AfdhalMohdFadzly's 9.A3 : AKTIVITI 3 - OpenLearning

Jawapan Esei


Ungkapan Bahasa Jiwa Bangsa adalah sesuatu yang keramat bagi yang memahami kepentingan bahasa membangunkan citra berfikir pengucapnya. Bahasa tidak saja sebagai alat komunikasi yang sifatnya mekanistik dan arbitrari, tapi ia terkandung pemikiran yang memberi pedoman kepada manusia tentang buruk-baik akan sesuatu atau manfaat-musibatnya terhadap sesuatu. Oleh itu Bahasa Melayu yang ingin dimartabatkan kembali adalah bahasa yang terkandung dalam dirinya sistem nilai, kualiti ilmu dan etika. Memartabatkannya dalam sistem pendidikan bermakna memartabatkan ciri-ciri berfikir yang beretika dan upaya pengucapan yang serasi dengan fitrah. Apabila Bahasa Melayu melalui proses kemalaysiaan ia berkembang dalam lingkungan masyarakat majmuk yang pada hakikatnya amat mengutamakan kepentingan nilai dan etika. Lalu pengucapan masyarakat penggunanya menjadi lebih tertib kerana bahasa itu adalah cerminan bangsa Malaysia itu sendiri. Terbukti sejak usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem, baik di sekolah mahupun di institut pengajian tinggi awam ribuan pelajar kita berjaya dengan cemerlang dan sebahagiannya mampu membuat bidang kepakaran dan perlanjutan pengajian hingga ke tahap yang tertinggi dalam Bahasa Inggeris. Kalau dengan Bahasa Melayu para pelajar kita boleh berjaya dengan cemerlang atas alasan apa subjek Matematik dan Sains perlu diajar dalam Bahasa Inggeris. Berdasarkan Hajah Noresah bt. Baharom (Ketua Editor), 2005, Kamus Dewan, (Edisi Ke-4), Ampang: Dewan Bahasa dan Pustaka, takrifan bahasa merujuk kepada, “Sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain”. Konklusinya, bahasa itu pada dasarnya ialah bunyi suara atau bahasa lisan. Ghalibnya, manusia mengaplikasikan bahasa lisan sebelum bahasa tulisan sebagaimana anak-anak belajar berbicara sebelum belajar menulis. Justeru, pengucapan lisan dan proses penulisan itu merupakan lambang bahasa. Selanjutnya, merujuki Kamus Dewan, definisi wahana ialah saluran atau perantaraan yang memungkinkan sesuatu dilakukan, disampaikan, atau dicapai. Oleh itu, pengertian wahana amat signifikan dengan metode atau medium untuk merealisasikan sesuatu objektif atau misi. Seterusnya, penyatuan dapat dikaitkan dengan perihal menyatukan (mengumpulkan menjadi satu supaya lebih kuat, kukuh, dan teguh). Peranan Bahasa Melayu: Bahasa Kebangsaan Dalam senario perancangan peranan bahasa, Malaysia mempunyai dasar bahasa yang cukup jelas yang merangkumi empat dasar utama iaitu dasar bahasa kebangsaan, dasar bahasa rasmi, dasar bahasa pendidikan, dan dasar bahasa untuk maksud-maksud tertentu atau khusus. Senario sebegini rentetan daripada persepsi bahawa bahasa menjadi faktor terpenting dalam menentukan jati diri sesebuah negara. Keperluan satu bahasa kebangsaan yang menjadi pertuturan umum dan bahasa rasmi kebangsaan disedari penting untuk menyatukan rakyat pelbagai asal keturunan yang masing-masing dengan bahasa ibundanya. Isu bahasa merupakan salah satu pokok perbincangan semasa permuafakatan kontrak sosial. Isu ini dapat diselesaikan dengan toleransi dan permuafakatan antara kaum-kaum utama di Tanah Melayu. Secara ringkasnya, dapat dirumuskan seperti berikut: Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini bertepatan dengan Perenggan 152 para 1 dalam Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa bahasa Melayu dinaikkan taraf sebagai bahasa kebangsaan.

Comments

Chat