Arthur Isaac Toomas Ijim's 7.A2 : Perbincangan 2 - OpenLearning

Soalan 1

Hubungan antara agama dan etnik di Malaysia.
Agama didefinisikan sebagai pegangan atau pedoman hidup yang berkekalan serta dianggap sebagai suatu bentuk hubungan antara manusia dengan sesuatu kekuasaan luar biasa yang dianggap dapat memberikan perlindungan dan hubungan tersebut dianggap suci. Antara agama utama yang terdapat di Malaysia ialah Islam, Kristian, Hindu dan Sikh manakala kaum utama ialah Cina, Melayu dan India. Agama mempunyai peranannya yang tersendiri. Contohnya, agama sebagai sumber nilai. Agama menyediakan kod etika dan aturan moral. Selain itu, agama bertindak sebagai agen penyatuan kerana agama membantu membangunkan ikatan sosial dan menyatukan individu dengan individu lain sehingga membentuk masyarakat. Agama juga mendorong manusia membina kehidupan bertamadun dan berperanan sebagai faktor penting dalam perhubungan antara etnik dan penganut berbeza. Menurut Durkheim, kepercayaan dan amalan yang sama dalam sesuatu agama akan menyatukan semua anggota yang menganutinya dalam satu komuniti bermoral. Kesemua agama di Malaysia mengajar penganutnya untuk memelihara hubungan baik dengan individu lain dan menghormati individu yang berlainan agama. Walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai suku kaum dan agama namun kita tetap dapat hidup bersama secara harmoni dan aman damai.

Soalan 2

Hubungan antara faktor politik dan agama di Malaysia.
Satu aspek terbesar yang memainkan peranan dalam kehidupan manusia sejagat adalah politik. Hendak atau tidak, politik tetap berlaku dalam kehidupan setiap insan bagi menjadikan kehidupan mereka normal dan teratur. Segala masalah yang berlaku dalam masyarakat pada masa ini adalah berlaku akibat politik. Politik yang tercipta dari perbuatan manusia sendiri ini mestilah mempunyai panduan supaya tidak terkeluar dari landasannya. Agamalah satu-satunya panduan yang dimaksudkan ini. Satu pemberian dari pencipta yang sudah tentu mengetahui segala-galanya tentang ciptaannya lebih dari ciptaannya itu sendiri. Apabila politik yang dicipta oleh manusia dan panduannya iaitu agama yang dicipta oleh tuhan yang maha mengetahui dipisahkan, segala kebuntuan terhadap masalah yang melanda umat manusia kini tidak dapat diselesaikan. Tidak kiralah sama ada politik itu dilihat dari segi pemerintahan atau kehidupan manusia. Jadi wajarlah dikatakan bahawa politik dan agama itu tidak dapat dipisahkan. Perkataan agama mempunyai berbagai erti. Secara ringkasnya agama adalah prinsip-prinsip yang menjadi pegangan oleh sesuatu umat atau bangsa sama ada bersifat hubungan kepercayaan atau tingkah laku amalan. Bahkan ditegaskan bahawa tidak ada sesuatu gejala yang lebih jelas dan nyata, lebih berkesan dan berpengaruh di dalam kehidupan manusia selain daripada gejala agama. Ini menggambarkan sifat terhadap agama tidak pernah padam dalam diri manusia. Ia sentiasa seiring dengan tamadun manusia. Biarlah apa sahaja teknologi yang diguna pakai oleh manusia, sifat keagamaan tetap diperlukan. Ada yang memerlukan agama sebagai penunjuk jalan kehidupan malahan tidak kurang pula yang menolak agama dengan mengikut hawa nafsu semata-mata. Walau apa pun pendapat yang dikemukakan oleh manusia berhubung dengan perlu atau tidak agama itu, ia memperlihatkan satu keperluan, tuntutan naluri yang telah ditetapkan di dalam diri setiap manusia. Ini adalah kerana setiap pekerjaan yang dilakukan pasti didahului oleh satu pendapat dan pemikiran yang menentukan matlamat kerjanya dan memberikan gambaran umum tentang langkah-langkah untuk melakukan kerja sebelum dilaksanakan. Istilah politik berasal dari perkataan Yunani iaitu ‘Polis’ yang bermaksud negara atau bandar. Istilah politik lebih kepada kehidupan di dalam kumpulan disebuah bandar yang mempunyai kelompok-kelompok organisasi ketua iaitu pemerintah (legislatif) dan kuasa atau pentadbiran (eksekutif). Kuasa politik bukan sekadar memerintah tetapi merangkumi faktor-faktor tingkah laku manusia dalam masyarakat, bidang-bidang ekonomi dan pentadbiran. Istilah politik amat luas tafsiran penggunaannya. Tetapi sengaja dipersempitkan. Cuba kita lihat masyarakat disekeliling kita, istilah politik selalu dikaitkan dengan parti-parti politik sahaja. Kita sedia ketahui politik itu sendiri dapat mengajak manusia berfikir. Dalam kehidupan seharian, setiap benda yang bernyawa mahupun yang tidak bernyawa mempunyai saling kaitan antara satu sama lain. Hal-hal seperti agama dan politik tidak terkecuali dalam hal ini. Politik merangkumi makna yang cukup luas. Bukan sahaja tertumpu kepada aspek pentadbiran dan kenegaraan semata-mata, malahan hubungan sesama manusia dan juga kehidupan seharian juga dikatakan sebagai politik. Pendek kata, apa sahaja yang kita lakukan adalah politik. Kita mungkin keliru memikirkan apa yang dimaksudkan sebagai politik itu. Akan tetapi inilah hakikat yang sebenarnya. Agama sebagai satu kepercayaan dan pegangan merupakan tunjang kepada semua aspek kehidupan termasuklah aspek politik. Apa sahaja yang kita lakukan perlulah mengikuti jalan-jalan yang disyorkan oleh agama. Jika ianya bertentangan, sudah pasti akan terdapat masalah dan kerumitan yang bakal timbul. Apa yang ada dalam agama sehingga menyebabkan politik tidak tersisih daripadanya? Hal yang demikian mungkin menyebabkan kita tertanya-tanya. Di sini tidak akan timbul politik yang tersisih daripada agama. Pegangan yang teguh dan erat menyebabkan politik tidak akan tergelincir daripada landasan agama buat selama-lamanya. Sememangnya kita mahukan politik itu bersesuaian dengan masa. Kita tidak mahu aspek politik yang kita uruskan itu hanya sesuai untuk masa-masa yang tertentu sahaja. Inilah arah dan hala yang sedang dicari dan dituju oleh manusia masa kini setelah menyedari akan ketidaksesuaian pelbagai teori, ideologi dan kepercayaan yang direka dan dicipta oleh manusia yang bercanggahan dengan tabiat semulajadi insan dan kehidupan. Pemisahan sesuatu perkara daripada induknya akan mendatangkan masalah dan kerumitan. Hal ini sememangnya akan berlaku jika politik itu tidak berada di bawah dasar agama. Pastinya arah dan haluan politik itu sendiri akan terumbang ambing. Rintangan dan halangan yang tertentu akan menjadikan politik itu hanyut ditelan masa. Kemelut ini akan terus berpanjangan jika ianya tidak di ambil tindakan yang segera. Antara masalah-masalah yang bakal timbul ialah wujud ketidakadilan dalam politik. Setiap insan di bumi ini termasuklah yang sempurna ataupun yang tidak sempurna mempunyai hak masing-masing. Hak mereka ini tidak boleh dicerobohi mahupun dicemari. Jika politik itu tidak berpandukan kepada agama, yang kuat akan menindas yang lemah. Hal yang sedemikian tidak sepatutnya terjadi. Apa yang sepatutnya adalah yang kuat membela yang lemah. Perkara sedemikian berlaku disebabkan oleh ketidakadilan yang menunjangi kehidupan. Selain itu, wujud penyelewengan dalam politik. Dalam politik, amanah memainkan peranan yang penting. Jika sifat ini tiada dalam diri setiap individu, maka akan wujudlah penyelewengan. Hak seseorang individu itu pastinya akan dipergunakan oleh individu yang lain untuk kepentingan mereka sendiri. Mungkin hak kita sendiri yang akan digunakan tanpa kita sedari. Seterusnya, wujud keributan dalam politik. Sesuatu perkara yang tidak ditunjangi oleh agama pastinya mendatangkan keributan ataupun kucar kacir dalam kehidupan manusia. Kehidupan manusia bukan sahaja akan kucar kacir, bahkan yang lebih dahsyat lagi adalah bakal menghancurkan. Manusia akan mula mencari arah dan hala tujuan mereka. Pada ketika ini, keadaan mungkin menjadi genting di mana masing-masing menuding jari menunjukkan kesalahan antara satu sama lain. Nilai-nilai murni yang selama ini terbina atas dasar ukhuwah akan menjadi pudar dan mungkin akan hilang. Telah jelas bahawa agama dan politik memang tidak boleh dipisahkan. Malahan apa-apa pun perbuatan yang dilakukan oleh manusia tidak boleh lari dari agama. Apalah gunanya nikmat agama yang telah diberikan oleh tuhan jika kita tidak dapat melaksanakannya dalan kehidupan. Sejarah telah membuktikan bahawa banyak kehancuran telah berlaku ke atas umat yang tidak menjadikan agama sebagai sandaran terutamanya dalam bidang politik. Cukuplah apa yang berlaku dan haruslah kita ambil tauladan supaya tidak berulang lagi.

Comments

Chat