Hubungan etnik di Malaysia dapat dilihat dalam tiga fasa utama iaitu sebelum merdeka, selepas merdeka dan selepas hampir 50 tahun merdeka.
1.1 Sebelum Merdeka
Pada zaman penjajahan British, pelbagai dasar telah diperkenalkan menyebabkan jurang perbezaan antara etnik di negara ini menjadi amat ketara dalam semua bidang seperti politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan tempat tinggal. Pihak British telah memperkenalkan dasar-dasar pembangunan ekonomi dan pada masa yang sama menggalakkan kemasukan buruh asing dari negara Cina dan India. Tindakan pihak British secara tidak langsung telah mengubah komposisi kaum di negara ini. Pada zaman penjajahan British, hubungan etnik terpisah dari segi budaya, ekonomi, politik, sosial dan tempat tinggal sehingga perang dunia kedua. Dasar Pecah dan Perintah (Divide and Rule) pihak British telah melahirkan masyarakat majmuk yang mempunyai ciri-ciri berbeza dari segi penempatan dan pekerjaan seperti berikut: -
· Etnik Melayu tertumpu di kawasan kampung-kampung dan bekerja sebagai petani, pesawah, nelayan, pertukangan dan sebagainya.
· Etnik Cina tertumpu di kawasan bandar dan bekerja di kawasan lombong, melibatkan diri dalam perniagaan runcit dan sebagainya.
· Etnik India tertumpu di kawasan estet dan lading-ladang. Bekerja sebagai penoreh, buruh binaan dan sebagainya.
Pada zaman pemerintahan Jepun pula, penindasan terhadap etnik Cina berlaku. Permusuhan ini adalah kesan daripada perang Jepun-China pada tahun 1937. Pihak Jepun menjaga hubungan baik dengan masyarakat Melayu dan orang-orang Melayu diberi peluang untuk bekerja dalam pentadbiran. Pihak Jepun juga menjaga hubungan baik dengan orang-orang India. Sistem pemerintahan Jepun yang berat sebelah telah mengundang permusuhan di kalangan etnik Cina dan Melayu. Etnik Cina aktif berpolitik dan menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menentang Jepun. PKM berfungsi menjaga dan membela nasib orang Cina yang tertindas.
Parti politik Cina telah menyiksa orang-orang Melayu sebagai tanda membalas dendam setelah pihak Jepun berundur dari Tanah Melayu. Jurang di antara etnik pada zaman penjajahan adalah amat besar dan menimbulkan ketidakpuasan di kalangan pelbagai etnik di negara ini. Etnik Cina dan India berusaha ke arah mendapatkan taraf sama rata seperti etnik dominan Melayu. Secara tidak langsung, tindakan etnik Cina dan India telah mengundang rasa tidak puas hati di kalangan etnik Melayu sehingga tertubuhnya Malayan Union pada 1 April 1946 dan Isu Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.
Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan kemerdekaan ketiga-tiga etnik ini telah bersatu dan bekerjasama membentuk Parti Perikatan yang dianggotai oleh parti UMNO, MCA dan MIC. Pembentukan ketiga-tiga jenis parti ini telah banyak menyumbang kepada perpaduan dan integrasi nasional di kalangan etnik di negara ini. Berikut adalah beberapa ciri-ciri parti politik UMNO, MCA dan MIC: -
· Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah ditubuhkan pada tahun 1946. UMNO diasaskan oleh Dato Onn Jaafar. UMNO ditubuhkan bertujuan untuk menentang Malayan Union dan berjuang menuntut kemerdekaan.
· Persatuan Cina Tanah Melayu (MCA) telah ditubuhkan pada tahun 1949. MCA diasaskan oleh Tan Cheng Lock. MCA ditubuhkan bertujuan untuk melindungi kepentingan Cina dan bekerjasama dengan etnik lain untuk mencapai kemerdekaan.
· Kongres India Tanah Melayu (MIC) telah ditubuhkan pada Tahun 1949. MIC diasaskan oleh John Thivy. MIC ditubuhkan untuk menjaga kepentingan kaum India dan memperjuangkan kemerdekaan bersama etnik lain.
Tidak dinafikan secara tidak langsung kedatangan Inggeris telah membawa kepada usaha-usaha perpaduan melalui tindakan pembentukan Jawatankuasa Perhubungan Kaum. Hubungan etnik juga amat baik semasa menentang komunis.
1.2 Selepas Merdeka
Selepas merdeka, wujud kerjasama erat di kalangan etnik di Malaysia. Kerjasama erat juga wujud sebelum dan selepas penubuhan Malaysia. Ancaman-ancaman luar seperti konfrontasi Indonesia telah mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia. Hubungan yang baik antara etnik mengundang kepada usaha nasional untuk merapatkan hubungan etnik sedia ada dari masa ke semasa. Beberapa dasar digubal oleh kerajaan telah banyak memberikan implikasi positif kepada perpaduan etnik di negara ini sehingga kini. Penglibatan semua kaum dalam perancangan negara secara tidak langsung membentuk keharmonian sehingga kini. Dari segi politik, orang Melayu diwakili oleh Parti Umno, orang Cina diwakili oleh MCA dan orang india diwakili oleh MIC. Perpaduan etnik telah membentuk Parti Perikatan dan akhirnya parti perikatan ini telah berjaya dalam pilihanraya untuk membentuk kerajaan sendiri. Beberapa dasar digubal oleh kerajaan untuk merapatkan hubungan etnik seperti berikut: -
· Dasar Pelajaran Kebangsaan
Pembentukan Dasar Pelajaran Kebangsaan dilaksanakan sebagai usaha untuk menyatupadukan murid-murid dari semua kumpulan etnik ke dalam satu sistem pelajaran yang sama dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Umumnya, dalam pendidikan usaha memupuk perpaduan dan persefahaman disalurkan melalui kurikulum dan ko-kurikulum sekolah. Matlamat penting dasar ini adalah memupuk perpaduan dan integrasi nasional melalui elemen-elemen seperti berikut: -
ü Pertama, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi.
ü Kedua, menyediakan sukatan pelajaran yang sama kandungannya.
· Dasar Ekonomi Baru (DEB)
DEB termaktub dalam rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama. DEB merupakan satu program jangka panjang yang mengambil masa selama 20 tahun. DEB dimulakan pada tahun 1970. Beberapa Matlamat utama DEB membantu dalam pembentukan integrasi nasional dalam pelaksanaannya adalah seperti berikut: -
ü Penyusunan semula masyarakat majmuk untuk mengurangkan dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.
ü Membasmi kemiskinan. Ketidakseimbagan ekonomi etnik berpunca daripada dasar pecah dan perintah Inggeris. Pengelasan etnik mengikut pekerjaan dan pelajaran telah menyebabkan interaksi etnik Melayu, Cina serta India kurang berlaku.
ü Mengurangkan ketidakseimbangan dalam gunatenaga supaya penyertaan etnik adalah seimbang.
· Dasar Pembangunan Nasional
Dasar Pembangunan Nasional (DPN) merupakan kesinambungan kepada DEB yang berakhir pada tahun 1990. Program DPN meliputi perkara-perkara seperti berikut: -
ü Membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.
ü Memastikan keseimbangan kaum dalam pelbagai aspek.
ü Meningkatkan penggunaan sains dan teknologi.
ü Menerapkan nilai sosial, kerohanian dan amalan cintakan alam sekitar.
ü Meningkatkan peluang dan kemudahan pendidikan.
1.3 Selepas Hampir 50 Tahun Merdeka
Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan sehingga kini, negara mengecapi kemerdekaan mencecah ke usia 52 tahun. Suatu tempoh yang cukup mematangkan dalam pembentukan sesebuah negara. Kemakmuran negara pada hari ini adalah disebabkan oleh wujudnya persefahaman dan sikap toleransi di kalangan etnik berbilang bangsa, budaya dan agama. Pembentukan dasar menyeluruh dan kesinambungan program pembangunan negara telah banyak membantu dalam membentuk hubungan erat di kalangan etnik di negara ini. Pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang, pelaksanaan misi Wawasan 2020 dan rancangan-rangcangan pembangunan banyak membantu dalam membentuk dan mengekalkan hubungan etnik yang baik di kalangan masyarakat majmuk berbilang kaum, bangsa dan agama.
Umpamanya, dalam Wawasan 2020 digariskan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi melibatkan hubungan etnik untuk menjadikan negara maju menjelang tahun 2020. Wawasan 2020 diwujudkan bertujuan untuk membentuk sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020. Dalam wawasan ini, sembilan cabaran berkaitan dengan hubungan etnik dikenalpasti untuk dihadapi seperti berikut: -
ü Membentuk negara bersatu padu dan satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.
ü Mewujudkan masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang ada dan gagah menghadapi pelbagai masalah.
ü Membentuk dan memperkembang masyarakat demokratik matang yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia unggul berasaskan muafakat dan musyawarah, dan dapat dicontohi oleh negara-negara membangun.
ü Mewujudkan masyarakat bermoral dan beretika sepenuhnya dengan warganegara Malaysia mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian utuh serta didorong oleh piawaian etika paling tinggi.
ü Mewujudkan masyarakat matang bersifat liberal dan bertoleransi dengan setaip rakyat bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing serta pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka pada satu negara.
ü Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat berdaya cipta serta berpandangan jauh iaitu masyarakat yang bukan saja menjadi pengguna teknologi tetapi menjadi penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.
ü Membentuk masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, sebuah masyarakat yang lebih mementingkan masyarakat berbanding diri sendiri.
ü Membentuk masyarakat yang adil ekonominya iaitu masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan secara adil dan saksama.
ü Membentuk masyarakat makmur dengan ekonomi yang mampu menghadapi persaingan, bersifat dinamik dan ada daya ketahanan.