NOOR HAFIZAH BINTI ZUKAFALI's 9.A3 : AKTIVITI 3 - OpenLearning

Jawapan Esei


NOOR HAFIZAH BINTI ZUKAFALI C15A0295 UMK (KAMPUS BACHOK) PROF MADYA DR HJ MOKHTARUDDIN BIN AHMAD Pada pandangan saya, ungkapan Bahasa Jiwa Bangsa adalah sesuatu yang keramat bagi yang memahami kepentingan bahasa kerana ia membangunkan citra pemikiran pengucapnya. Bahasa bukan sahaja sebagai alat komunikasi tetapi ia terkandung dalam pemikiran yang memberi pedoman kepada manusia tentang keburukan atau kebaikan sesuatu dan manfaat atau musibah akan sesuatu perkara. Apabila Bahasa Melayu melalui proses perkembangan dalam lingkungan masyarakat majmuk yang mana pada hakikatnya amat mengutamakan kepentingan nilai dan etika oleh itu, pengucapan masyarakat menjadi lebih tertib kerana bahasa itu adalah cerminan bangsa Malaysia itu sendiri hal ini terbukti sejak usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem, baik di sekolah mahupun di institut pengajian tinggi awam. Berdasarkan Kamus Dewan, takrifan bahasa merujuk kepada, “Sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain”. atau secara kefahaman saya bahasa itu pada dasarnya ialah bunyi suara atau bahasa lisan. Dalam senario perancangan peranan bahasa, Malaysia mempunyai dasar bahasa yang cukup jelas yang mana merangkumi empat dasar utama iaitu dasar bahasa kebangsaan, dasar bahasa rasmi, dasar bahasa pendidikan, dan dasar bahasa untuk maksud-maksud tertentu atau khusus. Senario sebegini rentetan daripada persepsi bahawa bahasa menjadi faktor terpenting dalam menentukan jati diri sesebuah negara dan menjadi keperluan bahawa bahasa kebangsaan menjadi pertuturan umum dan bahasa rasmi kebangsaan oleh itu, perlulah disedari bahawa pentingnya untuk menyatukan rakyat pelbagai etnik yang mana dari keturunan yang berbeza dengan bahasa ibunda masing-masing. Isu bahasa merupakan salah satu pokok perbincangan semasa permuafakatan kontrak sosial. Isu ini dapat diselesaikan dengan toleransi dan permuafakatan antara kaum-kaum utama di Tanah Melayu. Secara ringkasnya, dapat dirumuskan seperti berikut: Bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa kebangsaan. Hal ini bertepatan dengan Perenggan 152 para 1 dalam Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa bahasa Melayu dinaikkan taraf sebagai bahasa kebangsaan. Dasar bahasa kedua mengiktiraf peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Perenggan 152, para 1 dalam Perlembagaan Malaysia menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia ialah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan. Tanggal 1 September 1967, bahasa Melayu telah dimantapkan dengan dinobatkan sebagai bahasa rasmi bagi Persekutuan Malaysia yang telah diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Hal ini berlaku selepas 10 tahun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Namun demikian, pada masa yang sama bahasa-bahasa lain yang digunakan oleh bangsa-bangsa lain di Malaysia, bebas digunakan seperti bahasa Mandarin oleh orang Cina dan bahasa Tamil oleh orang India. Sejajar dengan fungsi bahasa Inggeris yang mendominasi bahasa perdagangan dan perindustrian negara, kerajaan Malaysia juga menggalakkan rakyatnya menguasai bahasa antarabangsa tersebut khususnya untuk bidang pelancongan dan perdagangan antarabangsa. Ketiga, dasar bahasa pendidikan Malaysia jelas, iaitu peranan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama bagi semua sistem pendidikan formal peringkat sekolah rendah kebangsaan, menengah, dan pengajian tinggi. Pengiktirafan ini telah diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961. Selain itu, peranan dan status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan terutamanya di institusi-institusi pendidikan tinggi swasta yang mengalami perubahan atau penambahbaikan apabila pihak Parlimen Malaysia meluluskan Akta Pendidikan 1996. Berpaksikan Seksyen 2 dalam Akta 1996, dapat ditafsirkan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah dijadikan bahasa pengantar di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Namun demikian, menurut Seksyen 17 (1) menteri diberi peruntukan kuasa untuk mengecualikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sesebuah institusi pendidikan. Peruntukan tersebut secara jelas memastikan bahawa peranan dan status bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah mengalami perubahan yang positif dan dinamik. Peranan bahasa yang keempat adalah amat penting dalam masyarakat apatah lagi dalam masyarakat pelbagai bangsa, berbilang agama,dan mengamalkan cara hidup yang berlainan. Bahasa Melayu diyakini berperanan sebagai alat penyatuan kaum, yang menjadi jambatan menghubungkan pelbagai etnik. Walaupun ada bahasa kebangsaan, tiada sesiapapun yang dilarang daripada menggunakan, belajar, atau mengajar apa-apa bahasa lain. Oleh itu, hal ini tidak menghalang kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) dan (Tamil) di Malaysia. Bahkan bahasa Inggeris juga diwajibkan bagi semua sekolah rendah dan menengah. Peruntukan ini tidak terdapat di mana-mana negara lain bahkan di negara-negara liberal yang memperjuangkan hak asasi manusia pun tiada jaminan sebegini seperti yang dilaksanakan di Malaysia. Tidak dapat dinafikan bahawa semua manusia amat mementingkan bahasa sebagai alat berkomunikasi antara manusia. Tanpa batasan sempadan, bahasa merupakan alat perantara bagi manusia menyampaikan perasaan atau pemikiran dalam bentuk tulisan, lisan, atau isyarat. Oleh sebab itu, kemahiran berbahasa perlu diusahakan dan bukan hanya berserah kepada teori transformasi generatif semata-mata. Selain itu, sering kali idea yang sederhana dan kurang bermutu diterima dan diguna pakai kerana dapat disampaikan dengan bahasa yang gramatis serta berkualiti. Sebaliknya, banyak idea yang jitu, bernas, dan tuntas ditolak atau diketepikan begitu sahaja kerana tidak dapat disampaikan dengan menggunakan bahasa yang betul, jelas, dan secara tetap. Seterusnya, amat ketara kepentingan bahasa bagi menghasilkan komunikasi yang berkesan Oleh sebab itu, perlu diperluaskan penguasaan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa asing. Hal ini akan mempertingkatkan lagi perhubungan dan menambah kualiti komunikasi antara satu sama lain. Selain itu, bahasa Melayu telah diguna sekian lama sebagai bahasa rasmi dan perbualan harian, sebagai bahasa komunikasi, dan persuratan maka telah dipersetujui dan disepakati oleh pemimpin pelbagai kaum di negara ini agar bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bagi Persekutuan Malaysia yang merdeka pada tahun 1957. Malahan permuafakatan pelbagai kaum itu dirakamkan dalam bentuk dokumen tertinggi dan luhur iaitu Perlembagaan Negara sepertimana yang termaktub dalam Perkara 152, para 1. Bahasa Pengantar yang Diiktiraf disedari bahawa bahasa Melayu berkembang luas penggunaannya termasuk menjadi bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan menjadi bahasa rasmi di semua agensi kerajaan termasuk di mahkamah Sebagai kesimpulannya, bahasa Melayu telah diiktiraf oleh semua kaum sebagai bahasa utama dan ia dapat dimanfaatkan bersama untuk mencapai matlamat perpaduan.

Comments

Chat