Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Cogan kata ini menggambarkan kepentingan perpaduan kaum di Malaysia. Hal ini kerana negara kita mempunyairakyat yang berbilang kaum iaitu kaum Melayu, Cina, India, Iban , Kadazan dan lain-lain lagi. Mereka mengamalkan cara hidup yang berbeza-beza antara satu dengan yang lain . Oleh sebab itu pelbagai usaha perlu dilakukan bagi mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Perpaduan kaum berkaitan dengan cogan kata bersatu kita teguh bercerai kitaroboh. Perpaduan kaum membolehkan masyarakat hidup secara bersatu hati. Pergaduhan antara kaum memberikan banyak kesan kepada negara. Banyak usaha perlu dilakukan untuk memupuk perpaduan kaum di negara kita. Pelbagai kepentingan dapat diperoleh melalui perpaduan kaum dalam masyarakat. Malaysia merupakan Negara yang istimewa. Kepelbagaian masyarakat yang terdiri dari berbilang etnik, budaya dan agama menjadikan Negara ini begitu unik dan mencabar kepimpinan dan pentadbirannya. Usaha-usaha ke arah menghapuskan halangan komunikasi antara masyarakat yang pelbagai ini seringmenjadi agenda utama bagi mewujudkan pembinaan masyarakat Malaysia yang bersatu padu Sejak kecil lagi kita telah dibesarkan dan didedahkan dengan masyarakat yang berbilang kaum. Pada waktu saya sekolah rendah, penerimaan berkawan dengan bangsa lain tidak menjadi masalah. Lebih- lebih lagi saya mempunyai seorang kawan yang berbangsa Cina, Choo Chin Lee. Kenangan ketika saya terlibat dengan perkhemahan kokurikulum iaitu Kadet Remaja Sekolah Daerah Gombak telah mendedahkan saya dengan pelbagai kaum iaitu Cina, India, Kadazan dan sebagainya. Pada ketika itu, saya telah mewakili kumpulan saya dalam pertandingan bercerita bahasa Inggeris, manakala seorang lagi peserta perempuan dari kumpulan saya bertanding pertandingan bercerita dalam Bahasa Melayu. Dari sini, kami saling membantu antara satu sama lain supaya dapat menyebut dengan betul dan memahami. Secara dominan, kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat ialah dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni. Keharmonian sesebuah negara pastinya sentiasa disokong oleh kestabilan politik yang jelasnya akan membuka ruang untuk masyarakat dan pemimpin bersatu tenaga dan idea bagi memajukan negara. Hal ini pastinya mampu mewujudkan sebuah entiti masyarakat yang mementingkan kerjasama bak kata pepatah ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni serta secara tidak langsung dapat mengikis sikap individualistik. Tamsilnya, organisasi masyarakat yang berbeza latar belakang, agama dan adat resam mampu duduk semeja berjuang mempertahankan keharmonian negara daripada dicabuli pihak tertentu. Hal ini pastinya, dapat mengeratkan perpaduan kaum di negara kita dan negara bertambah gah di persada dunia. Nama negara juga akan disanjungi dan meningkatkan imej negara di mata dunia. Malaysia pastinya akan menjadi ‘role model’ kepada negara-negara di pentas dunia, seterusnya akan dapat meningkatkan imej negara. Di negara lain, perpaduan berkemungkinan berada pada tahap yang amat rendah jika dibandingkan dengan negara kita yang mempunyai masyarakat yang bersatu padu. Contohnya pada 31 Oktober 2006, dilaporkan bahawa mantan Timbalan Perdana Menteri Britain mempelajari pengalaman Malaysia mengekalkan formula perpaduan. Oleh hal yang demikian, sebagai rakyat yang cinta akan watan, kita perlu melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi mengekalkan perpaduan antara kaum kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Selain itu dapat memajukan ekonomi negara dan seterusnya ekonomi Malaysia pasti bertambah mantap apabila perpaduan kaum dapat dikekalkan. Sektor ekonomi Malaysia yang mantap dan masih mampu bertahan jika dibandingkan dengan negara serantau yang berhempas pulas menghadapi kepincangan ekonomi. Seterusnya pelabur asing tidak bimbang untuk melabur di Malaysia kerana keadaan negara kita yang aman dan damai, sekali gus dapat menjana ekonomi supaya terus berkembang. Sebagai contohnya rakyat yang bersatu padu akan berusaha mengerah keringat bagi memastikan negara terus maju dan menggembeleng tenaga memulihkan ekonomi negara. Oleh itu, rakyat Malaysia amat diharapkan agar asas perpaduan yang telah lama bertapak mampu diperkukuhkan dan diperkasakan lagi. Antara usaha yang boleh dilakukan dalam untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah dengan mengadakan aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti ini dapat memupuk semangat bekerjasama untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat kediaman mereka sesuai dengan slogan “Negara Bersih Rakyat Sihat”. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan ialah kerja-kerja membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah perkuburan dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dapat meringankan serta memudahkan kerja yang sukar dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing serta ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni. Selain itu itu, perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai dengan meraikan sambutan perayaan kaum-kaum di Malaysia secara bersama-sama. Melalui amalan kunjung-mengunjung yang dilakukan akan dapat mengeratkan ikatan silaturahim antara jiran serta rakan daripada pelbagai kaum. Sebagai contohnya, sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Gawai dan Hari Krismas merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan sesuatu kaum dapat menerbitkan perasaan hormat-menghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum lain. Di samping itu, budaya ini dapat mengukuhkan perpaduan apabila kurangnya syak wasangka antara kaum di Malaysia. Sekiranya perkara ini dapat dipraktikkan nescaya masyarakat Malaysia akan mampu menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang datang dari luar atau masyarakat antarabangsa, ibarat kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat serta bersatu kita teguh, bercerai kita roboh Seterusnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan juga boleh mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali penghubung atau gelanggang pertemuan pelbagai kaum di Malaysia. Dalam hal ini, satu perkara yang perlu diselesaikan adalah dengan memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja seperti permaian bola keranjang, ping pong, sepak takraw dan sebagainya. Kita berharap pada suatu masa nanti pasukan bola keranjang negara misalnya, mampu diwakili pelbagai kaum di Malaysia dan bukan sahaja dimonopoli oleh kaum Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan bola sepak, badminton, hoki dapat dijadikan contoh dan teladan. Dengan bermain bersama-sama dalam sesuatu sukan dan permainan serta seterusnya mewakili pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa, akan dapat menanamkan semangat cinta akan negara. Usaha ini tentu dapat mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat antarabangsa. Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam usaha memupuk perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan tersebut pada setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya dapat menambahkan ukhwah dan permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu, penghayatan tema sambutan Hari Kebangsaan, misalnya Keranamu Malaysia diharap dapat menanam semangat cinta akan negara sekali gus mengukuhkan amalan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, semua kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini perlu dijaga kerana Malaysia hanya satu, dan tiadak ada duanya. Peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baiklah di negeri sendiri perlu direnungi oleh setiap warganegara Malaysia agar perpaduan bukanlah menjadi duri dalam daging dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020. Konklusinya, terdapat pelbagai kepentingan mengamalkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di negara ini. Rakyat Malaysia amat diseru agar mempertahankan maruah bangsa hingga ke titisan darah yang terakhir dan memakmurkan bumi Malaysia melalui perpaduan. Ingatlah, Keranamu Malaysia, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Oleh itu, semua pihak perlu menggembeleng tenaga bagi memurnikan dan mengekalkan perpaduan antara kaum.