Jawapan Esei
KAMALIAH BINTI KHALID C15A0119 UMK FTKW1 DR.ZALEHA EMBONG Umum mengetahui bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti. Yang dimaksudkan sebagai bahasa pengantar adalah bahasa yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam pengajaran dan pembelajaran. Usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara telah bermula sejak sekian lama. Pelbagai akta dan dasar telah dirancang, digubal dan dilaksanakan. Akta Pelajaran 1961 memberikan fokus kepada usaha mengembangkan pendidikan di negara ini melalui bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar menggantikan bahasa Inggeris. Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pengantar yang berkesan di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi kerana dapat menyatupadukan para pelajar dan mahasiswa yang berbilang kaum dan agama. Dalam erti kata lain, ia menjadi bahasa perpaduan yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam lingkungan kelompok manusia. Selain memupuk perpaduan, bahasa Melayu juga berperanan sebagai alat komunikasi bagi sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia. Kebanyakan pelajar di sekolah mampu berinteraksi dengan baik dalam perbualan antara kaum yang berbeza dengan menggunakan satu bahasa iaitu bahasa Melayu dalam menyampaikan sesuatu maklumat. Hubungan antara pelajar berbilang bangsa ini juga akan bertambah erat dek penggunaan satu bahasa yang dapat difahami antara satu sama lain hingga dapat mengelakkan masalah salah faham. Kerajaan menggalakkan rakyat menggunakan Bahasa Melayu dalam semua komunikasi awam dan terbuka agar tidak timbul syak wasangka antara satu sama lain.Apabila penggunaan bersama bahasa Melayu di sekolah dan institusi pengajian tinggi menjadi amalan, maka akan wujud rasa kemesraan, kepercayaan, hormat dan selamat. Seterusnya, bahasa Melayu juga dapat memudahkan penguasaan ilmu di kalangan pelajar di sekolah mahupun pusat-pusat pengajian tinggi kerana ilmu yang disampaikan semasa pengajaran dan pembelajaran lebih mudah diterima kerana bahasa yang mudah difahami. Bahasa Melayu memainkan peranan penting sebagai alat komunikasi untuk memperoleh ilmu kerana dalam menyampaikan maklumat dan ilmu kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini, khususnya kepada pelajar-pelajar yang tinggal di luar bandar, sudah tentu bahasa yang digunakan mestilah bahasa yang difahami ramai.