Ormilla Bruno's 8.A10 Aktiviti 10: Tadika dan Perpaduan Kaum - OpenLearning

1. Apakah pandangan anda mengenai aktiviti yang dijalankan oleh JPNIN dalam memupuk semangat perpaduan kaum dalam kalangan kanak-kanak tadika?


Perpaduan merupakan perkara yang amat mustahak untuk mengekalkan keharmonian dan kedamaian di sesebuah negara. Negara yang aman dan damai dapat menjamin kebahagiaan dan keselamatan rakyatnya. Negara yang mengamalkan perpaduan dapat mencapai kemajuan dengan lebih mudah dan tidak mudah ditakluki kuasa asing. Inilah kemerdekaan yang perlu dijaga oleh setiap rakyat Malaysia. Perpaduan negara merujuk kepada satu bentuk penyatuan pelbagai kelompok yang mempunyai latar belakang sosial, agama, budaya dan bahasa yang berbeza di bawah satu bentuk identiti nasional yang lebih khusus serta dapat diterima oleh majoriti golongan etnik di negara ini. Sejak merdeka sehinggalah mutakhir ini, pelbagai usaha telah dilaksanakan yang bertujuan mencapai perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Di Malaysia, penghayatan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat mampu melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu dalam pelbagai aspek. Merujuk kepada Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib, penekanan telah diberikan kepada sistem persekolahan yang sama; bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan kurikulum sekolah yang sama dan bercorak kebangsaan. Jelaslah bahawa sistem pendidikan negara merupakan satu kaedah untuk mengekalkan perpaduan dalam kalangan kaum. Selain itu, penekanan kepada sikap berbangga menjadi warganegara Malaysia perlu diterapkan dalam jiwa pelajar. Hal ini boleh dilakukan melalui pelbagai pertandingan, sambutan bulan kemerdekaan, dan hari patriotik. Dalam persekitaran sekolah, memupuk semangat muhibah dan semangat toleransi antara kaum sangat penting. Hal ini dapat membantu menyuburkan semangavt perpaduan kaum dan membolehkan mereka berinteraksi sesama mereka. Setiap subjek yang diajarkan di sekolah juga harus menitikberatkan aspek-aspek pendidikan yang harmonis. Nilai-nilai rohani dan budaya bersama perlu diberikan keutamaan dalam setiap subjek. Semangat perpaduan juga perlu merentasi kurikulum untuk membentuk dan menguatkan peribadi dan moral para pelajar.

2. Adakah aktiviti yang dijalankan ini berkesan dalam memupuk semangat perpaduan kaum dalam kalangan kanak-kanak tadika?


Aktiviti seperti ini sememangnya berkesan untuk memupuk semangat perpaduan kaum dalam kalangan kanak-kanak tadika kerana ini mendedahkan mereka diperingkat awal tentang isu semangat perpaduan kaum yang sepatutnya mereka terapkan dalam diri mereka dari kecil lagi.

Comments

Chat