MUHAMAD HAZIM BIN HARUN's 2.A3 : Refleksi kendiri pengalaman harian dan pelan tindakan individu sebagai agen penyatupaduan - OpenLearning

Telah terlakar dalam lembaran sejarah beratus-ratus tahun dahulu bahawa negara Malaysia mempunyai komposisi yang terdiri daripada pelbagai etnik atau masyarakat majmuk. Keadaan pluraliti masyarakat yang unik ini boleh menyebabkan berlaku ketegangan. Untuk memahami persoalan hubungan etnik dan cabarannya, persoalan sejarah lampau yang membawa kepada pembawaan masyarakat seperti yang ada sekarang perlu difahami dengan lebih mendalam. Hubungan etnik yang mantap sangat perlu dititik beratkan dalam kalangan rakyat di sesebuah negara yang mempunyai kepelbagaian bangsa, budaya dan etnik. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat, begitulah fatwa pujangga yang menunjukkan betapa peri pentingnya perpaduan dan integrasi supaya tenaga rakyat dapat disalurkan kepada memajukan negara dari digunakan untuk menyelesaikan masalah yang wujud dari kepelbagaian etnik. Untuk menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi ini, sebagai bangsa Malaysia, media yang sedia ada dan yang baru wujud memainkan peranan dominan agar jurang antara kaum tidak akan berlaku disebabkan oleh ketidaksefahaman dan prasangka.

Kata orang tak kenal maka tak cinta, maka marilah kita mengenali dahulu akan definisi media lalu memahami sumbangannya dalam menyemai rasa cinta dalam sesebuah perhubungan etnik. Menurut kamus dewan pustaka edisi keempat, media ialah alat atau perantara komunikasi  seperti radio, televisyen dan akhbar. Secara amnya, media merupakan pelbagai jenis saluran atau perantara komunikasi. Media juga dikaitkan dengan alat cetakan atau saluran komunikasi yang berbentuk bahan cetakan atau terbitan seperti surat khabar dan majalah. Manakala saluran komunikasi dikatakan suatu alat elektronik yang berupa atau yang menggunakan alat-alat elektron moden seperti radio dan televisyen. Sedangkan dalam Bahasa Indonesia pula, kata “medium” bermaksud sebagai “antara” atau “sedang” sehingga pengertian media dapat dikatakan sebagai sesuatu yang menghantar atau meneruskan informasi antara sumber dan penerima informasi. Media dapat diertikan sebagai suatu bentuk dan saluran yang dapat digunakan dalam suatu proses penyebaran informasi.

Antara objektif yang ingin kami capai sepanjang penulisan ini adalah untuk menunjukkan bagaimanakah saluran media ini memberikan sumbangan dalam membentuk sesebuah hubungan etnik di Malaysia. Pada penulisan kali ini juga, kita akan melihat sejauh mana sumbangan yang diperolehi daripada media yang pesat membangun kini yang dapat diimplikasikan dalam merealisasikan keharmonian sesebuah hubungan etnik. Selain itu, kita juga akan melihat apakah keberhasilan yang dapat diperolehi daripada media terhadap etnik-etnik di Malaysia. Dan akhir sekali, bagaimanakah media ini mampu memberi impak yang mendalam terhadap sesebuah perhubungan etnik di Malaysia.

1.1 KATEGORI MEDIA

Media diklasifikasikan kepada pelbagai kumpulan di mana membantu berkomunikasi dan bantuan rangkaian manusia di seluruh dunia. Dalam masyarakat kapitalis moden ini, empat media yang terlibat iaitu media cetak, media elektronik, media sosial dan media baharu.

Media cetak telah dipecahkan kepada pelbagai jenis. Media ini pernah diramalkan punah pada 2040, namun kehadirannya tetap menjadi keperluan sebagai sarana penyebaran  informasi alternatif selain digital. Johann Gutenberg merupakan orang pertama yang mencipta mesin cetak dalam tahun 1450, buku pertamanya yang pernah dicetak merupakan bahasa Latin Bibble yang dicetak di Mainz, Jerman. Antara bahan yang tergolong dalam media cetak ialah seperti majalah dan surat khabar. Disebabkan Malaysia  terdiri daripada kepelbagaian etnik ini, struktur akhbar di Malaysia turut dipengaruhi oleh sifat-sifat masyarakat yang berbilang etnik, budaya dan bahasa.

Media elektronik pula sedikit kontra dengan media cetak iaitu dimana media elektronik yang memerlukan alat elektronik untuk membukanya. Alat elektronik yang tergolong dalam media elektronik seperti televisyen, radio dan telefon bimbit. Radio yang mempunyai kegunaan menyampaikan pernyataan umum  yang auditif melalui gelombang elektromagnetis, gelombang frekuensi yang tinggi dan berfungsi atas dasar prinsip tarikan gravity di bumi. Sejarah awal alat telekomunikasi bermula dengan sistem rangkaian telegraf yang digunakan untuk menghubungkan pejabat Residen British di Kuala Kangsar dengan pejabat Penolong Residen di Taiping terus ke pejabat Majistret di Matang. Pada awal 1970-an bermulanya penmbinaan stesen setelit bumi di Kuantan, Pahang. Pembukaan stesen ini membantu Radio Televisyen Malaysia(RTM) menyiarkan secara langsung detik bersejarah pelancaran dan pendaratan kapal angkasa Apollo di bulan.

Media sosial yang ditakrifkan sebagai media untuk interaksi sosial merupakan antara medium baru dalam perhubungan dan berkomuniti. Media sosial pula berbeza denagn media cetak dan media elektronik kerana memainkan peranan sebagai alat pemasaran untuk mengangkat sesuatu idea, produk mahupun kempen. Media sosial sebenarnya mula wujud pada tahun  1978 iaitu dari penemuan sistem papan buletin dimana kita boleh memuat turun maklumat, dapat berkomunikasi dengan mengunakan surat elektronik yang sambungan masih menggunakan saluran telefon dengan modem. Perkembangan media sosial pertama kalinya dilakukan melalui pengiriman surat elektronik pertama oleh peneliti ARPA (Advanced Research Project Agency) pada tahun 1971.

Seterusnya, media baru adalah daripada satu bentuk plural atau majmuk. Perkataan ‘’medium’’ berasal lebih kurang pada 50 tahun dahulu. William Gibson menerangkan istilah media baru dengan membayangkan dunia seolah-olah tidak berbangsa kerana dikuasai teknologi elektronik yang menyebabkan masyarakat terkejar-kejar mencari sesuatu yang baru dan menwujudkan masyarakat sebagai manusia tanpa keperibadian yang tersendiri. Satu pandangan yang paradoks telah berlaku diantara William Gibson dan seorang lagi sarjana yang terkenal iaitu Mcluhan. Menurut Mcluhan, beliau melihat teknologi komunikasi baru sebagai sesuatu yang memperkembangkan pengalaman manusia. Apabila ditanya kepada salah seorang ahli akdemik, maksud media baru yang terdetik di benak hatinya ialah Internet. Ini kerana, Internet adalah satu teknologi yang berjaya memudahkan dan melajukan proses komunikasi.

2.0 ISI

2.1 PENYATUPADUAN RAKYAT BERBILANG BANGSA

Marcapada, media merupakan satu elemen penting dalam sesebuah ketamadunan. Kita juga dapat menyaksikan sumbangan media elektronik dan cetak telah menyatupadukan rakyat berbilang bangsa dalam sesuatu hubungan etnik. Hal ini adalah kerana media massa telah menyelaraskan persefahaman rakyat agar tidak berlaku perselisihan faham antara etnik. Pada malam wartawan 2009, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi ucapan berkaitan dengan dasar, politik dan media. Dalam ucapannya beliau menyatakan bahawa media perlu bekerja dengan dasar yang betul. Antara yang disenaraikan ialah ketelusan dan akaun tabiliti, keadilan dan laporan yang bertanggungjawab. Menurutnya lagi, media amat penting dalam membina kredibiliti negara. Dengan adanya media terutama media cetak dan penyiaran, masyarakat lebih terpengaruh dan memberi tindak balas dengan cepat ke atas apa yang diterima. Hakikatnya, media bukan sahaja merupakan cermin kepada masyarakat, malahan media juga merupakan alat perubahan kepada sesuatu masyarakat. ( Prof. Dr Mansor Mohd Noor et.al., 2012)

 

Melalui media massa, kerajaan dapat menyatupadukan rakyat berbilang bangsa dengan mengadakan program yang dapat mengeratkan perpaduan. Tujuannya adalah untuk mewujudkan gagasan 1 Malaysia yang menyatupadukan rakyat. Ulasan tentang konsep 1 Malaysia dan perpaduan telah diuar-uarkan hari demi hari untuk diperkatakan kepada seluruh rakyat Malaysia. Sebagai langkah pertama dalam membentuk  perpaduan, masyarakat setempat juga boleh memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini melalui penganjuran aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, Program Rukun Tetangga, dan kempen Bulan Kemerdekaan untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum. Aktiviti-aktiviti seperti ini dapat disebarkan melalui media massa seperti akhbar, risalah, atas talian, radio mahupun televisyen untuk menarik ramai masyarakat melibatkan diri serta bersosial antara satu sama lain.

Selain itu, media juga tidak terlepas dalam memberi pendedahan dan peringatan tentang peristiwa yang berlaku dalam sejarah negara seperti tragedi berdarah 13 Mei 1969. Memetik kata-kata pujangga sesiapa yang tidak mempelajari sejarah pasti akan mengulanginya. Disebabkan itu, sudah tentu golongan muda dan belia akan lebih menghargai perpaduan dan keharmonian yang dikecapi selama ini. Pemahaman rakyat Malaysia tentang sejarah tanah air dapat menyemai semangat perpaduan dalam diri mereka. Manakala peranan media turut haruslah tidak ketinggalan untuk memberikan liputan  serta menonjolkan nilai-nilai murni yang dapat memberi impak dalam kehidupan harian antara etnik. Pada masa yang sama, rakyat Malaysia hendaklah menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum.

 Antara sumbangan media  yang dapat kita lihat dalam perbentukan perpaduan masyarakat ketika Tanah Melayu  hendak menuntut kemerdekaan suatu ketika dahulu  apabila media cetak seperti surat khabar memainkan  peranan penting dalam menyatupadukan masyarakat untuk menentang  British. Seperti yang telah tercatat dalam sejarah Malaysia, Tunku Abdul Rahman, TunV.T  Sambathan dan ahli politik kaum yang lain mendapat kebebesan negara dengan membuktikan kepada kerajaan British yang rakyat di Tanah Melayu mampu bersatu padu dibawah satu pentadbiran, maka atas sebab inilah kita diberi kemerdekaan dan disebabkan itu juga negara kita dipandang tinggi kerana mampu bergerak walaupun rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Namun apabila media ini disalahgunakan tidak mustahil peristiwa 13 Mei akan berulang kembali dan sudah pasti kita tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Terdapat  kesan negatif sekiranya rakyat tidak dapat bersatu padu ialah dapat dilihat melalui kesan ekonomi. Ekoran daripada perpecahan kaum di Malaysia mungkin akan menyebabkan aktiviti ekonomi tidak dapat berjalan dengan lancar dan mungkin juga akan mendatangkan pelbagai masalah. Hal ini akan mengakibatkan negara mengalami kerugian yang besar atau defisit di mana perbelanjaan melebihi pendapatan. Antara sebabnya, apabila berlaku rusuhan kaum, kerajaan terpaksa membelanjakan banyak duit untuk membaik  pulih negara seperti asal dan pada masa yang sama pendapatan negara akan berkurangan disebabkan  ekonomi yang terbantut. Selain daripada itu, pelabur-pelabur juga akan menghentikan pelaburan mereka kerana risau mengalami kerugian dan pelabur luar yang ingin melabur di negara kita juga membatalkan hasrat mereka. Selain itu, mata wang Malaysia juga akan jatuh teruk di mana apabila berlakunya ketidaktenteraman, ramai yang akan meninggalkan negara dan mencari tempat yang lebih aman.

Seterusnya,  jelas boleh dilihat melalui kesan kepada integriti dan imej negara. Seperti yang telah tercatat dalam sejarah Malaysia, Tunku Abdul Rahman, Tun V.T Sambathandanahli politik kaum yang lain mendapat kebebasan negara dengan membuktikan kepada kerajaan British yang rakyat di Tanah Melayu mampu bersatu padu dibawah satu pentadbiran, maka atas sebab inilah kita diberi kemerdekaan dan disebabkan itu juga negara kita dipandang tinggi kerana mampu bergerak walaupun rakyatnya terdiri daripada banyak kaum. Jikalau rusuhan kaum berlaku lagi, ini akan mencemarkan nama baik negara di mana ia akan jelas menunjukkan negara gagal dalam menyatupadukan penduduk malah keadaan ini akan menjadi lebih teruk. Ini akan menconteng arang terhadap imej dan integriti negara sebagai sebuah negara yang berdaulat dan mengamalkan prinsip demokrasi. Sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat banyak kesan negatif jika rakyat tidak bersatu padu.  Jadi  persepakatan  dan  penyatuan  antara  rakyat  adalah  sangat  penting  untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni dan sekali gus keamanan negara dapat dirasai.

Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat banyak kesan negatif jika rakyat tidak bersatu padu. Jadi persepakatan dan penyatuan antara rakyat adalah sangat penting untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni dan sekali gus keamanan negara dapat dirasai. Ke bukit sama didaki, kelembah sama dituruni begitulah peribahasa yang menunjukkan betapa peri pentingnya masyarakat untuk berganding bahu dan berpadu tenaga bagi merealisasikan hasrat negara untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa serta menyemaikan sikap berkerjasama antara satu sama lain sehingga ke akar umbi. Jelaslah bahawa kesepaduan sosial yang terhasil daripada kreativiti seni dan media pula telah berperanan sebagai penyampai mesej perpaduan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Hal ini adalah kerana kesedaran yang membawa kepada perpaduan dapat diterapkan dengan lebih mudah lagi jika media elektronik dan media cetak memainkan peranan masing-masing dengan jujur dan berkesan bagi mencapai objektif menjadikan Malaysia sebagai negara yang unggul dengan kesepaduan hubungan etnik yang terdapat di dalamnya.

 

2.2 AGEN PENYAMPAI MAKLUMAT

Perpaduan dan pembangunan etnik perlu diberi keutamaan dalam sesebuah negara. Media yang mula berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan memainkan peranan penting sebagai agen penyempai maklumat dalam membentuk dan mengasah minda masyarakat. Terbuktinya kenyataan bahawa perpaduan merupakan tunggak pembangunan sesebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum daripada bangsa Melayu, Cina dan India. Pepatah Melayu juga  menyebut bahawa “kuasa sebatang pen lebih tajam daripada sebilah pedang”. Pepatah ini mentakrifkan media cetak mempunyai kuasa dan pengaruh dalam kelompok masyarakat. Contoh akhbar di Malaysia yang telah dicetak dan diletakkan di pasaran ialah Berita Harian, Metro Harian, Utusan Malaysia dan lain-lain. Melalui saluran cetakan ini, media memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan maklumat kepada masyarakat dan memberi impak yang besar terhadap proses sosialisasi politik negara kerana media dengan politik umpama isi dengan kuku. Kestabilan politik negara yang melibatkan kepelbagaian kaum amat sukar dikawal sekiranya pihak media ini hanya mengambil enteng akan peranan yang sepatutnya. Media menjadi agen sosialisasi dalam menyampaikan ideologi politik, ekonomi dan sosial dalam negara. Pengamal media akan menerbitkan atau menulis sesuatu berita pembangunan mengikut prinsip kewartawanan yang ada pada dirinya. Sehubungan itu, mesej sosialisasi yang disampaikan oleh seseorang pengamal media adalah bergantung kepada prinsipnya. 

Di samping itu,  seorang wartawan tidak boleh menulis sesuatu berita yang boleh menimbulkan perbalahan antara kaum kerana isu tersebut akan menimbulkan sifat berburuk sangka dan prejudis antara satu sama lain malah hendaklah menulis artikel yang boleh menyemarakkan semangat perpaduan dan menerapkan nilai-nilai positif dalam kalangan  masyarakat. Menurut sebuah kajian Mohd Fuad Mat Jali(2012), medium penyebaran maklumat pada era kini mengalami revolusi dengan kecanggihan Teknologi Maklumat dan Komunikasi(ICT) yang mencetuskan suatu fonomena penyebaran maklumat secara atas talian (Malaysia Journal of Society and Space, 2012). Dalam perkembangan proses globalisasi, sepatutnya penggunaan media tiada lagi sekatan walaupun berada di kawasan luar bandar. Perkembangan media tidak hanya menyentuh mengenai kepelbagaian etnik di pelusuk dunia bahkan juga penyebaran keunikan budaya. Kita mampu mengetahui perkembangan politik dan ekonomi negara hanya melalui siaran televisyen ataupun kemudahan Internet bagi yang berkemampuan.  Oleh hal yang demikian, sekatan terhadap kebebasan media untuk menyiarkan sesuatu perkara merupakan salah satu langkah yang bijak untuk menjaga hubungan pelbagai kaum di Malaysia dan seterusnya untuk mengelak daripada tercetusnya  krisis  perkauman yang pernah berlaku pada 13 Mei 1969.

Menurut A. Muis (2001), salah satu barometer atau indikator pengukur akan kemajuan sesebuah masyarakat yang menunjukkan sistem teknologi sudah canggih adalah salah satunya melalui peranan media elektronik. Perubahan peranan media dalam pembelajaran juga telah dipertingkatkan apabila multimedia menjadi signifikan dalam bidang pendidikan. Kelas literasi media yang bertujuan untuk mendedahkan kepada penggunaan medium elektronik perlu dianjurkan dan dihadiri oleh pelajar-pelajar dan tidak terkecuali juga kepada ibu bapa serta guru. Hal ini demikian akan memudahkan pihak sekolah untuk mendapatkan bahan pembelajaran yang lebih berkualiti untuk pelajar mereka. 

Penggunaan media sosial juga turut meningkat dari semasa ke semasa. Facebook merupakan salah satu aplikasi yang popular yang digunakan oleh majoriti pengguna media sosial kerana mampu mempengaruhi minda dan tindak tanduk masyarakat. Lantaran itu, banyak pihak menggunakan media sosial sebagai alat penyebaran maklumat tentang mereka. Dalam politik contohnya, sama ada pihak kerajaan atau pembangkang, media sangat digunakan oleh mereka dalam menyebarkan dan mengekalkan pengaruh dengan menyebarkan ideologi-ideologi yang mampu menarik perhatian masyarakat.. Hal ini kerana, media  merupakan  sumber rujukan popular masyarakat mengenai isu politik, ekonomi dan sosial dalam negara ini. Justeru, media sangat penting dalam menyampaikan mesej dan ideologi yang boleh membentuk atau mengubah persepsi dan minda  masyarakat. Pengguna-pengguna media sosial ini harus cakna dalam menyiarkan sesuatu fakta terutama yang melibatkan isu perkauman. Sebaiknya hal-hal yang menggugat sensitiviti perkauman tidak perlu diutarakan sewenang-wenangnya kerana akan menimbulkan sikap prejudis dalam diri masing-masing yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Perkembangan media memberikan faedah kepada masyarakat jika digunakan secara baik dan membawa kesan negatif jika disalahgunakan. Tambahan pula  kewujudan media baharu ini yang bersifat pantas dan meluas merupakan medium yang amat sesuai untuk menyerlahkan lagi tentang keunikan yang dimiliki oleh sesebuah etnik. Sebagai contoh, masyarakat tempatan mahupun masyarakat luar negara dapat memahami dan menyedari unsur-unsur kebudayaan melalui aktiviti seperti tarian, lagu dan cara hidup seseorang apabila maklumat ini mampu diviralkan menggunakan talian sesawang.

2.3 MEMPERKENALKAN TRADISI

Penggabungan masyarakat majmuk di Negara Malaysia pastinya lagi teserlah dengan keunikan adat dan tradisi yang tersendiri. Sebelum adat dan tradisi yang nenek moyang kita pelihara dahulu terus lapuk ditelan zaman, media dan pihak bertanggungjawab perlu mencari pendekatan yang efisien untuk mempopularkannya semula seperti peribahasa, “di mana batang terguling, di situ cendawan tumbuh.” Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri ada menyebut di dalam MStar bahawa, dengan paparan informasi mengenai sejarah, ciri-ciri kebudayaan dan agama yang dianuti sesebuah kaum yang terdapat di dalam negara kita dalam ruangan akhbar, orang ramai dapat mengetahui dan memahami perbezaan antara satu sama lain. Ironinya, khazanah kebudayaan pada zaman nenek moyang kita dahulu dapat mencakupi  amalan dan gaya hidup termasuklah dari aspek suasana perayaan, jenis permainan serta peragaan pakaian. Budaya trasional inilah yang akan memupuk semangat perpaduan rakyat Malaysia. Justeru, untuk mengembangkan budaya bagi sesebuah etnik, media perlu mendedahkan masyarakat di serata dunia kepada kekayaan tradisi dan budaya yang terkandung dalam setiap etnik di Malaysia. Bahasa melambangkan jati diri dalam kelompok masyarakat. “Bahasa Jiwa Bangsa” slogan ini memperlihatkan penggunaan bahasa dan tingkah laku berkait dengan rangkaian sosiobudaya.   

Akhbar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan seumpamanya bersikap universal kerana menggunakan bahasa ibunda iaitu Bahasa Melayu. Pembacaan akhbar-akhbar tersebut tidak terbatas kepada bangsa Melayu malahan turut mendapat sambutan hangat daripada bangsa India dan Cina kerana penggunaan kata yang mudah difahami. Seterusnya, sesuatu yang pasti menjadi kebanggaan bagi setiap etnik adalah sewaktu hari perayaan. Media merupakan saluran utama kepada mereka untuk memperkenalkan perayaan tradisi mereka. Saluran TV3 adalah antara saluran yang banyak mempertontonkan keunikkan budaya dan buat rancangan khas pada musim perayaan. Sebagai contoh, TV3 memaparkan iklan sempena perayaan deepavali setiap tahun dalam kaca televisyen. Secara tidak langsung, iklan tersebut dapat memberitahu kepada masyarakat di Malaysia tentang makna perayaan tersebut dan cara perayaan tersebut disambut oleh penganut Hindu. Sempena perayaan Tahun Baru Cina juga pernah ditayangkan dalam kaca televisyen seperti “The Return Of Chen Zen” yang menceritakan tentang kehidupan orang Cina.

Sementelahan itu, media juga sedikit sebanyak dapat membantu dalam memperkenalkan tradisi berkenaan persembahan tarian yang ada di Malaysia ini. Perkara ini dapat dilihat dalam dunia internet yang kini menjadi ikutan pada masa kini. Penyebaran sumber secara atas talian dan melalui media sosial khususnya paling menonjol terlihat dalam kalangan masyarakat muda. Hasil kajian Azarudin Bin Awang (2015)menunjukkan bahawa akulturasi budaya yakni proses meminjam budaya masyarakat Melayu menjadikan komuniti Cina cukup mahir untuk bersosialisasi dengan masyarakat tempatan. Proses ini ditonjolkan dalam aspek pemakanan, pakaian, bahasa dan perkongsian aktiviti. Penyelidik juga memberi pendapat bahawa pengaruh media sedikit sebanyak membentuk ruang horizon berfikir dan bertanyakepada etnik Cina bagi memahami elemen-elemen agama Islam dalam kehidupan yang pernah dilalui. Pengalaman etnik Cina ini terlibat dalam aktiviti mendengar ceramah melaluipembesar suara di surau dan rancangan yang bersifat audio visual seperti tilawah Al-Quran yang menyerlahkan hal ehwal agama masyarakat Muslim. Walaupun demikian, aspek bahasa, makanan, pakaian dan aktiviti yang berbaur unsur-unsur keagamaan Islam dalam kehidupan komuniti Melayu ini mendedahkan secara langsung nilai agama tersebut kepada agama yang lain. Pengaruh media massa seperti muzik dan lakonan menjadi medium penghibur untuk merehatkan fikiran (Ghazali, 2008). Dahulunya,perfileman India amat ketara dalam filem-filem Melayu awalan kerana kebanyakan pengarah dan tenaga produksi ketika itu terdiri daripada bangsa India. Selain kaum Cina dan Melayu, India juga ada keunikannya iaitu Tarian Bhagra yang merupakan suatu bentuk tarian yang mana ianya untuk meraikan penglibatan dan kejayaan dalam tuaian yang baik dan berasal daripada wilayah Punjab di India. Peranan media untuk menyebarkan kesenian gerak geri dalam tarian ini di dalam Youtube, Vimeo dan aplikasi lain dapat menggalakkan lagi anak generasi muda berbangsa Melayu mahupun Cina turun padang bagi melaksanakana Tarian Bhagra ini dan mengaplikasikan tarian ini dalam majlis kenduri kahwin.

2.4 MEDIA SEBAGAI TUNJANG PERUBAHAN

Media bukan sahaja merupakan cermin kepada masyarakat, malahan media juga boleh alat yang menjadi tunjang atau pemangkin sesebuah perubahan dalam masyarakat. Selain daripada berfungsi mewujudkan interaksi sosial, politik dan ekonomi dalam masyarakat, media juga bertujuan untuk menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat dengan cara memperluas cakra pemikiran masyarakat agar sentiasa berfikir kehadapan selaras dengan cabaran yang dihadapi pada zaman globalisasi dan materialistik ini. Ini adalah penting kerana tanpa adanya masyarakat yang mampu berfikir secara mapan, keadaan sosioekonomi masyarakat akan sentiasa dalam keadaan tidak stabil dan mampu menggugat keamanan seperti yang berlaku semasa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Media dapat berfungsi sebagai tunjang perubahan dengan melahirkan masyarakat yang berfikiran terbuka dan generasi cerdik pandai. Pengaruh media baru seperti media eletronik dan media social yang mampu dimiliki dan diakses telah menunjukkan perubahan yang signinikan ke atas corak pemikiran ahli masyarakat. Medium media seperti internet telah memudahkan lagi ahli masyarakat untuk mendapatkan maklumat dengan hanya menekan hujung jari (Shamsul Amri Baharuddin, 2012). Kemudahan media sosial pula telah memberi peluang kepada pengguna untuk bertukar-tukar pendapat tentang perubahan ekonomi, politik serta perkembangan baharu yang berlaku di sekitar mereka. Budaya sihat ini tentunya melahirkan masyarakat yang mampu berfikir secara rasional, terbuka dan kritis.

Media baru seperti kewujudan talian Internet mempunyai potensi yang menyeluruh dan holisitik untuk memperbaiki bidang pendidikan, perdagangan, bisnes, dan secara tidak langsung, pemerkasaan wanita, merentasi lokasi, kaum dan agama. Justeru kesannya ke atas institusi-institusi asas negara seperti keluarga, gender, ekonomi dan masyarakat awam adalah begitu signifikan (Ramli dan Adnan, 2006). Selain itu, media juga dapat berfungsi sebagai tunjang perubahan dengan meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat tanpa mengira bangsa mahupun agama. Perkembangan media telah memberi peluang kepada para usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi menjalankan pasaran dan pengiklanan.

Media sosial mempunyai cara yang luar biasa bagi membantu syarikat khususnya membina penjenamaan produk menerusi rangkaian jaringan, komunikasi dan penstrukturan komuniti (Erdogmus & Cicek, 2012). Dengan wujudnya media elektronik dan media sosial, para usahawan PKS boleh mengaplikasikan media-media ini untuk membina tapak komunikasi yang kukuh dengan pengguna untuk membina pengguna yang setia kerana kesannya amat ketara khususnya kepada bidang pemasaran iaitu komunikasi pengiklanan. Dengan cara ini, kemiskinan dapat dikurangkan seterusnya dapat dihapuskan dan dibasmi di kalangan rakyat tanpa mengira kaum. Ini adalah amat penting kerana jurang ekonomi antara kaum telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat. Menurut Shamsul Amri Baharuddin (2012), dalam usaha mencapai keharmonian hidup dalam konteks Malaysia hari ini, kekayaan negara perlu diagihkan secara adil dan saksama tanpa adanya unsur pilih kasih dan diskriminasi. Ini adalah penting supaya mana-mana kaum mahupun etnik tidak berasa terpinggir dan dapat menikmati faedah pembangunan secara sama rata. Dengan kemunculan media-media baru, masyarakat tanpa mengira kaum dapat menaikkan taraf hidup mereka seterusnya keluar dari kepompong kemiskinan. Dalam konteks pembangunan ekonomi di Malaysia, peningkatan mutu hidup rakyat ini perlu diberi penekanan supaya seimbang dengan peningkatan mutu hidup pelbagai kaum yang menjadi warganegara Malaysia. Ini adalah untuk memastikan semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dapat menikmati keadilan sosial. (Hamidah Abdul Rahman, 2009)

2.5 MENGGALAKKAN INTERAKSI ANTARA KAUM

Media sosial menjadi sebuah fenomena media yang sukar disekat perkembangannya. Masih belum ada satu pun penilitian dan kajian yang boleh menganggar jangka hayat media sosial ini akan tamat (Khanza ect all, 2016). Prof. Koehn, ahli ekonomi telah mengatakan bahawa saat ini adalah “Revolusi Komunikasi”. Perubahan secara mendadak ini telah mengubah cara komunikasi masyarakat kepada fantasi. Hal ini telah menyebabkan kecerdasan manusia bertambah dan telah melahirkan banyak inovasi baru yang secara tidak langsung telah memudahkan proses lanjutan peradaban. Teknologi informasi di media massa adalah salah satunya. Keintelektual manusia yang dinamik dapat dibentuk hasil daripada capaian teknologi informasi di media sosial yang telah mengalami perkembangan pesat dari semasa ke semasa dan akhirnya perbezaan pendapat dan konflik tidak menjadi satu masalah sekiranya diguna dengan baik dan berkhemah.

Teknologi informasi ini juga telah mengheret sesebuah komunikasi itu lebih mudah untuk diakses seperti komunikasi interpersonal, komunikasi kelompok dan komunikasi organisasi. Akibatnya, komunikasi secara fantasi ataupun maya di media massa telah bergerak maju dan terasa mudah untuk dilakukan (Harvey, 2014). Komunikasi menjadi punca utama orang memasuki dalam talian. Kajian Fallow (2004) menyatakan bahawa majoriti pengguna Internet memasuki dunia siber untuk melakukan aktiviti harian mereka, terutama untuk berinteraksi antara satu sama lain. Data daripada Internet World Stat menyatakan jumlah pengguna media sosial ini meningkat dari tahun ke tahun. Antara tahun 2000 hingga 2009, statistik menunjukkan peningkatan peratusan pengguna Internet di seluruh dunia 339.3% dan 42.4% pengguna Internet ialah penduduk di negara Asia. Malaysia tersenarai dalam ranking sepuluh yang teratas di Asia dengan 16.9 juta pengguna pada tahun 2009 (Ezaleila ect al, 2010: 39). Menurut Joinson (2008), penglibatan sesama pengguna melibatkan sembilan cara, iaitu melihat foto, ditag pada foto, melabelkan foto, menemui aplikasi baharu yang digunakan rakan, menguruskan dan menyertai majlis atau acara tertentu, menerima jemputan bersahabat, melihat status pengguna lain, menggunakan agen carian untuk mencari mereka yang mempunyai ciri tertentu, dan menyertai kumpulan dalam talian (Ezaleila, 2011: 98).

Media sosial telah memainkan peranan yang penting dalam kehidupan sosial, terutama dalam masyarakat moden. Menurut McQuail dalam bukunya Mass Communication Theories, terdapat enam peranan media. Pertama, melihat media seabagai window on event and experience. Media dipandang sebagai jendela yang membolehkan masyarakat melihat apa yang sedang terjadi di luar sana dan tempat belajar untuk mengetahui pelbagai peristiwa. Kedua, media juga sering dianggap sebagai a mirror of event in society and the world, implying a faithful reflection. Cermin pelbagai peristiwa yang wujud dalam masyarakat dan dunia. Hal ini disebabkan, para pengelola media sering merasa tidak bersalah jika konten mereka penuh dengan kekerasan, konflik, pornografi dan pelbagai keburukan lain, kerana bagi mereka bahawa itulah fakta yang sebenar. Ketiga, media sebagai filter, atau gatekeeper yang menapis pelbagai isu sama ada isu itu perlu diberi perhatian atau tidak. Media sentiasa memilih isu, informasi dan konten yang telah ditetapkan oleh para pengelola. Dalam tidak sedar sebenarnya isu-isu tersebut telah “dipilih” oleh media untuk tatapan dan bacaan masyarakat untuk diberi perhatian. Keempat, media dilihat sebagai guide dan interpreter, yang menterjemah dan penunjuk arah atas pelbagai ketidakpastian, atau pemberi alternatif. Kelima, melihat media sebagai forum untuk menyampaikan makumat atau informasi serta idea-idea kepada masyarakat. Keenam, media massa sebagai interlocutor, iaitu individu yang mengambil bahagian dalam perbualan dan komunikasi (Aria, 2011).

Dengan itu, jelaslah bahawa media memainkan peranan yang penting dan besar dalam interaksi sosial. Dalam konteks kita sebagai masyarakat majmuk, media sosial khususnya dilihat mampu mengalakkan interaksi antara kaum. Wujud kemungkinan sesebuah kaum itu malu dan kekok untuk berinteraksi dan bergaul secara realiti dengan kaum yang lain yang mungkin disebabkan masalah dalam komunikasi bahasa, perbezaan agama dan adat serta sebagainya. Hal ini menyebabkan penghayatan, keinteraksian, proses pembelajaran serta persefahaman antara kaum di Malaysia terbatas. Ini secara tidak langsung menyebabkan self-confidence untuk berinteraksi dengan kaum lain juga menurun. Tetapi, dengan adanya media sosial perkara-perkara tersebut dapat diatasi.

 Dengan adanya media sosial sebagai contoh, masyarakat berbilang kaum di Malaysia dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan persahabatan. Sama ada dekat mahupun melangkaui sempadan. Media sosial seperti Facebook, Istagram dan Tweeter telah memudahkan proses interaksi dengan hanya dihujung jari. Kewujudan rakan baru dari kaum yang lain di laman sosial ini secara tidak langsung berlakunya proses pembelajaran mengenai agama, budaya, bahasa, adat, falsafah dan sebagainya sama ada secara sedar atau tidak. Kemesraan yang wujud di laman sosial tersebut dapat menaikkan self-confidence untuk bersosial secara realiti kerana sudah wujudnya persefahaman dan kemesraan yang telah terjalin di laman sosial tersebut. Media sosial juga dapat menggalakkan interaksi antara kaum melalui hubungan perniagaan atau bisnes. Sebagai contoh, kaum Cina sangat terkenal dengan kehandalan dan kecekapan dalam perniagaan. Kaum-kaum lain seperti Melayu dan India perlu membina hubungan dan berinteraksi dengan kaum Cina untuk kelangsungan perniagaan mereka. Media sosial dilihat satu medium yangg terbaik untuk membina hubungan perniagaan  tersebut dan secara tidak langsung wujudnya interaksi antara kaum kerana tanpa interaksi kelangsungan sesebuah perniagaan itu tidak dapat dijalankan.

3.0 KESIMPULAN

Sebagai penghias bicara akhir dapat kita teliti sehingga ke akar umbi bahawa media merupakan satu wadah dalam membina sesebuah hubungan etnik terutamanya di Malaysia yang sangat terkenal dengan negara yang mempunyai masyarakat majmuk dan berbilang kaum. Dalam penulisan kali ini sungguh padat dengan informasi dan fakta-fakta yang membuktikan sumbangan yang telah diberikan oleh media kepada etnik-etnik yang terdapat di Malaysia. Memetik peribahasa Melayu seikat bak sirih serumpun bak serai begitulah diumpamakan perpaduan masyarakat Malaysia yang begitu erat dan tidak dapat disangkal lagi di sebalik kejayaan masyarakat Malaysia mengecapi perpaduan ini terselit peranan media yang membantu tersemainya benih-benih perpaduan dalam jiwa masyarakat. Kita dapat melihat bahawa media juga dijadikan platform untuk memperkenalkan tradisi-tradisi yang unik daripada kepelbagaian etnik yang wujud bukan sahaja kepada rakyat Malaysia bahkan ke peringkat antarabangsa di samping menjamin kelestarian tradisi ini agar ia tak lapuk dek hujan , tak lekang dek panas. Media juga memberi sumbangan penting sebagai ejen penyampaian maklumat kepada semua lapisan masyarakat tidak kira di pendalaman mahupun kawasan bandar. Kata orang hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa kesamarataan yang diberikan kepada semua etnik di Malaysia agar dapat bersama-sama merasai kecanggihan media kini untuk mendapat maklumat semasa. Begitu juga sumbangannya dalam membawa masyarakat selangkah ke hadapan demi menjulang kemajuan negara. Kita juga dapat menyaksikan bahawa media ini merupakan penggerak interaksi berbilang kaum yang sangat penting dalam sesebuah hubungan etnik. Sudah terang lagi bersuluh bahawa media sememangnya memberikan sumbangan dalam membentuk sebuah perhubungan etnik di Malaysia. Daripada sumbangan media ini juga kita dapat membuktikan keharmonian yang di kecapi adalah kesan daripada penggunaan media yang sedia ada dengan baik. Selain itu, dalam penulisan ini dapat kita lihat keberhasilan media yang membantu dalam menjamin keharmonian masyarakat berbilang kaum dan kesan yang mendalam dalam jiwa masyarakat memang tidak dapat disangkal lagi. Sesungguhnya, media ini sememangnya memberikan kesan yang positif dalam menjana perhubungan masyarakat Malaysia namun seandainya kita salah menggunakan media ini ia juga berpotensi menjadi musuh utama yang mampu memporak-perandakan hubungan sesama etnik yang terdapat di Malaysia yang mungkin membawa negara Malaysia ke lembah kehancuran yang masih belum pernah dirasai oleh mana-mana tamadun yang lain. 

 

 

Comments

Chat