syahindah B uum's 1.A4 : Perbincangan - OpenLearning

Berdasarkan paparan video, hubungan etnik ini dapat dinilai dalam dua konsep iaitu konsep kesepaduan sosial dan konsep perpaduan. Kedua-dua konsep ini membawa maksud yang berlainan walaupun ianya melibatkan perpaduan. Kesepaduan sosial ialah merupakan satu fenomena sosial yang dipacu oleh idaman mendalam terhadap perpaduan. Kesepaduan sosial ini mendorong ahli masyarakat berusaha untuk mencapai perpaduan. Berbeza pula dengan perpaduan, dimana ianya merupakan proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta memiliki perasaan cinta dan bangga kepada tanah air. Sepertimana yang kita sedia maklum, perpaduan dalam kepelbagaian terbahagi kepada dua perspektif iaitu dari segi psikologi sosial dan antropologi- sosiologi. Definisi bagi perpaduan dalam kepelbagaian berbeza mengikut perspektif tersebut. Psikologi sosial adalah kajian tentang pengaruh sosial terhadap perilaku manusia. Oleh itu, perpaduan dalam kepelbagaian memberi maksud bermaksud rasa kesatuan yang merentas pemisahan fizikal dan psikologikal. Manakala antropologi-sosiologi pula adalah kajian tentang masyarakat dan budaya. Dalam konteks ini, perpaduan dalam kepelbagaian adalah rumusan tentang bagaimana manusia mengurus dan menyusun perbezaan sosial dalam kalangan mereka. Konsep kesepaduan sosial adalah lebih realistik berbanding dengan konsep perpaduan. Hal ini demikian kerana konsep perpaduan mementingkan kesamaaan atau kesatuan; iaitu satu agama, satu bahasa dan satu negara. Konsep ini tidak dapat diamalkan kerana Malaysia mempunyai latar belakang pelbagai etnik dimana terdapat pelbagai agama, bahasa dan adat. Konsep perpaduan ini memberikan gambaran masyarakat yang sempurna dan ini sememangnya tidak boleh menjadi kenyataan. Kesimpulannya, perpaduan ini amat penting bagi mengukuhkan permuafakatan yang erat antara pelbagai etnik di Malaysia. Konsep kesepaduan sosial dan konsep perpaduan perlu diurus dan disusun untuk mewujudkan keadaan aman dan stabil agar kita dapat meraih kesenangan dan kemewahan hidup.

Comments

Chat