Malaysia: Kesepaduan dalam Kepelbagaian
hasil Pembelajaran
Selepas mempelajari bab ini, para pelajar dapat:
1. Menyedari bahawa hubungan etnik tidak hanya dipengaruhi oleh unsur etnik semata-mata tetapi juga dipengaruhi oleh unsur-unsur sosial yang lain.
2. Mengetahui bahawa perspektif kesepaduan sosial melihat masyarakat sebagai sebuah entiti sosial yang memiliki keupayaan untuk membentuk kesejahteraan dalam masyarakat.
3. Memahami konsep akomodasi, akulturasi, amalgamasi dan asimilasi yang membentuk toleransi antara etnik ke arah menghasilkan kesepaduan sosial dalam kehidupan seharian.
Pengenalan
Perbincangan yang terangkum dalam modul hubungan etnik ini memberikan tumpuan khususnya kepada bentuk, tahap, tingkat dan intensiti hubungan antara kumpulan etnik yang wujud dalam sesuatu masyarakat dengan negara itu. Dalam konteks ini, tumpuan adalah untuk mempelajari, menganalisis serta memahami negara dan masyarakat di Malaysia.
Namun demikian, bentuk, tahap, tingkat dan intensiti hubungan antara dua kumpulan etnik yang berlainan ataupun antara pelbagai kumpulan etnik tidak semestinya dipengaruhi oleh dimensi etnik semata-mata. Unsur-unsur daripada pelbagai dimensi sosial yang lain seperti kelas, status, agama, gender, bahasa, kedudukan sosioekonomi, ideologi politik dan wilayah adalah penting dan mempengaruhi
2 Hubungan Etnik
dinamika hubungan antara etnik; seterusnya mengubah bentuk identiti sesesuatu kumpulan etnik. Dalam menganalisis kedinamikan hubungan etnik, apakah dimensi sosial yang sesuai dalam sesebuah masyarakat? Hubungan antara individu yang ada dalam sesebuah masyarakat tidak sekadar dipengaruhi oleh unsur etnik semata-mata, tetapi juga seperti yang dinyatakan dipengaruhi oleh unsur-unsur sosial yang lain.
Dalam usaha mengenal pasti unsur-unsur sosial tersebut, dapat dilihat unsur sosial yang paling mempengaruhi pembentukan identiti kumpulan. Seterusnya, unsur sosial yang manakah pula mempengaruhi bentuk, tahap, tingkat mahupun intensiti hubungan antara etnik yang terhasil daripadanya. Oleh hal demikian, dalam proses mengkaji ciri- ciri yang membentuk sesuatu kumpulan etnik, aspek akar umbi kepada motivasi yang membentuk batas kumpulan perlu difahami. Keadaan ini boleh mencairkan batas kumpulan etnik selain membina ikatan merentas kumpulan dan seterusnya membina kesepaduan sosial dalam kehidupan masyarakat di Malaysia.
Sebuah negara, dua imaginasi Sosiologikal: antara
‘Perpaduan’ atau ‘Kesepaduan’
Ungkapan ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ – unity in diversity – , sudah menjadi mantra dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. Namun jarang-jarang sekali kita bertanya apakah makna ungkapan ini, adakah perkara itu benar, separuh benar, palsu atau retorik semata-mata apabila digunakan untuk menyimpulkan wajah masyarakat Malaysia. Ungkapan atau slogan ini mengangkat sekali gus memuji kemampuan kelompok manusia yang berbeza-beza hidup dalam sebuah masyarakat. Dari sudut psikologi sosial keadaan ini mengungkapkan satu bentuk psyche manusia, iaitu ‘rasa kesatuan’ yang merentas pemisahan fizikal dan psikologikal, yang meliputi juga konteks metafizikal.
Dari persektif antropologi-sosiologi, khususnya dari aspek epistemologi, slogan unity in diversity merupakan suatu rumusan yang menyimpulkan dan mengartikulasikan bagaimana manusia mengurus dan menyusun, dari segi abstrak dan nyata, perbezaan sosial yang sedia ada dalam kalangan mereka. Perbezaan ini boleh dicirikan oleh unsur agama, etnik, wilayah dan sebagainya. Suasana ini dikaitkan juga dengan penciptaan identiti berdasarkan himpunan sempadan abstrak dan nyata yang telah digarap cipta sesama manusia.
Dari sudut ontologikal pula, perlunya mengurus dan menyusun perbezaan ini adalah, pada umumnya, atas keinginan untuk mewujudkan keadaan aman dan stabil dalam sesebuah masyarakat yang rencam keanggotaan kelompok sosialnya agar dapat meraih kesenangan dan mungkin juga kemewahan material. Namun, tidak semua yang mahukan keamanan dan kestabilan. Ada pihak yang menggunakan perbezaan sosial itu sebagai pelantar ideologi untuk memperjuangkan kesukuan dan chauvanisme melalui keganasan. Malah, mereka bersedia mengorbankan ribuan nyawa demi menegakkan identiti dan perbezaan sosial. Untuk mendalami kefahaman kita mengenai fenomena ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ menuntut imaginasi sosiologikal yang bersifat global yang membayangkan sebuah idaman dan harapan.
Memang wujud suatu kesedaran nyata yang mempengaruhi psyche manusia sejak zaman-berzaman bahawa mereka tidak ada pilihan, tetapi mesti hidup bersama-sama dengan manusia dan kelompok sosial yang berbeza-beza. Oleh yang demikian, mereka mesti mencari jalan dan mengatur berbagai-bagai cara supaya perbezaan ini tidak menjadi halangan untuk mereka terus hidup aman damai dan produktif.
Kalaulah ‘perpaduan’ dalam konteks cogan kata ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ itu masih belum wujud dan merupakan suatu cita-cita, idaman dan harapan yang terus-menerus diperjuangkan, apakah sebenarnya yang wujud yang dinikmati oleh sekian ramai manusia di seluruh dunia semenjak kemajmukan menjadi ciri utama masyarakat di seluruh dunia. Perkara ini memerlukan kita membuat suatu anjakan imaginasi sosiologikal daripada yang berpaksikan ‘perpaduan’ kepada yang berpaksikan ‘kesepaduan’.
Hakikatnya, ‘perpaduan’ yang diidamkan oleh manusia yang masih belum wujud itu adalah berasaskan suatu matlamat akhir bersifat utopia yang tidak dapat dilaksanakan, iaitu unity is uniformity atau 'perpaduan' ialah keSAMAan atau keSATUan -- satu bangsa, satu agama, satu bahasa, satu negara, yang juga merupakan kata-kata slogan. Justeru, unity is uniformity hanyalah suatu gambaran tentang suatu masyarakat yang sempurna yang tidak boleh menjadi kenyataan.
Keadaan yang wujud dan terus-menerus dinikmati oleh sebilangan besar anggota masyarakat majmuk di dunia ialah ‘kesepaduan,’ iaitu, suatu fenomena sosial yang dipacu oleh idaman mendalam terhadap perpaduan yang seterusnya mempengaruhi para anggota masyarakat
4 Hubungan Etnik
tersebut untuk merangkai berbagai-bagai ikhtiar dan kegiatan yang dianggap sebagai prasyarat mencapai perpaduan. Himpunan usaha ini sering tanpa disedari telah membawakan keamanan, keharmonian dan kestabilan dalam masyarakat tetapi belum membawakan perpaduan idaman.
Himpunan usaha ini umumnya adalah bersifat fenemonologikal kerana berpaksikan prilaku, bukan bersifat struktural yang berpaksikan institusi. Oleh yang demikian, dalam konteks pembentukan kesepaduan sosial sebagai suatu fenemona praperpaduan, peranan agensi bersifat
'takrifan harian' (everyday-defined) jauh lebih penting dan berkesan daripada struktur atau institusi yang bersifat 'takrifan autoriti' (authority- defined), kerana setiap anggota masyarakat majmuk adalah bebas untuk bertindak dan berprilaku prokeamanan, prokeharmonian dan antikeganasan demi survival diri, keluarga dan kelompok sosialnya.
Oleh yang demikian, sekiranya timbul sebarang konflik, pergeseran dan pertelingkahan oleh kerana perbezaan sosial yang sedia ada dalam sesebuah masyarakat majmuk, para anggotanya akan segera mencari jalan penyelesaian melalui perundingan dalam pelbagai cara dan bentuk. Umumnya, melalui perundingan seperti ini terhasil persetujuan, kompromi dan tolak ansur dalam banyak hal. Namun, hal ini tidak bermakna bahawa semua cabaran, rasa tidak puas hati dan potensi konflik terselesai. Konflik tetap ada tetapi dalam keadaan terkawal kerana anggota masyarakat amnya menolak keganasan sebagai jalan penyelesaian terhadap perbezaan sosial.
hubungan etnik di Malaysia
Urutan sejarah Malaysia daripada selepas tamat Perang Dunia Kedua pada 1945 sehingga sekarang memaparkan tiga era penting jika diukur berdasarkan pola konflik, keamanan dan kestabilan dalam masyarakat pada setiap era tersebut seperti yang digambarkan dalam Rajah 1.1 di bawah yang membandingkan keadaan di Malaysia dengan di Sri Lanka. Pola hubungan etnik di Malaysia sejak 1946 hingga kini memperlihatkan pola turun naik dalam hubungan etnik, tetapi pada amnya keadaan di Malaysia adalah aman damai dengan hubungan etnik yang harmoni sesuai dengan hakikat, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula masyarakat pelbagai etnik, pasti sekali-sekala akan tercetus konflik dan pertelagahan.
RAJAH 1.1: Pola Perbandingan Hubungan Etnik di Malaysia dan Sri lanka, 1940-2011
6 Hubungan Etnik
Ternyata jika dibandingkan dengan Sri Lanka, untuk tempoh yang sama dari segi pola turun-naik konflik dan keamanan, Malaysia menikmati lebih banyak waktu dalam keadaan aman dan stabil (Abeyratne 2008). Pada tempoh berkenaan Sri Lanka menghadapi konflik etnik berdarah selama lebih daripada 20 tahun yang mengorbankan sejumlah 150,000 nyawa.
Biarpun secara perbandingan Malaysia jauh lebih aman, namun rakyat Malaysia telah mengalami rasa serik hidup dan terpaksa segera belajar bersabar dan cintakan keamanan dan kestabilan politik dengan mengambil bahagian aktif dalam politik kepartian berteraskan sistem demokrasi berpilihan raya. Walaupun pilihan raya umum pertama diadakan pada Julai 1955 di Semenanjung Malaysia tetapi pengalaman menubuhkan parti politik telah berlaku lebih awal daripada tarikh itu.
era Konflik (1945-1960)
Selepas Perang Dunia Kedua tamat, keadaan kehidupan rakyat sangat daif dengan persekitaran fizikal dan sosial yang memerlukan pembangunan. Suasana ketika itu memang sangat kritikal dan terbuka kepada potensi negatif dan pelbagai masalah. Masalah yang paling besar ketika itu ialah konflik etnik antara etnik Cina dengan Melayu yang tercetus daripada tindakan satu pasukan anggota komunis bernama Bintang Tiga yang selama 14 hari selepas tamatnya penaklukan Jepun, pada 16 Ogos 1945, memburu etnik Melayu yang pernah bersubahat dengan Jepun kerana mereka menjadi anggota polis Jepun, atau Jookidam. Walau apa-apa pun alasannya, akibat konflik selama 14 hari ini banyak nyawa terkorban dari kalangan etnik Melayu dan Cina. Kesan kepada psyche Melayu dan Cina selepas terjadinya perisitiwa ini pernah diungkapkan sebagai timbulnya perasaan distant and distrust antara kedua-dua kelompok etnik ini. Konflik ini jarang-jarang disebut di Malaysia kerana konflik etnik yang berlaku pada 13 Mei 1969 telah diberikan perhatian besar-besaran.
Ketidakstabilan dan keadaan tidak aman ini berlanjutan setelah kerajaan kolonial British pada 1 April 1946 mengisytiharkan Malayan Union sebagai kerajaan baharu selepas perang di Malaya. Pembentukan Malayan Union, yang melibatkan antaranya penyerahan semua kuasa Raja-Raja Melayu, kecuali yang berkaitan dengan agama Islam, kepada Mahkota British, menjadikan sebelas buah negeri di Malaya sebagai
sebuah British crown colony. Parti Melayu UMNO yang dibentuk pada
11 Mei 1946 berjaya memobilisasikan pelbagai pertubuhan Melayu untuk menentang penubuhan Malayan Union yang dilihat sebagai lebih menguntungkan kaum bukan Melayu ketika itu.
Pada 31 Januari 1948, setelah Malayan Union dibubarkan, melalui Perjanjian Persekutuan 1948, wujud Persekutuan Tanah Melayu, dengan Pulau Pinang dan Melaka dikategorikan sebagai British colonial territories dan Negeri Melayu yang sembilan itu dikategorikan sebagai protectorates kepada United Kingdom.
Rusuhan dan mogok oleh pekerja-pekerja ladang telah berlaku secara besar-besaran di Malaya ketika itu. Pemimpin kesatuan sekerja yang terlibat mengorganisasi rusuhan dan mogok ini telah ditangkap dan pertubuhan mereka diharamkan. Penglibatan Bintang Tiga sebagai dalang dalam rusuhan tersebut dan juga tindakan ganas mereka membunuh tiga orang pengurus ladang keturunan Eropah di Sungai Siput pada 16
Ogos 1948 akhirnya telah menyebabkan pemerintah kolonial British mengisytiharkan Darurat pada 23 Julai 1948, yang hanya tamat 12 tahun kemudian iaitu pada 31 Julai 1960.
Dalam suasana ekonomi, sosial dan politik yang sungguh mencabar ini, pemerintah kolonial British telah juga berusaha meredakan ketegangan etnik dan membina suatu badan perunding yang boleh mengembalikan kesepaduan sosial dalam kalangan tiga kelompok etnik di Malaya – Melayu, Cina dan India – dengan menubuhkan Communities Liaison Committee (ClC) pada 1949 dan dipertanggungjawabkan kepada Malcolm MacDonald, Pesuruhjaya Agung British di Asia Tenggara. Anggota CLC terdiri daripada ketua etnik Melayu, Cina dan India.
Badan ini boleh dianggap sebagai yang bertanggungjawab meletakkan kerangka dan sempadan untuk perbincangan terbuka dari hati ke hati antara elit Melayu, Cina dan India ketika itu bagi ‘mencari kejernihan dalam kekeruhan’. Idea dan konsep CLC ini dikatakan mengasaskan perkongsian kuasa di Malaysia dan wujudnya konsep Perikatan sebagai suatu institusi dan sebuah parti yang menggabungkan parti politik Melayu, Cina dan India. Akhirnya, pada awal 1974 Perikatan dibesarkan menjadi Barisan Nasional. Menggunakan konsep yang sama Pakatan Rakyat ditubuhkan oleh beberapa parti pembangkang di Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum 2008.
Peranan dan kesan CLC terhadap usaha membina kesepaduan
sosial yang berterusan di Malaysia hingga sekarang sangat kritikal tetapi masih belum dikaji. CLC menjadi salah satu institusi dan prinsip yang mendasari kekuatan Malaysia yang sering dikagumi oleh masyarakat lain sedunia. Usaha perundingan yang terus-menerus menjadi kerangka yang membolehkan perbezaan dan kepelbagaian di Malaysia dapat dipertahankan, biarpun cabaran datang bertalu-talu.
Bermula dari sinilah wujudnya konsep serta kegiatan ‘ethnic bargaining,’ atau tolak ansur etnik yang digunakan dalam analisis politik mengenai Malaysia. Prinsip ini juga telah menjadi kerangka perundingan antara British dengan para pemimpin etnik dan ketua parti politik Malaysia sebelum Merdeka termasuk perundingan antara Tunku Abdul Rahman Putera dengan Chin Peng, ketua Parti Komunis Malaya (PKM), di Baling pada 1955 dalam usaha membolehkan anggota PKM kembali ke dalam politik arus perdana. Pilihan Raya Umum pertama di Malaya pada
27 Julai 1955 sebenarnya telah merealisasikan cita-cita ClC diwujudkan. Strategi perundingan etnik ini juga telah digunakan semasa menggubal Perlembagaan Persekutuan, melalui Jawatankuasa Reid. Malah, institusi
'rencana pembangunan lima tahun’ yang pertama di Malaya, iaitu, Draft
Development Plan 1950-55 pun terhasil daripada perundingan.
Apabila Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, waktu itu Malaya masih dalam Darurat, yang hanya tamat pada 31 Julai 1960. Hal ini bermakna perintah berkurung dari pukul 6 petang ke 6 pagi esoknya masih berkuat kuasa ketika itu. Ertinya, rakyat telah keluar beramai-ramai untuk menyambut kemerdekaan selepas tamat perintah berkurung jam 6 pagi pada 31 Ogos dan selepas perayaan mereka pulang ke rumah untuk berkurung kembali pada jam 6 petang. Implikasinya, rakyat dan negara memperoleh kemerdekaan, tetapi ternyata tanpa kebebasan kerana Perang Dingin masih bergolak di dunia, temasuk di Malaya, maka peraturan Darurat dan undang-undang yang berkaitan yang membataskan kebebasan juga masih berkuat kuasa.
Boleh dirumuskan bahawa Era Konflik 1945-1960 di Malaya adalah sebenarnya era yang cukup kritikal dari semua segi, terutamanya, dalam meletakkan asas pembentukan negara Malaysia, iaitu, sistem pemerintahan, pengagihan kuasa, sistem perundangan dan tadbir urus serta penentuan hak-hak rakyat dalam sebuah sistem demokrasi, biarpun masih memerlukan banyak pembaikan.
era Stabil Tapi Tegang (1961-1970)
Sepuluh tahun selepas tamat Darurat, Perang Dingin masih terus terjadi dan hanya berakhir pada 1989, kira-kira 30 tahun selepas Malaya merdeka dan 26 tahun selepas terbentuknya Malaysia. Implikasinya, Malaya yang merdeka pada 1957 dengan Malaysia terbentuk pada 1963, di samping perlu menangani cabaran terhadap kesepaduan sosial yang telah mula mekar, terpaksa berhati-hati menghadapi ancaman keganasan komunis yang masih mengorbankan nyawa, khususnya di Sarawak. Dengan kata lain, keadaan ‘stabil tetapi tegang,’ bermaksud pelbagai cabaran masih wujud menguji kesepaduan sosial yang dibina oleh rakyat.
Wujudnya Malaysia pada 16 September 1963, selepas suatu referendum di Sarawak dan Sabah, merupakan satu lagi kejayaan pengaplikasian prinsip ‘tolak ansur etnik’ yang diamalkan semenjak CLC ditubuhkan pada 1949. Satu Perjanjian telah dibuat antara kerajaan persekutuan dengan Sabah yang menjanjikan autonomi kepada Sabah dalam 20 perkara dan Sarawak dalam 18 perkara, seperti mereka berhak mengurus sendiri hal imigresen yang telah mengukir sifat federalisme yang kita kenal pada hari ini.
Walau bagaimanapun idea/konsep Malaysia itu tidak diterima oleh
Indonesia, yang dipimpin Sukarno. Beliau menganggap Malaysia sebagai
‘neo-colony’, iaitu sebuah koloni baharu, tetapi dalam pemerintahan orang tempatan sehingga Indonesia melancarkan konfrontasi atau mengganyang Malaysia.
Peristiwa yang majoriti rakyat Malaysia lupa atau tidak tahu ialah
tercetusnya rusuhan etnik Melayu-Cina di Singapura pada 21 Julai dan 3
September 1964, ketika Singapura masih dalam Malaysia. Akibatnya kira- kira 40 nyawa dilaporkan terkorban dan ribuan lagi ditangkap. Rusuhan ini kemudiannya diikuti oleh satu rusuhan lain yang lebih besar kali ini di Kuala lumpur, iaitu, rusuhan etnik Melayu-Cina, pada 13 Mei 1969dan di beberapa tempat lain. Data rasmi menyatakan bahawa rusuhan ini telah mengorbankan kira-kira 250 nyawa, tetapi laporan pemberita yang tidak ada bukti sahih mendakwa bilangannya jauh lebih tinggi.
Selepas 13 Mei 1969, pelbagai usaha top-down untuk mengembalikan kepercayaan umum tentang perlunya kesepaduan sosial telah dilaksanakan, seperti penubuhan Majlis Perundingan Rakyat, Jabatan
Perpaduan Negara, Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam buku merah Rancangan Malaysia Kedua 1971-1975 (RMK2) Tun Razak telah menyatakan bahawa “the overriding aim of the Second Malaysia Plan is to create national unity.” Semenjak itulah “perpaduan nasional” menjadi sebahagian daripada idiom popular dalam kehidupan rakyat Malaysia yang telah disisip dalam ucapan, lirik lagu dan puisi. Perpaduan dijadikan sebagai harapan nasional dan idaman semua, tanpa rakyat Malaysia menyedari bahawa mereka sudah menikmati kesepaduan sosial.
Jika pada akhir Era Konflik (1945-1960) platfom kesepaduan nasional telah mula dirangka dan diaplikasikan, biarpun belum teguh, tetapi pada Era Stabil tetapi Tegang (1961-1970) asas dan struktur rangka kesepaduan sosial yang lebih mantap terbina akibat trauma nasional selepas Peristiwa Berdarah 13 Mei 1969. Kesepaduan berlaku dalam suasana yang umumnya stabil dan aman, tetapi tersentak tegang oleh kerana keganasan etnik dan juga keganasan serangan ‘Ganyang Malaysia’ oleh angkatan bersenjata Sukarno semasa Konfrontasi. Pengalaman pahit ini sebenarnya telah mematangkan rakyat Malaysia.
era Kesepaduan Sosial (1971-2011)
lebih daripada 40 tahun telah berlalu selepas tragedi rusuhan etnik Mei 13 1969.
Suasana terus aman, stabil dan harmoni, kecuali selama lima hari dari 4 hingga ke
8 Mac 2001 apabila berlakunya rusuhan etnik Melayu-India di Kampung Medan, Selangor, sebuah kawasan kediaman setinggan kelas pekerja dan yang dilaporkan mengorbankan kurang daripada 10 nyawa. Tragedi ini memperingat rakyat Malaysia bahawa bukan faktor politik, tetapi faktor ekonomi, seperti kesukaran hidup dan persaingan untuk survival boleh mencetuskan pergeseran etnik, khususnya dalam kalangan anggota kelas bawahan. Hal ini mengingatkan kita kembali terhadap perdebatan yang belum berakhir antara pendekatan etnik dan kelas sebagai lensa yang memerhatikan dinamika masyarakat Malaysia.
Kita juga diperingatkan bahawa slogan ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ dan
‘perpaduan nasional’ itu adalah suatu harapan positif terhadap suatu masa depan
yang lebih gemilang daripada sekarang, termasuk cita-cita kita merealisasikan
‘bangsa idaman’, iaitu ‘Bangsa Malaysia.’ Sebaliknya apa yang sebenarnya kita dukung dan dakap, malah suatu fenomena yang tidak pernah kita berikan sebarang nama pun selama ini, tetapi terus dinikmati adalah konsep kesepaduan sosial.
Oleh itu, yang jelas pada masyarakat umum Malaysia, biar pun nampak kabur kepada sesetengah pemimpin dan sebahagian besar pemberita, ialah bahawa selama 40 tahun selepas terjadi tragedi 13 Mei sebarang perbezaan sosial sesama mereka mesti diselesaikan dengan aman kerana kos melepas sebarang konflik terbuka adalah terlalu tinggi kepada setiap individu, setiap kolektif sosial, setiap etnik, setiap wilayah dan kepada negara Malaysia keseluruhannya.
Kunci kesepaduan sosial Malaysia, ialah kematangan rakyatnya. Jika dulunya selepas setiap pilihan raya umum di Malaysia ramai yang berasa gundah kerana kemungkinan mereka yang kalah melepaskan geram melalui tindakan rusuhan ganas. Namun semenjak Pilihan Raya Umum ke-4 pada 1974 (PRU4 1974) sehingga PRU12 2008, sebanyak sembilan kali pilihan raya diadakan namun tidak wujud sebarang kekacauan etnik yang ditimbulkan oleh pihak yang kalah sehingga mencetuskan perbalahan. Hal ini termasuk dalam puluhan pilihan raya kecil yang telah diadakan berulang kali.
Dari sudut takrifan harian, rakyat Malaysia tidak segan silu untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap sebarang perkara yang mereka tidak suka. Kemudahan Internet, SMS dan pelbagai lagi saluran data siber lebih memudahkan proses penyuaraan mereka. Apatah lagi komentar boleh disampaikan dalam suatu konteks yang selesa dari segi peribadi, umpama ‘campak batu sembunyi tangan’, iaitu penulis yang mengkritik dapat bersembunyi di sebalik nama samarannya. Dalam suasana ini terbuhul suatu pola yang jelas iaitu rakyat Malaysia sangat “suka bertikam lidah, tetapi tidak bertikam menggunakan parang” — Malaysians prefer tongue wagging to parang wielding.
Keadaan ini memperlihatkan bahawa sesiapa pun boleh menyuarakan rasa tidak puas hati tentang segala hal yang tersirat di kalbu masing-masing, sama ada dalam hal peribadi, etnik ataupun kualiti hidup. Keterbukaan rakyat Malaysia dalam menyuarakan hal-hal ini telah menimbulkan salah sangka besar oleh pemerhati dari dalam dan luar negara. Seringkali kata-kata kesat yang dikeluarkan oleh seseorang ahli politik, guru sekolah dan orang biasa tentang ‘kaum pendatang’ dan lain-lain selalunya akan menimbulkan kekecohan dalam media, diikuti lontaran kritikan berentetan untuk beberapa minggu di ruang siber atau dalam media cetak.
Hal ini merupakan satu lagi ciri prilaku rakyat Malaysia pada peringkat everyday-defined di Malaysia, iaitu “they talk conflict, they walk cohesion.” Maksudnya, mereka sedia berdebat habis-habisan tentang segala perkara yang difikirkan tidak betul atau tidak sempurna yang dilakukan oleh pemerintah, pihak swasta dan para pemimpin. Perkara ini lebih merupakan satu kegiatan psikososial sihat, iaitu lebih suka meluahkan segala yang terbuku di hati daripada disimpan senyap sehingga ‘meletup’ dalam pelbagai bentuk yang memusnahkan.
Oleh sebab rakyat Malaysia lebih suka “tongue wagging and not parang wielding” dan lebih senang ”talk conflict, walk cohesion”, maka gambaran yang diberikan kepada orang luar boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan mereka kerana perkara didengar oleh mereka dan diperhati ialah “tongue wagging” dan “talk conflict” yang kadang-kadang pedas, keras dan sangat berkonfrontasi bunyinya. Apatah lagi jika penyuaraan itu disampaikan dalam blog, YouTube dan melalui SMS, yang seolah-olah esok akan berlaku peristiwa 13 Mei 1969 sekali lagi.
Boleh dirumuskan bahawa Era Kesepaduan Sosial (1971-2011) adalah era ketika berlakunya pemantapan interaksi antara M+N+ [iaitu Masyarakat (Society), Negara (State) dan Pasaran (Market)] telah disulam erat dengan positif, biarpun turun-naik berlaku akibat pengaruh dan perkembangan global. Dalam era tersebut terbukti bahawa ekonomi Malaysia telah mampu bertahan. Justeru, paksi utama kesepaduan sosial adalah kemakmuran dan kestabilan ekonomi yang seterusnya mendukung keamanan dan kestabilan politik. Gabungan perkembangan ekonomi pesat dan suasana politik yang stabil telah membolehkan kita bertahan dari segi kesepaduan sosial, sambil terus mengidamkan perpaduan. Perbandingan antara pengalaman Sri Lanka dan Malaysia (Abeyratne 2008) untuk 40 tahun yang lalu menunjukkan kepada kita peri pentingnya kaitan simbiotik ekonomi, politik serta kesepaduan sosial, yang dirangkai melalui hubungan intim antara M+N+P.
Tentunya berlaku persaingan, kontradiksi dan ketegangan dari segi ruang dan kepentingan antara ketiga-tiga komponen tersebut (M+N+P) yang boleh memberi kesan kepada seluruh masyarakat Malaysia kerana tersirat di dalamnya ialah aspek hubungan etnik, kelas, wilayah dan perbezaan sosial yang kritikal dan perlu sentiasa diimbangkan. Kadang-kadang pengaruh dan pergolakan luar negeri mengesankan apa yang berlaku dalam negara, seperti isu TKI (Tenaga Kerja Indonesia) yang terus-menerus mencabar M+N+P serentak, dulu, sekarang dan pada masa depan. Justeru kesepaduan sosial di Malaysia adalah terbina di atas lapisan jaringan hubungan yang rumit lagi kompleks di dalam dan di luar negeri.
Masyarakat Pelbagai etnik di Malaysia
Jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2010 ialah 28.3 juta (Jabatan Perangkaan Malaysia). Malaysia mempunyai lebih daripada 70 kumpulan etnik dan sekiranya ditambah dengan kelompok yang mewakili subetnik, kumpulan bahasa dan dialek, jumlahnya melebihi 200 kumpulan. Jadual
1.1 adalah memaparkan pelbagai kumpulan etnik, subetnik, suku, bahasa
dan dialek yang wujud di Malaysia.
JADUAl 1.1: Senarai Kumpulan Etnik, Subetnik, Suku, Bahasa dan Dialek di Malaysia
Kumpulan Etnik, Subetnik, Suku, Kumpulan Bahasa dan Dialek di Semenanjung
Acheh, Baba Nyonya, Banjar, Bateq, Bengali, Beri, Boyan, Bugis, Chettiar, Chewong, Chindian, Foochow, Gujarati, Hainanese, Hakka, Hokkien, Jah Hut, Jahai, Jakun, Jawa, Kanaq, Kensiu, Kintaq, Kwangsi, Kwantung, Lanoh,
Mah Meri, Malabaris, Malayalee, Mandaling, Melayu, Melayu Patani, Mendriq, Min Bei, Minangkabau, Orang Kuala, Orang Seletar, Pakistan, Portugis, Punjabi, Rawa, Semai, Semaq, Semelai, Serani, Siam, Sindhi, Tamil, Telegu, Temiar, Temuan, Teochew, kumpulan etnik pekerja- pekerja migran dan pelbagai kumpulan etnik, subetnik, suku, kumpulan bahasa dan dialek yang lain.
Kumpulan Etnik, Subetnik, Suku, Kumpulan Bahasa dan Dialek di Sabah
Bajau, Bisaya, Bonggi, Bookan, Bugis, Cina, Dumpas, Dusun, Gana, Hulu, Ida’an, India,
Iranun, Kadazan, Kagayan, Kalabakan, Kalabuan, Kedayan, Keningau
Murut, Kepulauan Kokos, Kimaragang, Kinabatangan, Kuijau, labuk-Kinabatangan, Lobu, Lotud, Lundayeh, Makiang, Mangkaak, Melayu, Minokok, Murut, Okolod, Paitan, Paluan, Papar, Rungus, Sama Selatan, Selungai, Sembakung, Serudung, Sinabu, Sino-Kadazan, Suluk, Sungai, Tagal, Tatana’, Tausug,
Tempasuk Dusun, Tengara, Tidung, Timugon, Tinagas, Tobiling, Tombonuo, Ubian, kumpulan etnik pekerja-pekerja migran
dan pelbagai kumpulan etnik, subetnik, suku, kumpulan bahasa dan dialek yang lain.
Kumpulan Etnik, Subetnik, Suku, Kumpulan Bahasa dan Dialek di Sarawak
Balau, Berawan, Bidayuh, Bukitan, Cina, Iban, India, Kajang, Kayan, Kedayan, Kejaman, Kelabit, Kenawit, Kenyah, Lahanan,
Lisum, Longkiput, Lun Bawang, Lun Dayeh, Melanau, Melayu Sarawak, Murut, Penan, Punan Bah, Punan
Biau, Punan Busang, Punan, Remun, Saban, Sebuyau, Sekapan, Sihan, Tabun, Tagal, Ukit, kumpulan etnik pekerja-pekerja migran dan pelbagai kumpulan etnik, subetnik, suku, kumpulan bahasa dan dialek yang lain.
Potret hubungan etnik di Malaysia
Pola kerencaman dan kepelbagaian penduduk yang wujud secara tidak langsung menggalakkan perspektif bahawa hubungan etnik di Malaysia pada umumnya adalah bersifat rapuh, mudah retak dan cenderung ke arah ketegangan dan sering membawa kepada keadaan yang berkonflik. Adakah pandangan sebegini tepat untuk menghuraikan hubungan etnik di Malaysia? Jika pandangan sebegini diterima, negara Malaysia sebagai sebuah negara bangsa mungkin tidak dapat bertahan dan wujud dalam peta dunia. Keadaan yang wujud ialah etnik yang pelbagai ini akan membentuk negara mengikut acuan etnik masing-masing. Namun demikian, hakikatnya negara Malaysia dengan kerencaman demografi yang berbeza terus kukuh, maju dan membangun malah disegani oleh jiran tetangga dalam konteks negara berbilang etnik.
Keadaan yang aman damai telah melahirkan suatu bentuk kestabilan politik, ekonomi dan sosial yang baik. Keadaan ini membolehkan rakyat daripada pelbagai etnik dapat hidup bersama dalam suasana aman dan bebas daripada konflik kekerasan etnik yang kerap dan berpanjangan sebagaimana berlaku di negara yang sentiasa berkonflik seperti Sri Lanka, Somalia dan Palestin.
Keupayaan Malaysia mengekalkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial membolehkannya terus membangun dengan pesat dalam pertumbuhan ekonomi yang stabil. Malaysia turut berjaya mencapai tahap negara berpendapatan sederhana dalam tempoh kurang daripada
50 tahun.
Dengan komposisi etnik, agama, budaya dan bahasa yang begitu kompleks, Malaysia berjaya mengekalkan kerukunan dalam kehidupan bermasyarakat serta pencapaian pembangunan. Justeru, keunikan tadbir urus negara dalam mengolah perpaduan dalam kepelbagaian amat penting daripada hanya melihat dimensi konflik mahupun ketegangan. Aspek tadbir urus perpaduan dalam kepelbagaian ini sebenarnya membawa kepada kefahaman terhadap proses kesepaduan sosial dalam masyarakat yang sebenarnya merupakan inti pati kepada kestabilan, keamanan mahupun kerukunan hidup masyarakat berbilang etnik. Kestabilan dan keamanan yang dikecapi telah diiktiraf oleh Global Peace Index yang telah menyenaraikan Malaysia di tangga ke-19 sebagai antara negara paling stabil dan aman di dunia. Berdasarkan Jadual 1.2 kedudukan negara yang disenaraikan dalam Global Peace Index 2011,
Malaysia adalah satu-satunya negara heterogeneous dengan komposisi demografi pelbagai etnik berada di senarai paling atas. Sebaliknya, negara- negara lain yang berada pada kedudukan lebih baik daripada Malaysia secara umumnya ialah negara yang lebih bersifat homogeneous. Pada tahun 2011 kedudukan Malaysia berada di tangga ke-19 manakala pada tahun 2012 kedudukannya adalah pada tangga ke-20 iaitu mendahului Australia (ke-22) dan Singapura (ke-23).