1. Bagaimanakah kandungan buku-buku teks dapat memupuk hubungan etnik?
Kandungan buku-buku teks dapat memupuk hubungan etnik dengan perbanyakkan penekanan terhadap kepentingan hidup bermasyarakat serta menunjukkan nilai-nilai moral dalam kesepaduan etnik. Bukan itu sahaja, kandungan buku teks juga boleh memaparkan kesan negatif sekiranya berlaku pergolakan antara etnik supaya setiap pelajar dapat berfikir dengan matang terhadap isu-isu yang menyentuh soal perkauman. Hal ini seharusnya dapat mendorong pelajar untuk memupuk sikap saling menghormati dan tidak memandang rendah terhadap sesuatu kaum.
2. Industri hiburan sebagai mekanisme pemupukan jalinan hubungan dalam kalangan masyarakat pelbagai budaya di Malaysia.
Jika dilihat pada hari ini, hubungan masyarakat pelbagai budaya di Malaysia banyak terpupuk melalui industri hiburan. Industri hiburan merupakan bidang yang menghimpunkan pelbagai cabang berkaitan atas tujuan yang murni mengenai masa depan industri yang sama penting dalam pembangunan negara. Di Malaysia, filem-filem dan drama tempatan sedikit sebanyak memainkan peranan dalam memupuk jalinan hubungan dalam kalangan masyarakat. Antaranya ialah filem tempatan mengisahkan keperwiraan tokoh-tokoh perjuangan kemerdekaan menunjukkan suatu usaha yang baik dan wajar digalakkan. Walau bagaimanapun, dari segi jumlahnya adalah masih sedikit. Justeru itu, pengusaha filem tempatan yang mengadaptasikan cerita-cerita berunsurkan patriotisme atau menggalakkan perpaduan antara kaum. Hal ini demikian kerana industri hiburan dalam pelbagai bentuk adalah medium yang amat berpengaruh. Melalui karya seni, dapat diselitkan mesej, semangat atau citra bangsa untuk disampaikan kepada golongan sasaran.
3. Apresiasi seni (seni lakon, seni tampak, seni suara, seni reka, dll) dalam masyarakat pelbagai kaum.
Apresiasi seni adalah suatu proses penghayatan karya seni yang diamati dan penghargaan pada karya seni itu sendiri serta penghargaan pada penciptanya. Apresiasi seni ialah menikmati, menghayati dan merasakan suatu karya seni atau lebih tepat lagi melihat dengan memahami dan peka terhadap segi-segi estetiknya sehingga mampu menikmati dan memahami karya-karya tersebut. Pengertian apresiasi secara umum adalah suatu penghargaan atau penilaian terhadap suatu karya tertentu. Kebiasaannya apresiasi merupakan hal yang positif, tetapi juga merupakan sesuatu yang negatif. Apresiasi dibahagikan kepada tiga, iaitu kritik, pujian, dan cadangan. Di samping itu, ahli dalam bidang apresiasi secara umum adalah seorang pengumpul atau pencinta suatu seni pada umumnya. Tetapi dalam memberikan apresiasi, seseorang itu tidak boleh berdasarkan sesuatu ikatan teman atau pemaksaan. Pemberian apresiasi seharusnya dilakukan dengan setulus hati dan mengikut berdasarkan penilaian aspek umum.
4. Apakah kawalan-kawalan yang diperlukan dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia?
Antara kawalan yang diperlukan dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia adalah rakyat haruslah bergaul dan memupuk persefahaman antara kaum. Dalam keadaan tersebut, ibu bapa perlulah sentiasa menerapkan nilai-nilai perpaduan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, “melentur buluh biar dari rebungnya”. Guru-guru juga haruslah membahagikan kedudukan pelajar dengan sempurna untuk menggalakkan pelajar berkomunikasi dengan pelajar-pelajar yang berlainan kaum dan bukannya sesama satu kaum sahaja. Dalam proses menjayakan inisiatif-inisiatif tersebut, guru tidak boleh mencetuskan isu-isu sensitif semasa mengajar, misalnya dengan mengagung-agungkan warisan budaya sendiri dan mengejek budaya kaum lain. Di samping itu, golongan pelajar perlulah belajar dan menghayati sejarah negara agar dapat memahami erti perpaduan negara. Sebagai satu daripada langkah untuk mewujudkan permuafakatan bangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan pelajar-pelajar agar lulus dalam mata pelajaran Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013. Langkah tersebut diharapkan dapat menyedarkan anak-anak bangsa tentang akibat kurangnya perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Mengetahui dan memahami peristiwa yang berlaku dalam sejarah negara misalnya tragedi berdarah 13 Mei 1969, sudah tentu golongan muda dan belia akan lebih menghargai perpaduan dan keharmonian yang dikecapi selama ini. Pemahaman rakyat Malaysia tentang sejarah tanah air dapat menyemai semangat perpaduan dalam diri mereka. Pada masa yang sama, rakyat Malaysia hendaklah menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum. Walaupun rakyat diberi hak kebebasan bersuara, mereka haruslah tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu-isu sensitif dan kontroversi yang dapat merosakkan rasa muhibah dan perpaduan. Selain itu, masyarakat setempat juga boleh memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini melalui penganjuran aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, Program Rukun Tetangga, dan kempen Bulan Kemerdekaan untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum. Aktiviti-aktiviti seperti ini mampu menjamin kesejahteraan hidup warga setempat, dengan membuka ruang dan peluang komunikasi antara jiran tetangga berlainan bangsa.
5. Orientasi parti politik yang ada sekarang lebih cenderung ke arah polarisasi kaum atau perpaduan?
Orientasi parti politik yang ada sekarang lebih cenderung ke arah perpaduan. Sebagai contoh, pada pilihan raya umum ke-12, iaitu pada 8 Mac 2008, parti politik yang ada masa itu seperti Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) (Shamsul Amri Baharuddin, 2012). Masing-masing mempunyai manifesto tersendiri untuk memenangi undi rakyat. Manifesto parti-parti ketika itu lebih memenintingkan perpaduan untuk memenangi hati rakyat, dan bukan khusus untuk kaum-kaum tertentu sahaja.
6. Orientasi Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang ada sekarang lebig cenderung ke arah polarisasi kaum atau perpaduan?
Orientasi Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang ada sekarang lebih cenderung ke arah perpaduan. Sesebuah badan bukan kerajaan adalah untuk mewakili kepentingan golongan-golongan tertentu yang tidak memiliki perwakilan dalam pembentukan dasar-dasar kerajaan dalam sistem politik negara. Tambahan pula, kewujudan badan bukan kerajaan secara tidak langsung meringankan bebanan kerajaan, menyediakan fungsi semak dan imbang serta menyuburkan amalan demokrasi.
7. Permainan tradisional masyarakat Malaysia sebagai warisan dan wadah memupuk persafahaman antara pelbagai etnik.
Permainan tradisional masyarakat Malaysia merupakan satu bentuk hiburan masyarakat zaman dahulu dan berupaya menangani masalah tekanan hidup harian pengamalnya dan membentuk kehidupan yang bermotivasi. Permainan ini dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang sia-sia. Melalui permainan tradisional kita dapat memupuk semangat perpaduan, rasa muhibah, dan mesra dalam kelompok masyarakat. Melalui permainan tradisional yang dimainkan secara berkumpulan, secara tidak langsung semangat kerjasama antara ahli kumpulan dapat dipupuk. Melalui permainan tradisional juga kita dapat mengenali budaya kaum lain kerana permainan tradisional itu sendiri merupakan lambang dan menggambarkan corak kehidupan masyarakat tersebut. Permainan tradisional adalah sebagai medan yang baik untuk membentuk komunikasi yang berkesan antara permain sepasukan dan pemain lawan yang seterusnya akan merangsang ukhuwah.