Jawapan Esei
NURSYAFIQAH BINTI ABD HALIM
H16A0317
FKP 1
DR. ZALEHA BINTI EMBONG
UMK PENGKALAN CHEPA
(3) GLOBALISASI DAN LIBERALISASI SISTEM PENDIDIKAN PADA MASA INI MEMBERI IMPAK POSITIF DALAM HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA
Globalisasi menurut kamus dewan edisi keempat ialah proses yang membolehkan sesuatu aktiviti seperti ekonomi, kebudayaan dan lain-lain disebarkan atau diperluas ke peringkat antarabangsa atau ke seluruh dunia, terutamanya dengan adanya kemudahan sistem komunikasi dan dasar terbuka kepada pengaruh luar. Liberalisasi pula adalah proses atau usaha untuk menerapkan pemahaman liberal dalam kehidupan atau tata negara dan ekonomi; peliberalan. Manakala pendidikan menurut kamus dewan ialah aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pembentukan dan perkembangan ilmu, kemahiran, kerohanian dan jasmani manusia. Selain itu menurut Plato, pendidikan ialah suatu proses untuk membentuk individu yang berakhlak mulia. Globalisasi dan liberalisasi sistem pendidikan sememangnya banyak memberi kesan positif terhadap hubungan etnik di Malaysia.
Antara impak positif globalisasi dan liberalisasi sistem pendidikan adalah telah menukar cara pemikiran masyarakat dalam mengikut arus pembangunan. Ledakkan maklumat yang berkaitan dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi telah meningkatkan mutu pendidikan di negara kita secara meluas tanpa batasan. Di samping itu, pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi telah mempengaruhi gaya hidup rakyat Malaysia secara amnya dan pelajar secara khususnya dalam bidang pendidikan. Pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi pada era globalisasi dalam bidang pendidikan menyediakan peluang pendidikan yang luas kepada semua individu dengan menyediakan kemudahan, contohnya komputer untuk proses pembelajaran. Selain itu, kemudahan-kemudahan bagi tujuan pendidikan juga akan terus bertambah bagi tujuan pembelajaran. Bersesuaian dengan dunia tanpa sempadan, kita seharusnya didedahkan dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi supaya kita tidak ketinggalan. Justeru, kemudahan-kemudahan inilah yang akan membantu kita dalam mencapai matlamat untuk menjadi sebuah negara yang maju dalam arus globalisasi.
Seterusnya, pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi dalam bidang pendidikan banyak mengubah corak dan sistem pendidikan di Malaysia, misalnya pelbagai peluang pendidikan terbuka luas tanpa batasan kepada semua pelajar dengan adanya pelbagai kemudahan seperti institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Di samping itu, dengan adanya pengaruh teknologi maklumat dalam era globalisasi ini membolehkan para pelajar melanjutkan pelajaran malalui sistem pendidikan jarak jauh yang lengkap apabila pelajar mempunyai kemahiran dalam menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi. Pembelajaran sepanjang hayat tanpa mengira masa, tempat dan sebagainya boleh dilakukan sendiri di era globalsiasi sehingga mewujudkan pembelajaran tanpa sempadan. Selain itu, masyarakat Malaysia juga dapat menguasai pengetahuan dan kemahiran industri akibat pengaruh globalisasi dan liberalisasi sistem pendidikan. Hal ini dapat melahirkan generasi untuk pasaran tenaga kerja industri seperti yang terkandung dalam Dasar Pembangunan Negara. Usaha ini adalah sebagai sumbangan kepada melahirkan sumber manusia yang menyumbang kepada tenaga buruh berkualiti, serba boleh dan responsif kepada perubahan keadaan perindustrian. Kurikulum dan daya didik dalam sistem pendidikan hendaklah berupaya merealisasikan masyarakat saintifik, teknologis dan progresif yang inovatif dan berpandangan jauh ke hadapan.
Kesimpulannya, globalisasi dan liberalisasi dalam sistem pendidikan sangat penting dalam meningkatkan mutu pendidikan negara kita setaraf dengan negara maju yang lain. Semua pihak harus menyedari kesan globalisasi ini dan bersedia dengan langkah-langkah komprehensif dan bagi mencapai kemajuan bersama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Kita tidak boleh mengelak daripada menghadapi globalisasi kerana tanpanya kita akan terus ketinggalan. Dengan globalisasi dan liberalisasi dalam pendidikan diharapkan semua masyarakat terutama dalam bidang pendidikan dapat bersaing dengan dunia luar. Oleh sebab itu, kita perlu bersedia untuk mengatasi sebarang cabaran yang wujud daripada fenomena globalisasi ini.