1. Apakah pandangan anda mengenai aktiviti yang dijalankan oleh JPNIN dalam memupuk semangat perpaduan kaum dalam kalangan kanak-kanak tadika?
Perpaduan merupakan perkara yang amat mustahak untuk mengekalkan keharmonian dan kedamaian di sesebuah negara. Negara yang aman dan damai dapat menjamin kebahagiaan dan keselamatan rakyatnya. Negara yang mengamalkan perpaduan dapat mencapai kemajuan dengan lebih mudah dan tidak mudah ditakluki kuasa asing. Inilah kemerdekaan yang perlu dijaga oleh setiap rakyat Malaysia. Perpaduan negara merujuk kepada satu bentuk penyatuan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial, agama, budaya dan bahasa yang berbeza di bawah satu bentuk identiti nasional yang lebih khusus serta dapat diterima oleh majoriti golongan etnik di negara ini. Sejak merdeka sehinggalah mutakhir ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan yang bertujuan mencapai perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Di Malaysia, penghayatan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat mampu melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu dalam pelbagai aspek. Merujuk kepada Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib, penekanan telah diberikan kepada sistem persekolahan yang sama; bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan kurikulum sekolah yang sama dan bercorak kebangsaan. Jelaslah bahawa sistem pendidikan negara merupakan satu kaedah untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan kaum. Selain itu, penekanan kepada sikap berbangga menjadi warganegara Malaysia perlu diterapkan dalam jiwa pelajar. Hal ini boleh dilakukan melalui pelbagai pertandingan, sambutan bulan kemerdekaan, dan hari patriotik. Dalam persekitaran sekolah, memupuk semangat muhibah dan semangat toleransi antara kaum sangat penting. Hal ini dapat membantu menyuburkan semangavt perpaduan kaum dan membolehkan mereka berinteraksi sesama mereka. Setiap subjek yang diajarkan di sekolah juga harus menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis. Nilai-nilai rohani dan budaya bersama perlu diberikan keutamaan dalam setiap subjek. Semangat perpaduan juga perlu merentasi kurikulum untuk membentuk dan menguatkan peribadi dan moral para pelajar. Penubuhan sekolah wawasan yang menggabungkan ketiga-tiga buah sekolah rendah, iaitu SRK, SRJK (C) dan SRJK (T) dalam satu kawasan mampu membentuk pelajar yang bertoleransi. Pelajar akan menggunakan segala kemudahan yang ada seperti padang, kantin dan perpustakaan secara bersama-sama. Pelajar sekolah rendah akan bergaul secara langsung apabila mereka bersukan, makan di kantin dan semasa mengadakan hari terbuka sekolah. Oleh itu, pemupukan semangat perpaduan dapat ditanam dan disemai pada peringkat awal usia pelajar lagi.
2. Adakah aktiviti yang dijalankan ini berkesan dalam memupuk semangat perpaduan kaum dalam kalangan kanak-kanak tadika?
Anak-anak digalakkan berkomunikasi dengan jiran yang berlainan bangsa dan ibu bapa juga disarankan membawa anak-anak mereka mengunjungi rumah jiran semasa hari lebaran atau perayaan. Dengan cara itu, ibu bapa dapat menjadi suri teladan kepada anak-anak dan membolehkan mereka menghayati keistimewaan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai jenis kaum dan etnik. Selain itu, ibu bapa juga boleh berkomunikasi dengan anak-anak dalam pelbagai bahasa, misalnya bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, dan bahasa-bahasa ibunda. Apabila golongan muda menguasai pelbagai bahasa, mereka dapat berkomunikasi dengan rakan yang berlainan bangsa dengan mudah. Pokoknya, nilai-nilai perpaduan dan permuafakatan hendaklah didedahkan kepada generasi muda sejak awal lagi agar jiwa perpaduan dalam diri mereka dapat berkembang dengan sempurna. Seterusnya, institusi-institusi pendidikan perlu bertanggungjawab menerapkan semangat bersatu-padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Antara langkah yang dapat diambil adalah dengan memberikan kerja-kerja berkumpulan. Dalam konteks ini, guru-guru hendaklah membahagikan pelajar secara berkumpulan dalam melaksanakan projek-projek sekolah, seperti kajian sains, persembahan, dan sambutan-sambutan majlis di sekolah. Guru-guru juga haruslah membahagikan kedudukan pelajar dengan sempurna untuk menggalakkan pelajar berkomunikasi dengan pelajar-pelajar yang berlainan kaum dan bukannya sesama satu kaum sahaja. Dalam proses menjayakan inisiatif-inisiatif tersebut, guru tidak boleh mencetuskan isu-isu sensitif semasa mengajar, misalnya dengan mengagung-agungkan warisan budaya sendiri dan mengejek budaya kaum lain. Pendek kata, pelajar-pelajar dan guru-guru perlulah bekerjasama demi menzahirkan semangat perpaduan di peringkat sekolah. Di samping itu, golongan pelajar perlulah belajar dan menghayati sejarah negara agar dapat memahami erti perpaduan negara. Sebagai satu daripada langkah untuk mewujudkan permuafakatan bangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan pelajar-pelajar agar lulus dalam mata pelajaran Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013. Langkah tersebut diharapkan dapat menyedarkan anak-anak bangsa tentang akibat kurangnya perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Mengetahui dan memahami peristiwa yang berlaku dalam sejarah negara seperti tragedi berdarah 13 Mei 1969, sudah tentu golongan muda dan belia akan lebih menghargai perpaduan dan keharmonian yang dikecapi selama ini. Pemahaman rakyat Malaysia tentang sejarah tanah air dapat menyemai semangat perpaduan dalam diri mereka. Pada masa yang sama, rakyat Malaysia hendaklah menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum. Walaupun rakyat diberi hak kebebasan bersuara, mereka haruslah tidak mengambil kesempatan dengan mencetuskan isu-isu sensitif dan kontroversi yang dapat merosakkan rasa muhibah dan perpaduan. Masyarakat setempat juga boleh memainkan peranan dalam mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini melalui penganjuran aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, Program Rukun Tetangga, dan kempen Bulan Kemerdekaan untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum. Aktiviti-aktiviti seperti ini mampu menjamin kesejahteraan hidup warga setempat, dengan membuka ruang dan peluang komunikasi antara jiran tetangga berlainan bangsa.