterusnya berkembang pesat sebagai institusi keilmuan, budaya, dan bahasa Cina dan mendapat sokongan penuh daripada komuniti Cina. Sekolah itu juga turut menyediakan pelajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah (Thock 2005). Sekitar tahun 1920-an, kebangkitan semangat nasionalisme di China seperti fahaman Kuomintang dan Komunis telah meresap masuk ke Tanah Melayu menerusi sekolah vernakular Cina. Kesannya, kedua- dua ideologi berkenaan dan sentimen anti-imperialis dan seterusnya anti-British telah mempengaruhi komuniti Cina secara berleluasa. Sebagai langkah keselamatan, British bertindak tegas dengan menggubal Enakmen Pendaftaran Sekolah bagi membolehkan mereka mengawal pendidikan vernakular Cina dan mengurangkan campur tangan sepenuhnya dari Persatuan-persatuan Cina. Justeru, bermula tahun 1924, sebahagian besar sekolah berkenaan menerima bantuan kewangan dan dipantau oleh kerajaan (Tan 1987; Chai 1977). Walau bagaimanapun, usaha berkenaan kurang berhasil kerana perkongsian rasa sepunya dengan negara asal telah mencetuskan penentangan daripada sebahagian komuniti Cina. Mereka mendesak agar British tidak campur tangan dalam hal ehwal pendidikan dan kehendak ini berterusan sehingga kini. Komuniti india Kedatangan komuniti India ke Tanah Melayu semakin meningkat pada sekitar tahun 1880-1890 bagi memenuhi kehendak pasaran getah British ke Eropah Barat. Kebanyakan mereka datang dari Selatan India dan terdiri daripada subetnik Benggali dan Tamil (Chai 1964). Komuniti India tidak mempunyai sumber ataupun dana kewangan tertentu untuk menubuhkan sekolah. Walaupun kerajaan British menyediakan sekolah vernakular Melayu, tetapi kebanyakan mereka enggan memasukinya (loh 1975). Justeru, sekolah vernakular Tamil ditubuhkan oleh pihak pengurusan estet, dan penerapan nilai-nilai ketamilan diberikan keutamaan oleh komuniti India. Antaranya, penggunaan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar, sukatan pengajaran dan tenaga pengajar diambil dari India. Namun, dengan persekitaran yang serba kekurangan dan lebih kepada penekanan sekolah rendah, para ibu bapa kurang memberi sambutan (loh 1975). Justeru, mereka tidak berpeluang untuk memegang jawatan tinggi dalam pentadbiran British di Tanah Melayu. Sekolah Vernakular inggeris Pendidikan Inggeris mula berkembang di Tanah Melayu setelah penubuhan Penang Free School pada tahun 1816. Pada peringkat awal, sekolah ini dikuasai oleh para mubaligh Kristian dan bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa pengantar utama. Bagi menjamin kualiti sukatan pelajaran, kerajaan British telah mengambil alih sekolah berkenaan dengan tujuan mengeluarkan pegawai tadbir rendah yang mampu memenuhi keperluan kuasa pentadbiran British. Kebanyakan komuniti Cina dan India yang menetap di bandar berpeluang memasuki sekolah berkenaan. Manakala bagi komuniti 198 Hubungan Etnik Melayu pula, kelas atasan lebih diberikan keutamaan berbanding dengan Melayu kelas bawahan (Chelliah 1940). Para pelajar lepasan sekolah ini berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat kolej dan universiti sama ada di dalam ataupun di luar negara. Mereka juga berkebolehan untuk memegang jawatan tertentu dalam pentadbiran British, selain dipandang tinggi oleh masyarakat. Rumusannya, setiap komuniti etnik di Tanah Melayu telah mempunyai bentuk sistem pendidikan tersendiri yang diwarisi daripada budaya dan peradaban masing-masing. Ikatan yang erat terhadap sistem nilai warisan asal, mempengaruhi setiap komuniti etnik untuk terus mempertahankannya daripada tergugat. Justeru, proses untuk melaksanakan Dasar Pendidikan Kebangsaan sebagai teras kesepaduan sosial telah berhadapan dengan cabaran terutamanya selepas kemerdekaan dicapai. Proses perkembangan dasar pendidikan ini boleh dibahagikan seperti berikut: era Penjajahan di Tanah Melayu (1800-1945) Sehingga tahun 1920, dua bentuk pendidikan menjadi keutamaan British: i. Pendidikan Inggeris yang disediakan oleh British (free schools) dan golongan mubaligh Kristian. Majoriti diberikan kepada kelompok Melayu kelas atasan dan komuniti bukan Melayu. ii. Pendidikan vernakular difokuskan kepada kelompok Melayu kelas bawahan. Pendidikan tersebut ditubuhkan oleh Gabenor Cavenagh setelah berjaya mendapatkan peruntukan kewangan untuk membina Sekolah Vernakular Melayu di Melaka, Pulau Pinang dan Seberang Prai pada tahun 1862. Sekolah berkenaan diasaskan mengikut dasar pendidikan British di Negeri-negeri Selat (Chelliah 1940). Sekolah ini lebih menumpukan kepada perkara asas seperti membaca, mengira, menulis dan pertanian bagi memenuhi kehendak kehidupan luar bandar, tetapi tidak berupaya memenuhi kehendak sosial dan ekonomi pada masa itu. Pemisahan latar belakang pendidikan dalam komuniti Melayu pada peringkat ini telah dilihat sebagai kesinambungan perkembangan semangat nasionalisme yang tidak sekata dalam proses mencapai kemerdekaan. Keadaan tersebut juga menandakan kemunduran komuniti Melayu kelas bawahan dalam bidang pendidikan. Manakala bagi komuniti Cina dan komuniti India, walaupun tidak diberikan keistimewaan dalam bidang pendidikan kerana kedatangan mereka adalah sebagai kaum imigran yang bersifat sementara, tetapi mereka berpeluang menyambung pendidikan ke peringkat menengah dan universiti. Peluang pendidikan bagi komuniti Cina dan komuniti India bukan sahaja terbuka dalam pendidikan Inggeris, tetapi turut berpeluang untuk mengukuhkan bentuk sistem pendidikan dan bahasa yang diwarisi dari negara asal.

Comments

Chat