Berdasarkan kepada video tersebut, "Konsep kesepaduan sosial adalah berbeza dengan konsep perpaduan. Konsep kesepaduan sosial adalah lebih realistik di Malaysia berbanding dengan konsep perpaduan". Secara peribadi saya bersetuju dengan kenyataan ini memandangkan masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai etnik yang memiliki nilai sosial yang berbeza-beza. Konsep Perpaduan iaitu proses menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta memiliki perasaan cinta dan bangga kepada tanah air merupakan gambaran suatu masyarakat yang sempurna dan sukar menjadi kenyataan di Malaysia kerana masyarakatnya terdiri daripada pelbagai etnik. Contohnya menukar bangsa dan agama asal kepada satu bangsa dan agama bersama memang agak mustahil walaupun pelbagai etnik boleh berkompromi menggunakan hanya satu bahasa yang sama bagi melambangkan kita adalah masyarakat Malaysia sedangkan jika kita mengamalkan konsep kesepaduan sosial ianya adalah lebih realistik dalam konteks di Malaysia kerana setiap etnik masih boleh meneruskan kelaziman hidup sepertimana kebiasaan etnik masing-masing lakukan dan ianya adalah satu fenomena sosial yang dipacu oleh idaman mendalam terhadap mencapai perpaduan itu sendiri bersama -sama. Konsep kesepaduan sosial mendorong ahli masyarakat berusaha untuk mencapai perpaduan tanpa ada tekanan contohnya seseorang tidak perlu menukar bangsa dan bebas beragama serta mengamalkan kehidupan seperti biasa tetapi persefahaman serta saling menghormati antara satu sama lain mewujudkan suasana harmoni dan situasi sebegini lebih mendorong masyarakat mengidamkan serta berusaha mencapai perpaduan dalam kepelbagaian sosial secara sukarela. Semua masyarakat di Malaysia perlu sentiasa berusaha untuk mencapai kesepaduan sosial bagi mewujudkan keadaan aman dan damai agar kita dapat meraih kesenangan dan kemewahan.