1. Apakah yang dimaksudkan dengan “Sehati Sejiwa?”
Sehati sejiwa di dalam lagu tema Hari Kemerdekaan 2015 ini membawa maksud demi tanah air tercinta kita yang sudah merdeka ini, kita akan curahkan kasih buat tanah pertiwi kita. Kita, tidak kiralah sama ada dari utara, selatan, timur, barat atau Sabah dan Serawak sekalipun akan bersama-sama bersatu padu demi negara Malaysia yang kita cintai ini. Laut yang terbentang luas bukan menjadi satu halangan untuk kita melafaz janji setia demi negara kita Malaysia, dan kita sama sekali tidak akan khianati janji kita. Walaupun kita semua terdiri daripada budaya dan agama yang berbeza, itu semua bukanlah penghalang untuk kita berganding bahu dan bersatu dalam membina negara Malaysia yang tenteram dan harmoni.
2. Pada pendapat anda kenapakah “Sehati Sejiwa” dipilih menjadi tema Hari Kemerdekaan 2015?
Pada pendapat saya, “Sehati Sejiwa” dipilih sebagai tema Hari Kemerdekaan 2015 adalah sebagai langkah penyatupaduan pelbagai etnik di Malaysia. Dapat dilihat bahawa etnik-etnik dari Sabah dan Sarawak diberikan penekanan untuk menimbulkan semangat sehati sejiwa ini mungkin kerana ingin menunjukkan walaupun lokasinya terpisah daripada Semenanjung Malaysia, etnik-etnik ini merupakan antara elemen penting dalam membentuk perpaduan. Sehati Sejiwa juga boleh dikatakan sinonim dengan konsep perpaduan yang kita cuba realisasikan selama ini. Perpaduan ini mungkin boleh dicapai sekiranya semua masyarakat Malaysia tanpa mengira etnik, warna kulit dan agama, boleh menyerapkan konsep sehati sejiwa di dalam diri masing-masing. Hal ini kerana, apabila setiap individu sudah berjaya mencapai konsep sehati sejiwa ini, tidak akan timbul lagi isu-isu perkauman seperti yang berlaku sekarang.
3. Kenapakah pentingnya semua rakyat Malaysia perlu “Sehati Sejiwa?”
Pentingnya semua rakyat Malaysia sehati sejiwa adalah supaya Malaysia dapat menjadi sebuah negara yang betul-betul harmoni dan bersatu-padu tanpa ada timbul sebarang konflik yang melibatkan isu perkauman. Kehidupan seharian kita juga akan menjadi lebih aman dan tenteram. Apabila semua rakyat sudah sehati sejiwa, Malaysia akan lebih dikenali sebagai sebuah negara contoh yang berjaya menyatupadukan semua etnik yang tedapat di dalam Malaysia. Rakyat Malaysia juga perlu sehati sejiwa demi mempertahankan negara kita daripada dijajah kembali oleh negara-negara besar yang lain. Sekiranya rakyat Malaysia semuanya bersatu padu dan sehati sejiwa dalam memperjuangkan dan menaikkan nama Malaysia, sudah semestinya Malaysia akan menjadi sebuah negara yang terkehadapan dalam pebagai aspek dan bidang.