Amira Athilah Azhar's 4.A3 : LATIHAN 3 - OpenLearning

Soalan 1

Apakah impak globalisasi kepada negara kita Malaysia?
Dalam era globalisasi ini, wujud juga impak-impak yang memberi faedah dalam kehidupan seharian. Antara impak positif yang boleh diperkatakan ialah kebolehan berkomunikasi. Melalui zaman globalisasi yang hebat ini kita boleh berkomunikasi antara satu sama lain walaupun dalam jarak yang jauh. Kecanggihan teknologi yang diketengahkan mampu memberi faedah kepada manusia. Ciptaan pelbagai yang begitu canggih mampu mendekatkan sesuatu perjalanan atau sebagainya. Globalisasi juga akan meningkatkan kesediaan kognitif dimana apabila berada di ambang globalisasi, maka individu akan berlumba-lumba meningkatkan dapatan ilmu bagi setanding dengan pencapaian era semasa. Maka tidak hairanlah jika masa kini makin ramai individu yang proaktif dilahirkan. Kesan positif lain ialah pembelajaran sepanjang hayat. Ini bermakna individu belajar untuk masa hadapannya. Pembelajaran secara berterusan ini menjamin masa hadapan individu yang berfikiran terbuka. Impak seterusnya ialah menjadikan rakyat sebagai warganegara yang bertanggungjawab. Warganegara yang bertanggungjawab akan memastikan arus globalisasi yang berlaku tidak mencemarkan nilai-nilai norma masyarakat setempat. Individu yang mempunyai nilai jati diri akan memastikan globalisasi yang berlaku tidak akan mengheret sekali nilai-nilai murni dan sensitiviti masyarakat. Globalisasi juga akan mencetuskan kemahiran teknologi yang baru. Kemahiran teknologi yang baru atau inovasi ini merupakan perkara yang sangat penting dalam memberi persaingan yang hebat antara negara-negara membangun lain. Kemahiran teknologi yang ada pada sesebuah negara menjadi kayu ukur kepada negara lain berkenaan kemajuan negara tersebut. Namun begitu, arus globalisasi juga mempunyai impak negatif. Impak ini seharusnya dielakkan bagi menjamin keamanan sejagat. Antara impak negatif yang sering kita dengar berkenaan globalisasi ini ialah penggunaan teknologi yang tidak terkawal. Apabila hal ini berlaku maka akan wujud persengketaan seperti peperangan dan sebagainya. Teknologi digunakan kepada tempat yang tidak sepatutnya. Ini perlu dielakkan agar dunia akan sentiasa aman. Impak negatif yang lain ialah pengkomersilan pendidikan. Pengkormesilan pendidikan seperti jualan ilmu di laman maya. Ilmu yang diberi bukan untuk sesuatu yang hakiki tetapi ianya bertujuan untuk mengaut keuntungan peribadi. Seterusnya ialah penularan kes-kes jenayah siber. Perkara ini sering berlaku kerana ada individu yang sanggup berbuat demikian bagi mencari keuntungan berlipat ganda dengan cara yang mudah. Ramai yang akan tertipu dengan penggunaan propaganda yang menarik tetapi memerangkap diri. Kita perlu menjauhkan diri dengan pelbagai kes jenayah siber seperti skim cepat kaya dan sebagainya agar tidak menyesal dikemudian hari. Impak negatif lain ialah manusia lebih mengharapkan kecekapan teknologi daripada kecekapan diri sendiri. Sikap kebergantungan ini semakin hari semakin serius. Banyak mesin yang dicipta bagi menggantikan kudrat manusia. Harus diperingatkan disini bahawa tidak semua kerja atau beban perlu diselesaikan dengan menggunakan mesin atau robot. Sikap sebegini akan lebih membuat manusia malas dan tidak peka terhadap sesuatu perkara. Melalui globalisasi juga impak negatif ketara dilihat pada negara-negara yang mundur. Ini kerana kurangnya faktor jaringan perhubungan atau teknologi melingkungi negara tersebut. Akibatnya, negara ini saling ditindas oleh negara yang lebih membangun.

Soalan 2

Apakah impak globalisasi kepada tindakan pengukuhan (affirmative action) dan hubungan etnik di Malaysia?
Proses globalisasi bukan hanya mempunyai matlamat untuk menghomogenkan dunia dengan hanya satu sistem ekonomi iaitu sistem kapitalis tetapi juga proses penghomogenan itu melibatkan usaha mewujudkan satu budaya tunggal di dunia. (Omar Jah, 2001). Cadangan yang dilontarkan ialah masyarakat baru, dengan budaya baru, yang menolak budaya tradisi termasuklah adat resam dan agama ditukar kepada budaya baru berasaskan kepada kehidupan kebendaan sekular moden. Dalam masyarakat yang baru, budaya masyarakat tradisional akan dikesampingkan dan diganti dengan nilai-nilai sekular barat seperti konsumerisme, materialisme dan individualisme. Bahaya nilai baru ini ialah wujudnya suatu pandangan hidup yang mengenepikan peranan agama dan realiti meta zik dalam pembinaan budaya, sekaligus mencipta manusia yang tidak kenal tuhannya; sebaliknya mempunyai matlamat utama dalam penghasilan dan penggunaan material yang melampau (Omar Jah, 2001). Bahaya globalisasi ke atas budaya terletak dalam fakta bahawa globalisasi ialah salah satu bentuk penjajahan yang memasuki ciri teras dalam kehidupan seseorang iaitu pemikiran dan kesedaran manusia. Globalisasi memiliki tarikan kuat ke atas nafsu, emosi serta keseronokan kebendaan yang memberi kesan ke atas setiap individu dalam masyarakat. Globalisasi juga memiliki alat-alat teknologi komunikasi yang begitu berkuasa dan canggih yang mampu menyampaikan berita-berita dan menyebarkan idea-idea melintasi sempadan negara dan batasan fizikal, yang dengan mudahnya memasuki minda manusia. Apa yang menambah lagi tarikan manusia moden ialah pendekatannya yang liberal terhadap kehidupan yang menolak sebarang sekatan ke atas apa yang manusia boleh lakukan (liberalisme), kebebasan bercakap, kepenggunaan dan pemilikan. Budaya baru ini memperjuangkan individualisme dan liberalisme tanpa jaminan bahawa kebebasan manusia memilih apa yang baik dan betul untuk dirinya sendiri. Globalisasi budaya ialah kebebasan dan liberalisme dalam aktiviti manusia. Kebangkitan kesedaran tentang hak individu dan wanita yang disemarakkan oleh arus globalisasi telah menyemarakkan kemunculan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan di negara ini. Mereka berjuang bagi mendapatkan apa yang mereka panggil hak asasi manusia, hak untuk wanita dan kanak-kanak, program-program bagi golongan warga emas dan minoriti, hak-hak pengguna, pemuliharaan alam sekitar dan sebagainya. Kemunculan organisasi sosial ini bersama dengan parti-parti politik demokrasi dan golongan intelektual telah menyumbang ke arah keterbukaan yang lebih luas dalam suasana demokrasi, dan perkembangan kepada wujudnya masyarakat matang yang meningkatkan satu perpaduan baru melintasi garis-garis etnik dan agama (Abdul Rahman, 2001). Pihak kerajaan sendiri menyedari perkara ini dengan menyokong beberapa NGO yang cenderung kepada mereka.

Soalan 3

Bagaimanakah pihak universiti menangani arus globalisasi dalam kalangan pelajar?
Sudah tentu peluang yang sebegini akan diambil oleh universiti luar, terutamanya yang terkemuka dan berprestij. Mereka akan membuka cawangannya di negara ini. Walaupun cara ini merupakan suatu persaingan yang sihat, namun institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan masih belum bersedia untuk menghadapi situasi ini. Hal ini akan memberi kesan yang besar kepada IPT tempatan, terutamanya Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Para pelajar tentu akan memilih universiti luar yang terkemuka demi pasaran kerja mereka. Hal seperti ini telahpun berlaku apabila graduan IPT luar negara menjadi pilihan utama majikan berbanding graduan IPT tempatan. Dengan demikian juga, IPT tempatan akan mengalami masalah kekurangan pelajar dan akhirnya membawa kepada penutupan IPT berkenaan, khususnya IPTS yang bersaiz kecil. Kesan globalisasi ini juga akan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Hal ini berlaku kerana para pelajar mudah mendapat maklumat melalui internet. Maklumat yang disebarkan melalui internet sebahagian besarnya dalam bahasa Inggeris. Selain itu, cawangan universiti luar akan terus menjadikan bahasa Inggeris sebagai wahana dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pada masa ini juga, sudah banyak IPTS yang telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Hal sebegini akan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu walaupun sudah terbukti bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dalam semua bidang. Jika hal ini berlaku, bahasa Melayu akan menjadi bahasa kedua dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan usaha ke arah pembinaan bangsa Malaysia berdasarkan bahasa Melayu akan terbantut. Globalisasi akan memesatkan pengkomersilan pendidikan itu sendiri. Ahli korporat pendidikan akan mengaut keuntungan melalui bidang pendidikan. Amat dibimbangi jika hal ini berterusan dan tanpa kawalan, matlamat dan objektif asal pendidikan akan terkorban. Demi mencapai keuntungan semata-mata, kualiti pendidikan mungkin diabaikan. Masalah ini akan ketara apabila kelayakan masuk pelajar tidak diambil berat seperti dikenakan syarat yang longgar, pensyarah terdiri daripada mereka yang kurang terlatih dan kurang pengalaman, kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang minimum, kualiti ilmu yang diajar meragui dan lain-lain lagi. Selain itu, pengkomersilan pendidikan seperti ini akan menafikan konsep pendemokrasian pendidikan. Hanya pelajar yang mampu dari segi kewangan sahaja yang berpeluang melanjutkan pelajaran. Han ini hanya sekitar 20 peratus sahaja bilangan pelajar bumiputera di IPTS berbanding ratusan ribu pelajar IPTS keseluruhannya. Perkara ini jika tidak dibendung akan meluaskan jurang antara golongan bumiputera dengan golongan bukan bumiputera. Selain itu, hanya yang kaya sahaja akan dapat menikmati pendidikan tinggi, manakala yang miskin dinafikan peluang mereka. Ini bertentangan dengan dasar kerajaan yang ingin melahirkan masyarakat berilmu tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa. Kesan seterusnya yang akan timbul ialah penghayatan ilmu itu semakin terhakis. Hal ini demikian kerana para pelajar hanya belajar ilmu sahaja tanpa menghayati ilmu itu sendiri. Mereka belajar hanya untuk tujuan peperiksaan atau demi memenuhi tugasan yang diberikan sahaja. Ini akan melahirkan generasi yang cerdik pandai tanpa diimbangi dengan penghayatan ilmu itu sendiri. Akibatnya, kemahiran yang mereka miliki mungkin akan digunakan untuk tujuan negatif seperti melakukan pecah amanah, menipu dan sebagainya.

Soalan 4

Adakah konsep kesaksamaan/kesamaratan dalam agihan dan pertumbuhan dari segi wilayah – Semenanjung Sabah dan Sarawak?
Ada. Sabah dan Sarawak mendapat hak kesamarataan dalam agihan dan pertumbuhan dari segi wilayah.

Comments

Chat