1. Bagaimanakah kandungan buku-buku teks dapat memupuk hubungan etnik?
2. Industri hiburan sebagai mekanisme pemupukan jalinan hubungan dalam kalangan masyarakat pelbagai budaya di Malaysia.
3. Apresiasi seni (seni lakon, seni tampak, seni suara, seni reka, dll) dalam masyarakat pelbagai kaum.
4. Apakah kawalan-kawalan yang diperlukan dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia?
5. Orientasi parti politik yang ada sekarang lebih cenderung ke arah polarisasi kaum atau perpaduan?
Assalamualaikum Dr. Nasruddin Pada pendapat saya, orientasi parti politik yang ada di Malaysia pada ketika ini sememangnya lebIh cenderung ke arah polarisasi kaum dan bukannya perpaduan. Apakah yang dimaksudkan dengan polarisasi kaum? Jika kita lihat seperti apa yang berlaku di persekitaran kita pada masa kini di Malaysia, kaum masing-masing hanya bergaul, berinteraksi dan berkumpul sesama kaum mereka semata-mata. Hal ini dilihat sebagai satu fenomena yang tidak sihat dalam masyarakat seperti negara kita yang penduduknya terdiri dari kepelbagaian kaum, agama dan keturunan. Akibat dari polarisasi kaum, hasrat untuk membina satu negara bangsa tidak akan tercapai, malah masyarakat kita menjadi masyarakat yang berpecah belah mengikut agama, keturunan, bahasa dan budaya. Semasa pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohammad sebagai perdana menteri Malaysia, hal polarisasi ini kurang dibincangkan secara umum atau tertutup di kalangan ahli politik sahaja. Tetapi, kebelakangan ini, terutama dengan pemansuhan ISA, bukan sahaja ahli politik, tetapi masyarakat umum turut mempersoal dan membincangkan mengenai isu perkauman terutama berkaitan hak dan keistimewaan melayu secara khasnya atau bumiputera secara umumnya. Perkembangan yang tidak sihat juga turut berlaku di dalam politik yang berbentuk polarisasi juga, iaitu politik partisan yang membawa kepada ketaksuban. Orang Melayu dan umat Islam di negara kita mulai memupuk dasar polarisasi politik di kalangan umat Islam, iaitu berdasarkan ideologi politik kepartian di dalam keluarga, daerah, kampung dan negeri. Sebagai contoh, di dalam keluarga orang Melayu yang mengambil ideologi parti PAS sebagai fahaman keturunannya, maka besar kemungkinan anak cucu di dalam keluarga itu, termasuk yang masih kecil, akan turut berpegang kepada ideologi politik kepartian ini sebagai satu cara hidup dan budaya keluarganya, maka membesarlah dia dalam ideologi ini. Demikianlah pula sekiranya ibu bapa atau abang dan adik dalam satu keluarga itu menonjolkan fahaman politik UMNO sebagai anutannya , maka UMNO lah yang menjadi ideologi dan kefahaman keturunan keluarga ini, mungkin buat selama-lamanya. Budaya berpolitik mengikut parti politik yang tertentu telah menjadi satu warisan dalam sesuatu keluarga, yang mungkin sama dengan amalan agama keluarga tersebut, atau warisan pemikiran yang tipikal mengikut acuan yang menjadi tradisi keluarga itu. Hal ini turut berjangkit menjadi pola pembangunan masyarakat umat Melayu berdasarkan lokasi dan penempatan mereka, di beberapa negeri umpamanya, PAS amat bertunjang di sana, yang mungkin tidak wujud di beberapa buah daerah dan negeri lain, maka tindakan penghuni daerah atau kawasan yang tertentu itu untuk mengikuti parti ini menjadi warisan penduduk di sana dan menjadi ideologi politik yang sering dihubungkan dengan daerah atau negeeri yang tertentu. Polarisasi kepartian ini telah merebak dengan pesatnya ke dalam politik negara kita pada pilihan raya yang ke-13. Perebutan undi berlaku di kalangan tiga kaum terbesar di negara kita, terutamanya ketika parti-parti politik Melayu amat memerlukan sokongan kaum lain yang bakal menjadi penentu kepada menang kalahnya parti Melayu itu di dalam pilihan raya. Kaum Melayu telah berpecah kepada beberapa parti politik tertentu yang mewujudkan polarisasi di kalangan masyarakat umat Melayu sendiri. Polarisasi politik ialah satu proses yang berlaku ketika terdapat perselisihan pandangan umum, dan pandangan ini sering memihak kepada golongan yang ekstrem. Ringkasnya, polarisasi adalah satu proses yang sering berlaku di dalam ekonomi, politik, sosial yang lebih banyak meninggalkan kesan negatif dalam sebuah negara dan bangsa yang terlibat. Proses yang berlaku ini akan membantut malah menghalang pembangunan tamadun dan kesejahteraan rakyat umum, dan menjejaskan pembangunan pendidikan, sosial, ekonomi dan moral. Polarisasi dalam apa-apa saja bentuknya, iaitu sosial, ekonomi dan politik akhirnya akan mempengaruhi pandangan umum agar mengambil jalan yang radikal dan ekstrem. Jika dilihat trend pilihanraya umum di Malaysia, selama ini siri demonstrasi di jalanan dimonopoli oleh orang melayu. Tetapi berlainan pula dengan pilihanraya Umum Ke-13 pada 2013, peserta siri perhimpunan di seluruh negara majoritinya adalah terdiri daripada kaum Cina. Kini, kaum Cina semakin berani menonjolkan kemarahan atau ketidakpuasan hati mereka kepada kerajaan apabila pembangkang semakin kuat sama ada di Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri. Majoriti pembangkang di ketuai oleh kaum bukan melayu. Sedekad lalu jarang-jarang orang bukan Melayu berani memperlekeh Institusi Raja-Raja Melayu. Sekarang walaupun Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Sultan-sultan sebagai ketua negeri masing-masing, orang bukan Melayu langsung tidak mempedulikannya. Malah tanpa rasa takut, mereka hina pemimpin tertinggi negara kita ini. Ini salah satu contoh polarisasi kaum yang berlaku pada masa kini. Imej Malaysia sebagai model negara yang terdiri daripada penduduk pelbagai kaum yang sangat unik di mana rakyatnya pelbagai kaum, keturunan, latar belakang dan agama dapat hidup aman dan damai sambil mengamalkan adat dan budaya tersendiri, suatu hari akan terjejas. Hal ini semakin menjadi kenyataan apabila semua golongan masyarakat terutama golongan muda, tanpa mengira kaum, semakin berani dan tanpa rasa gentar atau malu telah mula mencabar, mempertikai, memperlekeh dan mempersendakan Perlembagaan negara. Masyarakat majmuk yang kita miliki sekarang cuba menidakkan apa yang dirangka oleh pemimpin yang terdahulu. Pelbagai insiden yang berlaku sejak kebelakangan ini melibatkan isu-isu politik, sosial dan ekonomi dilihat sedikit sebanyak menggoncang jambatan perpaduan yang telah dibina oleh nenek moyang kita sebelum ini. Polarisasi kaum biasanya membawa kepada sikap perkauman, yang menjadi asas masalah utama perpaduan antara kaum atau etnik berbilang bangsa di nagara ini. Unsur-unsur perkauman ini lebih ketara apabila dibandingkan dengan kesanggupan bagi mencapai integrasi nasional. Sentimen ini bukannya baru di dalam arena politik tanahair, tetapi telah ditanam kukuh oleh penjajah Inggeris pada setiap jajahannya dengan acuan atau adunan mereka iaitu ‘pecah dan perintah’. Menjadi sikap Penjajah Inggeris yang hanya menumpukan kepada perkembangan ekonomi. Pemerintahan mereka pada masa itu mempunyai dasar yang mengekalkan struktur kelas dan sosioekonomi kaum-kaum tertentu. Pihak British tidak menyediakan satu system persekolahan yang bersepadu. Sebaliknya mereka membiarkan kewujudan system pendidikan yang berbagai-bagai aliran termasuk aliran Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil. Tujuannya ialah untuk memenuhi keperluan sektor tertentu dalam ekonomi zaman berkenaan. Sistem pendidikan atau persekolahan sekarang juga didapati telah memecah-belahkan anak-anak bangsa pada usia muda kerana masih terdapat sekolah mengikut kaum atau sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil. Sekolah Wawasan yang diperkenalkan oleh kerajaan pula ditentang oleh kaum bukan bumiputera. Rakyat perlu menolak polarisasi kaum dan agama demi keharmonian dan perpaduan berbilang bangsa di negara ini. Perpaduan adalah anugerah tidak ternilai dan perlu dipelihara serta dihargai oleh semua rakyat Malaysia. Hidup dalam masyarakat berbilang kaum adalah sebahagian daripada sejarah dan warisan kita yang menjadi sumber penting integrasi kaum. Ia juga menjadikan Malaysia tempat harmoni untuk hidup, belajar, bekerja dan bermain. Semua rakyat Malaysia perlu menentang perkauman dan pelampau agama. Tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang terus membuat kenyataan menghasut hingga menyebabkan ketegangan kaum serta agama tanpa berasa takut atau pilih kasih. Ini penting demi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap negara tercinta kita iaitu Malaysia.