Mohamad Zarif Irfan bin Karomi's 10.A2 : Konsep segregasi, integrasi dan saling kebergantungan - OpenLearning

Segregasi atau pengelompokkan etnik merupakan satu keadaan yang biasa di mana-mana tempat di muka bumi. Keadaan ini bukan sahaja berlaku dalam kehidupan manusia, akan tetapi boleh berlaku secara tidak sengaja pada kehidupan lain seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Pola taburan seperti ini merupakan satu corak dan strategi hidupan secara semula jadi untuk membolehkan hidup bertahan dalam satu komuniti yang kukuh. Segregasi bermaksud pemisahan atau pengasingan kumpulan etnik dengan etnik yang lain dalam sesebuah negara sama ada disebabkan oleh kawasan kediaman, sistem persekolahan, pengangkutan dan kemudahan awam (Shamsul Amri Baharuddin, 2007). Segregasi juga dimaksudkan sebagai hubungan yang bersifat pemisahan di antara etnik-etnik di dalam sesebuah negara.

 

Segregasi etnik merupakan satu keadaan yang lazim di Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang kaum. Sejarah dan asal-usul sesuatu etnik telah membuktikan bahawa pewujudan segregasi etnik ini sudah berlangsung sejak sekian lama.
Di Malaysia, meskipun tanpa kehadiran pihak penjajah barat, pola segregasi ini tetap terjadi kerana atas alasan faktor amalan budaya, amalan nilai, kegiatan ekonomi dan faktor agama. Ini dapat dilihat daripada pola taburan suku kaum masyarakat di Malaysia yang hidup secara mengelompok berdasarkan budaya, amalan nilai, kegiatan ekonomi dan kepercayaan yang sama di sesuatu tempat. Pengaruh daripada faktor–faktor ini, telah memberikan satu pegangan tanpa paksaan dan diterima oleh semua lapisan masyarakat tanpa ada pertikaian. Senario ini telah mewujudkan nama-nama kampung seperti perkampungan orang Melayu, perkampungan orang Cina dan perkampungan orang India. Di Sabah khususnya kita dapat mengenal segregasi etnik yang amat jelas berdasarkan kaum. Ini dapat dilihat daripada melalui pola taburan suku kaum mengikut suku kaum, misalnya suku kaum Rungus, Dusun, Bajau, Eranun, Sungai, Kimaragang, Suluk, Murut mendiami satu-satu kawasan tanpa bercampur dengan suku kaum yang lain.

 

Perubahan pembangunan yang pesat di Malaysia telah mengubah sedikit senario pola taburan etnik. Dasar kerajaan yang sangat progresif ke arah meningkatkan taraf hidup dan kualiti hidup yang lebih baik kepada rakyat, telah membantu mempercepat mengurangkan segregasi mengikut etnik secara nyata terutamanya di kawasan-kawasan bandar. Walau bagaimanapun, perubahan mekanisme ini tidak selalunya berjalan lancar dan sentiasa ada pengaruh lain yang boleh menyeragamkan semula seperti keadaan sedia kala. Kekuatan-kekuatan dari segi aspek ekonomi, sosial dan politik boleh menjadi faktor penentu kepada pembentukan segregasi etnik moden. Ini memberikan satu petunjuk yang jelas seperti mana pandangan Dr. Rahmat Ghazali yang menyatakan bahawa nasionalisme etnik lebih jelas terkandung dalam jiwa masyarakat etnik Cina sedangkan masyarakat Melayu secara sedar rela kaum mereka disegregasikan oleh ideologi politik daripada berdiri dalam satu pemuafakatan semangat Melayu

 

Pola pengelompokkan etnik ini telah diketahui umum bahawa ianya tidak mendatangkan hasil apa-apa kepada usaha menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di sesuatu tempat. Negara yang mempunyai bahasa dan budaya yang sama pun mengalami pemisahan dan konflik seperti Korea. Ini memberikan jawapan yang begitu jelas bahawa masalah pemisahan kaum dengan kepelbagaian amalan nilai, kepercayaan, bahasa, dan budaya satu momentum ke arah perpecahan sebuah negara bangsa. Keadaan ini tidak dapat dibendung kerana, menurut Ma’mun Ibnu Ridwan, dengan adanya kepelbagaian etnik akan menimbulkan masalah sosial dan budaya yang tidak mudah diatasi, yang akhirnya menyumbang kepada pertumpahan darah

 

Berdasarkan kepada Peristiwa 13 Mei 1969, kerajaan Malaysia telah merangka beberapa dasar dalam usaha menyusun semula masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Program pembangunan ekonomi yang berteraskan kepada pendekatan ekonomi Islam telah mendapat reaksi yang berbeza-beza di antara masyarakat Melayu dan bukan Melayu. Ini dapat dilihat daripada penyataan Syed Omar Syed Agil Al-Attas (1994) yang menyebut bahawa orang-orang Islam yang tidak memahami hakikat Islam dan matlamatnya mempertikaikan kemampuannya dan mendakwa bahawa pelaksanaannya akan merunsingkan lagi polarisasi kaum di Malaysia. Sementara, orang-orang yang bukan Islam pula berasa bimbang bahawa pelaksanaannya akan membawa dan mewujudkan suasana penindasan, diskriminasi (bias), lebih-lebih lagi apabila pelaksanaan DEB itu sendiri sudah pun mempamerkan ciri-ciri sedemikian rupa. Melihat kepada keadaan ini, jelas bahawa pendekatan ekonomi dalam merapatkan jurang perbezaan ekonomi antara kaum tidak mendapat sambutan secara menyeluruh walaupun dengan kaum bumiputera itu sendiri, malah disifatkan pendekatan kurang praktikal serta mengundang spekulasi yang negatif antara kaum, yang akhirnya menambahkan lagi masalah ke arah integrasi nasional di Malaysia.

Comments

Chat