Umi Syafika's 9.A3 : AKTIVITI 3 - OpenLearning

Jawapan Esei


SOALAN 1: BAHASA MELAYU MAMPU MENJADI BAHASA PENGANTAR YANG BERKESAN DI PERINGKAT SEKOLAH DAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI. Bahasa pengantar boleh didefinisikan sebagai bahasa yang ditetapkan oleh sesebuah negara sebagai bahasa yang digunakan untuk sistem pendidikan. Sebagai contoh, Malaysia mempunyai sekolah yang menggunakan bahasa ibunda setiap kaum seperti bahasa Melayu di sekolah-sekolah kebangsaan, bahasa Cina di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan bahasa Tamil untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil. Bahasa-bahasa ini telah ditetapkan oleh Laporan Abdul Razak Hussien (1956) dan Laporan Pelajaran Abdul Rahman Talib (1960) sebagai bahasa pengantar. Dengan berkuat kuasanya Akta Pelajaran pada tahun 1961, bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa pengantar utama dalam institusi pendidikan. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi. Pengunaan bahasa Melayu hendaklah dipupuk bermula di peringkat sekolah. Hal ini kerana bahasa ini mudah difahami dan mudah dipelajari oleh pelajar dari kaum selain kaum Melayu. Sesuai dengan pepatah yang berbunyi ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Jika bahasa Melayu tidak diajar di peringkat sekolah, ianya akan membuatkan para pelajar akan susah untuk berkomunikasi dengan murid yang lain kerana kelainan penggunaan bahasa. Sebagai contoh, pelajar kaum Cina atau India akan sukar untuk berkomunikasi dengan pelajar kaum Melayu ataupun berkomunikasi antara kedua-dua kaum tersebut. Kementerian Pendidikan telah melancarkan satu slogan iaitu ‘Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI)’. Ini menunjukkan bahawa pihak kerajaan mengambil serius berkenaan penggunaan bahasa Melayu di peringkat sekolah. Di peringkat institusi pengajian tinggi pula, bahasa Melayu digunakan dalam mata pelajaran Hubungan Etnik dan Titas. Terutamanya di dalam mata pelajaran Hubungan Etnik, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar kerana dengan bahasa Melayu, kita dapat memahami subjek itu dengan mudah. Hal ini juga dapat merapatkan jurang antara kaum untuk bertutur dalam bahasa Melayu ini. Oleh sebab itu, bahasa Melayu merupakan elemen yang penting untuk mewujudkan keharmonian antara kaum. Kesimpulannya, bahasa Melayu mampu dijadikan sebagai bahasa pengantar yang berkesan untuk memupuk hubungan etnik di Malaysia ini. Soalan 2. Sistem sekolah satu aliran penting untuk memupuk kesepaduan sosial dalam kalangan anak-anak muda masa kini. Sekolah merupakan tempat pertemuan anak-anak tempat mereka menimba ilmu dan belajar erti persahabatan serta mula membina rangkaian sosial. Kanak-kanak di Malaysia, secara umumnya, memulakan persekolahan ketika berumur 5 atau 6 tahun di peringkat tadika atau pra-sekolah, diikuti dengan 6 tahun di sekolah rendah sebelum meneruskan 5 tahun pengajian sekolah menengah. Maka, tempoh keseluruhan persekolahan mengambil masa yang lama iaitu menjangkau 12 ke 15 tahun. Tempoh ini juga melibatkan peringkat umur yang kritikal dalam proses pembetukan dan pembesaran seseorang individu. Kewujudan sekolah satu aliran ini melangkaui sempadan kaum dan budaya. Hal ini akan menimbulkan beberapa implikasi dalam pelbagai aspek terutamanya di kalangan pelajar sendiri. Antara kesan positif kewujudan sekolah satu aliran ialah dapat menyemai dan memupuk semangat perpaduan di kalangan pelajar, membuka ruang masa dan tempat untuk saling mengenali dan memahami etika kemanusiaan tersendiri dan dapat perpaduan nasional dapat dicapai melalui sistem pendidikan satu aliran yang sistematik. Sekolah Victoria Institution (sekolah VI) yang merupakan contoh terbaik sekolah satu aliran di negara ini. Semua ibu bapa dari kaum Melayu, Cina dan India berlumba-lumba mahu menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah itu. Lihat sahaja bagaimana mesranya pelajar-pelajar dari ketiga-tiga kaum bergaul mesra dan bersaing secara sihat dalam pelajaran. Kerajaan terutamanya Menteri Pelajaran wajar mengkaji model sekolah VI ini dan menjadikannya sebagai asas atau model untuk membentuk sekolah satu aliran di negara ini. Setakat ini sekolah VI amat popular dan menjadi rebutan pelajar serta ibu bapa daripada semua kaum. Oleh itu, institusi persekolahan bukan sahaja tempat pembelajaran, sebaliknya ia juga medan untuk anak-anak belajar berinteraksi dan memahami antara satu sama lain. Di situlah titik awal dan utama berlakunya hubungan integrasi antara kaum satu proses yang penting untuk mewujudkan keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum. Integrasi nasional ini sangat penting demi menjamin kestabilan dan kematangan politik, ekonomi dan sosial. (3) Globalisasi dan liberalisasi sistem pendidikan pada masa kini memberi impak positif dalam hubungan etnik di Malaysia. Globalisasi secara umumnya bermaksud proses meletakkan dunia dibawah satu unit yang sama tanpa dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara manakala liberalisasi bermaksud falsafah yang meletakkan kebebasan individu sebagai nilai politik tertinggi. Perkembangan globalisasi dan liberalisasi yang berlaku memungkinkan perhubungan diantara sesebuah negara dengan negara yang lain dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh masa yang singkat dan melahirkan insan yang berfikiran bebas dan terbuka. Antara impak positif globalisasi dan liberalisasi adalah penyebaran teknologi maklumat yang berupaya menyediakan peluang pendidikan yang lebih meluas. Peningkatan penggunaan dan kemahiran ICT akan menjurus kepada interaksi global yang mana akan meluaskan konsep pembelajaran mengatasi bilik darjah. Contohnya, dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, guru atau pensyarah dapat melaksanakan proses pembelajaran melalui maya. Penggunaan ICT memudahkan interaksi antara pelajar dan pensyarah sebagai contoh penggunaan platform MOOC dalam sistem pembelajaran pelajar universiti pada masa kini membolehkan pelajar berinteraksi secara terus dengan sesiapa sahaja dan membolehkan perkongsiaan ilmu berlaku. Seterusnya, dapat melahirkan pelajar yang berdaya saing . Komunikasi global yang berlaku membolehkan pelajar lebih bersedia untuk menghadapi pasaran buruh antarabangsa. Kesedaran ini menyebabkan pelajar lebih bersedia dan dapat menghasikan produk atau perkhidmatan yang bersesuaian dengan kehendak global. Disamping itu, impak positif lain adalah peningkatan bilangan institusi pendidikan swasta yang bakal melahirkan modal insan negara. Melalui konsep liberalisasi pendidikan di Malaysia, pelbagai pihak mempunyai kebebasan dalam menubuhkan institusi pembelajaran di Malaysia. Kesannya, banyak institusi pendidikan telah dibangunkan dalam negara Malaysia. Penubuhan institusi pengajian tinggi swasta yang begitu banyak mempunyai implikasi yang besar kepada perkembangan industri pendidikan negara. Perlaksanaan program berkembar oleh insitusi-institusi swasta ini, membolehkan wujudnya peluang pembelajaran yang lebih tinggi dari segi penawaran kursus-kursus pengajian hasil dari kewujudan program berkembar, sekaligus menyediakan penempatan pembelajaran yang lebih banyak. Sehubungan dengan ini, pendidikan di Malaysia tidak hanya akan bergantung kepada universiti-universiti tempatan yang sedia ada sahaja.

Comments

Chat