Ungkapan ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ – unity in diversity – , sudah menjadi mantra dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. Namun jarang-jarang sekali kita bertanya apakah makna ungkapan ini, adakah perkara itu benar, separuh benar, palsu atau retorik semata-mata apabila digunakan untuk menyimpulkan wajah masyarakat Malaysia. Ungkapan atau slogan ini mengangkat sekali gus memuji kemampuan kelompok manusia yang berbeza-beza hidup dalam sebuah masyarakat. Dari sudut psikologi sosial keadaan ini mengungkapkan satu bentuk psyche manusia, iaitu ‘rasa kesatuan’ yang merentas pemisahan fizikal dan psikologikal, yang meliputi juga konteks metafizikal.
Dari persektif antropologi-sosiologi, khususnya dari aspek epistemologi, slogan unity in diversity merupakan suatu rumusan yang menyimpulkan dan mengartikulasikan bagaimana manusia mengurus dan menyusun, dari segi abstrak dan nyata, perbezaan sosial yang sedia ada dalam kalangan mereka. Perbezaan ini boleh dicirikan oleh unsur agama, etnik, wilayah dan sebagainya. Suasana ini dikaitkan juga dengan penciptaan identiti berdasarkan himpunan sempadan abstrak dan nyata yang telah digarap cipta sesama manusia.
Dari sudut ontologikal pula, perlunya mengurus dan menyusun perbezaan ini adalah, pada umumnya, atas keinginan untuk mewujudkan keadaan aman dan stabil dalam sesebuah masyarakat yang rencam keanggotaan kelompok sosialnya agar dapat meraih kesenangan dan mungkin juga kemewahan material. Namun, tidak semua yang mahukan keamanan dan kestabilan. Ada pihak yang menggunakan perbezaan sosial itu sebagai pelantar ideologi untuk memperjuangkan kesukuan dan chauvanisme melalui keganasan. Malah, mereka bersedia mengorbankan ribuan nyawa demi menegakkan identiti dan perbezaan sosial. Untuk mendalami kefahaman kita mengenai fenomena ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ menuntut imaginasi sosiologikal yang bersifat global yang membayangkan sebuah idaman dan harapan.
Memang wujud suatu kesedaran nyata yang mempengaruhi psyche manusia sejak zaman-berzaman bahawa mereka tidak ada pilihan, tetapi mesti hidup bersama-sama dengan manusia dan kelompok sosial yang berbeza-beza. Oleh yang demikian, mereka mesti mencari jalan dan mengatur berbagai-bagai cara supaya perbezaan ini tidak menjadi halangan untuk mereka terus hidup aman damai dan produktif.
Kalaulah ‘perpaduan’ dalam konteks cogan kata ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ itu masih belum wujud dan merupakan suatu cita-cita, idaman dan harapan yang terus-menerus diperjuangkan, apakah sebenarnya yang wujud yang dinikmati oleh sekian ramai manusia di seluruh dunia semenjak kemajmukan menjadi ciri utama masyarakat di seluruh dunia. Perkara ini memerlukan kita membuat suatu anjakan imaginasi sosiologikal daripada yang berpaksikan ‘perpaduan’ kepada yang berpaksikan ‘kesepaduan’.
Hakikatnya, ‘perpaduan’ yang diidamkan oleh manusia yang masih belum wujud itu adalah berasaskan suatu matlamat akhir bersifat utopia yang tidak dapat dilaksanakan, iaitu unity is uniformity atau 'perpaduan' ialah keSAMAan atau keSATUan -- satu bangsa, satu agama, satu bahasa, satu negara, yang juga merupakan kata-kata slogan. Justeru, unity is uniformity hanyalah suatu gambaran tentang suatu masyarakat yang sempurna yang tidak boleh menjadi kenyataan.
Keadaan yang wujud dan terus-menerus dinikmati oleh sebilangan besar anggota masyarakat majmuk di dunia ialah ‘kesepaduan,’ iaitu, suatu fenomena sosial yang dipacu oleh idaman mendalam terhadap perpaduan yang seterusnya mempengaruhi para anggota masyarakat
4 Hubungan Etnik
tersebut untuk merangkai berbagai-bagai ikhtiar dan kegiatan yang dianggap sebagai prasyarat mencapai perpaduan. Himpunan usaha ini sering tanpa disedari telah membawakan keamanan, keharmonian dan kestabilan dalam masyarakat tetapi belum membawakan perpaduan idaman.
Himpunan usaha ini umumnya adalah bersifat fenemonologikal kerana berpaksikan prilaku, bukan bersifat struktural yang berpaksikan institusi. Oleh yang demikian, dalam konteks pembentukan kesepaduan sosial sebagai suatu fenemona praperpaduan, peranan agensi bersifat
'takrifan harian' (everyday-defined) jauh lebih penting dan berkesan daripada struktur atau institusi yang bersifat 'takrifan autoriti' (authority- defined), kerana setiap anggota masyarakat majmuk adalah bebas untuk bertindak dan berprilaku prokeamanan, prokeharmonian dan antikeganasan demi survival diri, keluarga dan kelompok sosialnya.
Oleh yang demikian, sekiranya timbul sebarang konflik, pergeseran dan pertelingkahan oleh kerana perbezaan sosial yang sedia ada dalam sesebuah masyarakat majmuk, para anggotanya akan segera mencari jalan penyelesaian melalui perundingan dalam pelbagai cara dan bentuk. Umumnya, melalui perundingan seperti ini terhasil persetujuan, kompromi dan tolak ansur dalam banyak hal. Namun, hal ini tidak bermakna bahawa semua cabaran, rasa tidak puas hati dan potensi konflik terselesai. Konflik tetap ada tetapi dalam keadaan terkawal kerana anggota masyarakat amnya menolak keganasan sebagai jalan penyelesaian terhadap perbezaan sosial.
hubungan etnik di Malaysia
Urutan sejarah Malaysia daripada selepas tamat Perang Dunia Kedua pada 1945 sehingga sekarang memaparkan tiga era penting jika diukur berdasarkan pola konflik, keamanan dan kestabilan dalam masyarakat pada setiap era tersebut seperti yang digambarkan dalam Rajah 1.1 di bawah yang membandingkan keadaan di Malaysia dengan di Sri Lanka. Pola hubungan etnik di Malaysia sejak 1946 hingga kini memperlihatkan pola turun naik dalam hubungan etnik, tetapi pada amnya keadaan di Malaysia adalah aman damai dengan hubungan etnik yang harmoni sesuai dengan hakikat, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula masyarakat pelbagai etnik, pasti sekali-sekala akan tercetus konflik dan pertelagahan.