OpenLearning

Jawapan Esei


Ungkapan Bahasa Jiwa Bangsa adalah sesuatu yang keramat bagi yang memahami kepentingan bahasa membangunkan citra berfikir pengucapnya. Bahasa tidak saja sebagai alat komunikasi yang sifatnya mekanistik dan arbitrari, tapi ia terkandung pemikiran yang memberi pedoman kepada manusia tentang buruk-baik akan sesuatu atau manfaat-musibatnya terhadap sesuatu. Oleh itu Bahasa Melayu yang ingin dimartabatkan kembali adalah bahasa yang terkandung dalam dirinya sistem nilai, kualiti ilmu dan etika. Memartabatkannya dalam sistem pendidikan bermakna memartabatkan ciri-ciri berfikir yang beretika dan upaya pengucapan yang serasi dengan fitrah. Apabila Bahasa Melayu melalui proses keMalaysiaan ia berkembang dalam lingkungan masyarakat majmuk yang pada hakikatnya amat mengutamakan kepentingan nilai dan etika. Lalu pengucapan masyarakat penggunanya menjadi lebih tertib kerana bahasa itu adalah cerminan bangsa Malaysia itu sendiri. Terbukti sejak usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem, baik di sekolah mahupun di institut pengajian tinggi awam ribuan pelajar kita berjaya dengan cemerlang dan sebahagiannya mampu membuat bidang kepakaran dan perlanjutan pengajian hingga ke tahap yang tertinggi dalam Bahasa Inggeris. Kalau dengan Bahasa Melayu para pelajar kita boleh berjaya dengan cemerlang atas alasan apa subjek Matematik dan Sains perlu diajar dalam Bahasa Inggeris. Berdasarkan Hajah Noresah bt. Baharom (Ketua Editor), 2005, Kamus Dewan, (Edisi Ke-4), Ampang: Dewan Bahasa dan Pustaka, takrifan bahasa merujuk kepada, “Sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain”. Konklusinya, bahasa itu pada dasarnya ialah bunyi suara atau bahasa lisan. Ghalibnya, manusia mengaplikasikan bahasa lisan sebelum bahasa tulisan sebagaimana anak-anak belajar berbicara sebelum belajar menulis. Justeru, pengucapan lisan dan proses penulisan itu merupakan lambang bahasa. Selanjutnya, merujuki Kamus Dewan, definisi wahana ialah saluran atau perantaraan yang memungkinkan sesuatu dilakukan, disampaikan, atau dicapai. Oleh itu, pengertian wahana amat signifikan dengan metode atau medium untuk merealisasikan sesuatu objektif atau misi. Seterusnya, penyatuan dapat dikaitkan dengan perihal menyatukan (mengumpulkan menjadi satu supaya lebih kuat, kukuh, dan teguh).Dalam senario perancangan peranan bahasa, Malaysia mempunyai dasar bahasa yang cukup jelas yang merangkumi empat dasar utama iaitu dasar bahasa kebangsaan, dasar bahasa rasmi, dasar bahasa pendidikan, dan dasar bahasa untuk maksud-maksud tertentu atau khusus. Senario sebegini rentetan daripada persepsi bahawa bahasa menjadi faktor terpenting dalam menentukan jati diri sesebuah negara. Keperluan satu bahasa kebangsaan yang menjadi pertuturan umum dan bahasa rasmi kebangsaan disedari penting untuk menyatukan rakyat pelbagai asal keturunan yang masing-masing dengan bahasa ibundanya. Isu bahasa merupakan salah satu pokok perbincangan semasa permuafakatan kontrak sosial. Isu ini dapat diselesaikan dengan toleransi dan permuafakatan antara kaum-kaum utama di Tanah Melayu. Secara ringkasnya, dapat dirumuskan seperti berikut: Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini bertepatan dengan Perenggan 152 para 1 dalam Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa bahasa Melayu dinaikkan taraf sebagai bahasa kebangsaan. Dasar bahasa kedua mengiktiraf peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Perenggan 152, para 1 dalam Perlembagaan Malaysia menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia ialah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan. Tanggal 1 September 1967, bahasa Melayu telah dimantapkan dengan dinobatkan sebagai bahasa rasmi bagi Persekutuan Malaysia yang telah diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Hal ini berlaku selepas 10 tahun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Namun demikian, pada masa yang sama bahasa-bahasa lain yang digunakan oleh bangsa-bangsa lain di Malaysia, bebas digunakan seperti bahasa Mandarin oleh orang Cina dan bahasa Tamil oleh orang India. Sejajar dengan fungsi bahasa Inggeris yang mendominasi bahasa perdagangan dan perindustrian sarwa negara, kerajaan Malaysia juga menggalakkan rakyatnya menguasai bahasa antarabangsa tersebut khususnya untuk bidang pelancongan dan perdagangan antarabangsa. Ketiga, dasar bahasa pendidikan Malaysia jelas, iaitu peranan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama bagi semua sistem pendidikan formal peringkat sekolah rendah kebangsaan, menengah, dan pengajian tinggi. Pengiktirafan ini telah diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961. Selain itu, peranan dan status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan terutamanya di institusi-institusi pendidikan tinggi swasta mengalami perubahan atau penambahbaikan apabila pihak Parlimen Malaysia meluluskan Akta Pendidikan 1996. Berpaksikan Seksyen 2 dalam Akta 1996, dapat ditafsirkan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah dijadikan bahasa pengantar di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Namun demikian, menurut Seksyen 17 (1) menteri diberi peruntukan kuasa untuk mengecualikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sesebuah institusi pendidikan. Peruntukan tersebut secara jelas memastikan bahawa peranan dan status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah mengalami perubahan yang positif dan dinamik. Peranan bahasa yang keempat adalah amat penting dalam masyarakat apatah lagi dalam masyarakat yang pelbagai bangsa, berbilang agama,dan mengamalkan cara hidup yang berlainan. Bahasa Melayu diyakini berperanan sebagai alat penyatuan kaum, yang menjadi jambatan menghubungkan pelbagai etnik. Kendatipun ada bahasa kebangsaan, tiada sesiapapun yang dilarang daripada menggunakan, belajar, atau mengajar apa-apa bahasa lain. Oleh itu, hal ini tidak menghalang kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) dan (Tamil) di Malaysia. Bahkan bahasa Inggeris juga diwajibkan bagi semua sekolah rendah dan menengah. Peruntukan ini tidak terdapat di mana-mana negara lain. Bahkan, di negara-negara liberal yang memperjuangkan hak asasi manusia pun tiada jaminan sebegini seperti yang dilaksanakan di Malaysia. Tidak dapat dinafikan bahawa sarwa manusia amat mengiktiraf kepentingan bahasa sebagai wahana komunikasi antara manusia. Tanpa batasan sempadan, bahasa merupakan alat perantara bagi manusia menyampaikan perasaan atau pemikiran dalam bentuk tulisan, lisan, atau isyarat. Oleh sebab itu, kemahiran berbahasa perlu diusahakan dan bukan hanya berserah kepada teori transformasi generatif semata. Selain itu, sering kali idea yang sederhana dan kurang bermutu diterima dan diguna pakai kerana dapat disampaikan dengan bahasa yang gramatis serta berkualiti. Sebaliknya, banyak idea yang jitu, bernas, dan tuntas ditolak atau diketepikan begitu sahaja kerana tidak dapat disampaikan dengan menggunakan bahasa yang betul, jelas, dan meyakinkan. Seterusnya, amat ketara kepentingan bahasa bagi menghasilkan komunikasi berkesan dan keberhasilan proses penitisan ilmu. Oleh sebab itu, perlu diperluaskan penguasaan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa asing. Hal ini akan mempertingkatkan lagi perhubungan dan menambah kualiti komunikasi antara satu sama lain. Berdasarkan fungsi bahasa Melayu sebagai wahana penyatuan bangsa, maka boleh didefinisikan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa utama yang menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa perantaraan berupaya menjadi tunjang atau nadi kepada penyatuan masyarakat majmuk di negara ini meskipun wujudnya jurang perpisahan antara pelbagai golongan etnik atau bangsa yang tinggal dalam masyarakat di Malaysia. Tambahan pula, perpisahan sedemikian iaitu secara fizikal telah lama wujud dalam kalangan penduduk di negara ini. Melalui penelitian dan kajian yang terperinci, bahasa Melayu telah diterima sebagai lingua franca atau bahasa komunikasi utama sejak lima abad yang lalu iaitu zaman kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 lagi. Bahasa ini digunakan secara meluas dalam bidang perdagangan dan hubungan diplomatik. Hasnah Hussin dan Mardiana Nordin (2007), Melaka berperanan sebagai pusat pengembangan bahasa, kebudayaan, dan kesusasteraan. Pada era itu, semua bangsa yang ada hubungan diplomatik dengan Tanah Melayu telah mengakui akan mustahaknya bahasa Melayu. Dalam kitab Sejarah Melayu ada dijelaskan situasi para pedagang bertungkus lumus mempelajari bahasa Melayu serta menguasainya bagi memudahkan mereka berurusan dengan pemimpin dan masyarakat setempat yang telah lama menggunakan bahasa itu. Dalam konteks hubungan antarabangsa surat-surat rasmi dan dokumen perjanjian turut mempraktikkan bahasa Melayu dengan tulisan jawi. Hal ini membuktikan bahawa bahasa Melayu dapat difahami oleh pelbagai kaum termasuk pihak British, Portugis, dan Belanda. Munsyi atau guru bahasa Melayu yang akan mengajar mereka sekiranya mereka tidak memahami dan mengerti bahasa ini. Selain itu, dokumen-dokumen lain seperti undang-undang tubuh negeri-negeri Melayu telah menggunakan bahasa Melayu dengan tulisan Jawi sebagai medium. Semua ini membuktikan betapa bahasa Melayu pernah mencapai tahap yang tertinggi dan bukan sahaja digunakan di Nusantara bahkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Comments

Loading
Error: Loading CSS chunk vendors-node_modules_fortawesome_pro-regular-svg-icons_faGlobe_js-node_modules_fortawesome_pr-4f8267 failed. (error: https://assets.openlearning.com/chunks_live/vendors-node_modules_fortawesome_pro-regular-svg-icons_faGlobe_js-node_modules_fortawesome_pr-4f8267.8fd07ef9993d3220.css)

Chat