Soalan 1
Hubungan antara agama dan etnik di Malaysia.Agama memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Tanpa pegangan agama manusia akan berada dalam kehidupan tanpa pedoman dan hala tuju serta kehidupan akan menjadi huru-hara. Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang etnik kaum dan agama. Agama Islam merupakan agama bagi Persekutuan tetapi penganut agama lain diberi kebebasan mengamalkan kepercayaan mereka. Hal ini sudah termaktub dalam kandungan perlembagaan Malaysia dan sehingga kini masyarakat Malaysia boleh mengekalkan keharmonian dalam amalan agama masing-masing tanpa sekatan dan perbalahan di antara satu sama lain. Agama menjadi sangat penting bagi etnik di Malaysia kerana agama membangunkan ikatan sosial dan menyatukan individu dengan individu yang lain sehingga munculnya masyarakat, kelompok dan sebagainya. Agama mempunyai fungsi integratif kerana ajaran agama mengandungi nilai-nilai pemersatuan yang ada dalam setiap doktrinnya. Upacara keagamaan berfungsi mengukuhkan integrasi sosial dan memperbaharui solidariti kelompok. Melalui pelbagai upacara yang diraikan, anggota masyarakat kembali berkumpul dan membentuk solidariti organik. Antaranya hubungan antara etnik dan agama di Malaysia ialah mewujudkan tanggungjawab untuk saling sayang-menyanyangi. Mewujudkan budaya ziarah-menziarahi dan saling hormat-menghormati. Hubungan etnik dan agama juga dapat mengukuhkan tali persaudaraan dan saling mengambil berat melalui nasihat dan teguran.
Soalan 2
Hubungan antara faktor politik dan agama di Malaysia.Agama memainkan peranan penting dalam politik Malaysia.Sebagaimana Huntington (1993, 1997) yang mengenal pasti agama adalah asas budaya dan peradaban, maka begitulah juga peranan agama dalam setiap sektor kehidupan di Malaysia. Selain majmuk dari sudut agama, Malaysia juga majmuk dari sudut ras, bahasa dan budaya. Agama dan politik adalah dua perkara penting dalam kehidupan manusia. Namun, agama dan politik juga sering mengundang perdebatan dan polemik. Justeru, ada dalam kalangan kita mahu mengelak daripada berbicara mengenai agama dan politik kerana ia boleh membawa perbalahan dan perbezaan pandangan yang akhirnya menjurus kepada konflik. Memelihara peranan agama dan politik amat penting dalam memastikan kehidupan manusia yang harmoni. Justeru, Islam memperakukan agama dan politik tidak boleh dipisahkan. Konsep din wa daulah atau agama dan politik ini disokong oleh beberapa ulama dan pemikir Islam, antaranya Imam Al-Ghazali yang menyifatkan hubungan antara agama dan politik umpama dua sisi dalam satu syiling.