Nazren ISlam's 9.A3 : AKTIVITI 3 - OpenLearning

Jawapan Esei


Proses globalisasi bukan hanya mempunyai matlamat untuk menghomogenkan dunia dengan hanya satu sistem ekonomi iaitu sistem kapitalis tetapi juga proses penghomogenan itu melibatkan usaha mewujudkan satu budaya tunggal di dunia. (Omar Jah, 2001). Cadangan yang dilontarkan ialah masyarakat baru, dengan budaya baru, yang menolak budaya tradisi termasuklah adat resam dan agama ditukar kepada budaya baru berasaskan kepada kehidupan kebendaan sekular moden. Dalam masyarakat yang baru, budaya masyarakat tradisional akan dikesampingkan dan diganti dengan nilai-nilai sekular barat seperti konsumerisme, materialisme dan individualisme. Bahaya nilai baru ini ialah wujudnya suatu pandangan hidup yang mengenepikan peranan agama dan realiti metafizik dalam pembinaan budaya, sekaligus mencipta manusia yang tidak kenal tuhannya; sebaliknya mempunyai matlamat utama dalam penghasilan dan penggunaan material yang melampau (Omar Jah, 2001). Bahaya globalisasi ke atas budaya terletak dalam fakta bahawa globalisasi ialah salah satu bentuk penjajahan yang memasuki ciri teras dalam kehidupan seseorang iaitu pemikiran dan kesedaran manusia. Globalisasi memiliki tarikan kuat ke atas nafsu, emosi serta keseronokan kebendaan yang memberi kesan ke atas setiap individu dalam masyarakat. Globalisasi juga memiliki alat-alat teknologi komunikasi yang begitu berkuasa dan canggih yang mampu menyampaikan berita-berita dan menyebarkan idea-idea melintasi sempadan negara dan batasan fizikal, yang dengan mudahnya memasuki minda manusia. Apa yang menambah lagi tarikan manusia moden ialah pendekatannya yang liberal terhadap kehidupan yang menolak sebarang sekatan ke atas apa yang manusia boleh lakukan (liberalisme), kebebasan bercakap, kepenggunaan dan pemilikan. Budaya baru ini memperjuangkan individualisme dan liberalisme tanpa jaminan bahawa kebebasan manusia memilih apa yang baik dan betul untuk dirinya sendiri. Globalisasi budaya ialah kebebasan dan liberalisme dalam aktiviti manusia. Kebangkitan kesedaran tentang hak individu dan wanita yang disemarakkan oleh arus globalisasi telah menyemarakkan kemunculan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan di negara ini. Mereka berjuang bagi mendapatkan apa yang mereka panggil hak asasi manusia, hak untuk wanita dan kanak-kanak, program-program bagi golongan warga emas dan minoriti, hak-hak pengguna, pemuliharaan alam sekitar dan sebagainya. Kemunculan organisasi sosial ini bersama dengan parti-parti politik demokrasi dan golongan intelektual telah menyumbang ke arah keterbukaan yang lebih luas dalam suasana demokrasi, dan perkembangan kepada wujudnya masyarakat matang yang meningkatkan satu perpaduan baru melintasi garis-garis etnik dan agama (Abdul Rahman, 2001). Pihak kerajaan sendiri menyedari perkara ini dengan menyokong beberapa NGO yang cenderung kepada mereka. Proses globalisasi telah meninggalkan kesan yang sangat besar ke atas para pemimpin negara ini apabila fahaman liberalisme kelihatannya menguasai mereka. Jika selama ini kerajaan yang dipimpin oleh UMNO menjunjung pendaulatan bahasa Melayu/ Malaysia dalam sistem pendidikan dan pentadbiran, namun, menjelang tahun 2000 perjuangan itu semakin berubah dengan pendekatan yang lebih liberal ke atas bahasa Melayu dengan alasan bagi memastikan impian menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 menjadi realiti. Pelaksanaan pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi subjek Sains dan Matematik dalam sistem pendidikan negara dan dasar pendemokrasian ilmu yang telah melahirkan beratus-ratus institusi pengajian tinggi swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama, telah menjadi bukti perubahan paradigma tadi. Globalisasi menjadi alasan yang paling kukuh untuk menurunkan taraf bahasa Melayu. Mereka menyokong penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam bidang Sains dan Matematik ialah supaya masyarakat Malaysia mampu terus maju dan berdaya saing kerana bahasa Inggeris telah menjadi bahasa utama di dunia pada masa ini. Apa yang menarik daripada senario di atas ialah kurangnya penentangan masyarakat Melayu ke atas perubahan dasar pendidikan ini. Apakah masyarakat Melayu sudah semakin terbuka dan bersedia bertolak ansur ke atas beberapa perkara yang sebelum ini dianggap sangat sensitif dan emosional kepada mereka? Apakah pula tindak balas masyarakat bukan bumiputera, mungkinkah mereka juga sedang berubah? Malangnya perkara sebaliknya pula yang berlaku. Etnik lain seperti etnik Cina dan India melahirkan penentangan dan kebimbangan ke atas pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan mendakwa pengajaran itu lebih sesuai disampaikan dalam bahasa ibunda kerana ia lebih mudah diterima dan difahami. Penentangan daripada pertubuhan etnik Cina misalnya termasuklah serangan berterusan oleh pertubuhan Dong Jong Ziong. Keliberalan masyarakat Melayu sekali lagi menjelma apabila mereka dengan mudah menerima konsep ‘meritokrasi’ dalam pendidikan menggantikan sistem kuota yang selama ini menjadi amalan. Amalan ini pula bersandarkan kepada peruntukan perlembagaan Malaysia yang menjamin hak istimewa bangsa Melayu.

Comments

Chat