Apakah yang dapat anda katakan mengenai refleksi kendiri anda berdasarkan persoalan berikut: (a) Adakah anda seorang yang tebal atau tipis batas etniknya? Pada pandangan saya, saya merupakan seorang yang mempunyai batas etnik yang nipis. Hal ini dapat dilihat apabila saya mula didedahkan dengan kehidupan kepelbagaian etnik sejak lahir lagi. Kawasan kejiranan yang majmuk telah membantu saya melalui kehidupan dengan penuh warna-warni. Guru dan rakan saya di sekolah rendah juga bukan hanya terdiri daripada satu etnik sahaja, walaupun bilangan mereka tidak ramai. Hal ini turut mengajar saya untuk sentiasa bersifat terbuka dengan mereka agar mereka tidak berasa kekok di mana-mana sahaja mereka berada. Namun, apabila saya melangkah ke alam sekolah menengah, saya tidak terlampau terdedah dengan etnik luar memandangkan saya berada di sekolah menengah agama yang terdiri daripada satu bangsa sahaja. Walaupun begitu, saya tetap berhubung dengan etnik luar di luar waktu persekolahan seperti di kedai-kedai runcit, pasar, kejiranan, dan sebagainya. (b) Apakah pengalaman saling kebergantungan yang anda alami? Berdasarkan pengalaman, terdapat beberapa peristiwa yang menunjukkan saling kebergantungan antara etnik yang saya alami. Sebagai contoh, jiran saya yang berbangsa Cina sering memberikan kami gula-gula dan buah oren semasa perayaan Tahun Baru Cina. Jiran saya ini merupakan seorang peniaga kedai hardware dan penjual gas dapur. Pernah suatu ketika, apabila kami ketiadaan gas di dapur dan kekurangan wang untuk membeli dapur gas, beliau sanggup menghantar dapur gas kepada kami dan membenarkan kami membayarnya apabila kami mempunyai wang. Beliau sangat memahami kesusahan yang kami hadapi ketika itu dan tidak pernah mengambil kesempatan bahkan setia menghulurkan bantuan pada bila-bila masa sahaja. (c) Apakah takrifan harian dan takrifan autoriti yang berkait dengan pengalaman hidup anda sendiri? Takrifan harian dan takrifan autoriti merupakan dua perkara yang wujud dalam masyarakat sekeliling kita. Sebagaimana yang kita maklum, setiap bangsa mempunyai bahasa dan budaya yang tersendiri. Sebagai contoh, apabila saya pulang ke kampung halaman, kami akan menggunakan satu bahasa iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi antara kami. Kami juga akan mengamalkan budaya seperti makan menggunakan tangan kanan bersama-sama dan membaca doa sebelum makan. Begitu juga yang diamalkan oleh etnik lain seperti perayaan, adat dan budaya. Masing-masing mempunyai kepercayaan dan amalan yang telah diwarisi oleh nenek moyang mereka sendiri yang masih diteruskan sehingga ke hari ini. Namun, kehidupan majmuk telah membuatkan kita menerima dan turut meraikan perayaan-perayaan yang ada dalam negara kita. Bahkan sebahagian dari tokoh-tokoh mahupun pemimpin-pemimpin Malaysia mengadakan rumah-rumah terbuka bagi setiap perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, sambutan Deepavali, dan sebagainya. Kawasan kejiranan saya turut menjemput kami apabila mereka mengadakan rumah terbuka tanpa mengira agama dan bangsa. (d) Apakah bentuk rundingan sosial yang anda lakukan di dalam mengalami kehidupan sebagai ahli masyarakat pelbagai etnik di negara ini? Dalam menjalani kehidupan dalam komuniti yang mempunyai pelbagai etnik, banyak rundingan sosial yang saya lakukan agar dapat mengekalkan kesepaduan kaum antara kami. Kepelbagaian etnik telah menyebabkan kita mudah bertolak ansur dengan semua pihak. Hal ini dapat dibuktikan apabila saya melangkah ke alam universiti, saya mula bergaul dengan pelbagai etnik dan tidak tertumpu pada sesuatu etnik sahaja. Hal ini membantu saya mengenali budaya dan adat mereka dengan lebih dalam lagi di samping dapat memperkenalkan dengan lebih jelas budaya kaum saya yang mereka ketahui mahupun tidak. Bagi saya, amatlah penting untuk kita bersifat terbuka dan berpandangan dengan lebih jauh lagi. 2. Rangkakan satu pelan tindakan bagi merancang langkah-langkah praktikal yang boleh anda lakukan di dalam memainkan peranan sebagai seorang agen penyatupaduan di dalam masyarakat pelbagai etnik di negara ini. Gambarkan pelan tindakan anda dalam bentuk lakaran/jadual atau apa-apa bentuk audio-visual yang sesuai dan kongsikan di ruangan komen. Sebagai rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, kita hendaklah sentiasa mementingkan perpaduan dalam sesebuah negara. Tardapat ramai rakyat Malaysia yang memandang enteng tentang kepentingan perpaduan dalam sesebuah negara ini. Antara perkara yang boleh kita lakukan untuk mengekalkan keharmonian sedia ada adalah mengadakan aktiviti gotong-royong yang melibatkan semua masyarakat pelbagai etnik di Malaysia. Selain itu, aktiviti lain yang boleh dilakukan adalah mengadakan malam kebudayaan dimana setiap kaum di Malaysia perlu membuat persembahan tarian tradisional setiap kaum, atau pameran budaya dan sebagainya.