Syafiqah Mohd Zainurin's 8.A8 Aktiviti 8: Kongsi Video Aktiviti Kemasyarakatan - OpenLearning

YSS - INTERNATIONAL STUDENTS VOLUNTEER MISSION TO BEAUFORT, SIPITANG & NABAWAN, SABAH 2017

Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) 100% hak milik Kementerian Pendidikan Tinggi, dinaungi oleh YB Dato' Seri Idris Bin Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi, Chairman of YSS iaitu Dato’ Zuraidah Atan.

Pertama sekali, saya, Noor Syafiqah Azim Mohd Zainurin (UniSZA) ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat Dato Zuraidah Atan, BODs, and staff of YSS kerana memberi ruang kepada saya untuk menyertai misi kali ini. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat Universiti tersayang, Universiti Sultan Zainal Abidin - FB Rasmi, Dekan Fakulti Informatik & Komputeran (FIK), PERSIS-Pertubuhan Sukarelawan Siswa Unisza yang telah memberi galakkan dan peluang kepada saya untuk hadir ke temuduga di Kementerian Pendidikan Tinggi pada 6 Mei 2017 yang lepas.

Misi kali ini telah dihadiri dan disertai dengan pelbagai latar belakang pendidikan, Universiti Awam, Universiti Swasta, Politeknik, Kolej Komuniti dan IPG. Alhamdulilah, dengan perbezaan latar belakang pendidikan ini kami semua saling melengkapi dalam menjayakan misi kali ini. Seramai 89 sukarelawan Siswa yang terpilih dan ada juga pelajar daripada Singapura, Indonesia, Sudan dan pelajar Malaysia yang menuntut di United Kingdom.

Saya bersama 12 sukarelawan siswa yang lain berkampung di Kampung Bambangan, Beaufort, Sabah. YSS telah memberi peluang kepada kami semua dalam usaha untuk membuat perubahan, membantu dan menyumbangkan sesuatu kepada penduduk Kampung Bambangan, Beaufort. YSS mempunyai 6 kluster iaitu Kluster Pendidikan, Kluster Pembangunan Komuniti, Kluster Kesihatan, Kluster Agribio & Alam Sekitar, Kluster ICT & Keusahawanan, dan akhir sekali Kluster Pengurusan Krisis & Bencana.

Sikap perpaduan yang dipupuk dalam diri setiap daripada kami menjadikan saya sungguh bersemangat untuk meneruskan misi. Kami terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa. Tapi, kami bersatu dan saling melengkapi antara satu sama lain. Sungguh, dalam YSS kami telah diajar dan dilatih untuk bersatu tanpa mengira bangsa dan agama. Saya sangat berterima kasih pada setiap seorang daripada kami. Selain itu, membuat mural di dua bangunan sekolah merupakan satu pengalaman yang sangat menarik buat saya dan sukarelawan yang lain. YSS telah memberi peluang kepada saya, seorang mahasiswa dalam jurusan Media, untuk memperluaskan lagi ilmu dan kemahiran sepanjang misi dan ini merupakan pengalaman baru buat diri ini. Misi kali ini telah membuka mata dan minda saya untuk tidak fokus hanya dalam satu bidang sahaja. Malah, banyak perkara yang telah saya belajar yang mungkin tidak akan saya dapat ketika berada di dalam kuliah. Di samping itu, YSS telah memberi peluang kepada kami untuk menyumbang ilmu kepada komuniti. Melalui Kluster Pendidikan, kami telah bekerjasama dengan pihak sekolah dalam mendidik dan melakukan sedikit aktiviti fun learning, ICT dan kesihatan bersama pelajar di SK Kampung Bambangan. Terima kasih YSS.

Dalam merealisasikan misi kali ini, saya sangat kagum dengan budaya yang ditonjolkan oleh orang kampung dan pihak sekolah. Mereka memupukkan satu budaya yang sangat positif yang dapat kami contohi. Antaranya ialah cara mereka melayan dan menyambut tetamu. Mereka sangat meraikan tetamu dan telah memudahkan kami untuk memohon bantuan orang kampung, pengurusan sekolah, PIBG, pengurusan Pusat Internet 1 Malaysia, JKK Kampung untuk bersatu. Hal ini kerana, semangat sukarelawan bukan hanya perlu ada pada sukarelawan mahasiswa, malah ia perlu dipupuk pada segenap lapisan masyarakat. Syukur, penduduk kampung memberi kerjasama dan penerimaan yang amat menggalakkan. Kami adalah agen perubahan yang memberi kesedaran kepada komuniti mengenai kepentingan kesukarelawanan.

Dalam melahirkan sukarelawan yang berperingkat global, kami diajar untuk menjadi professional dalam bekerja, belajar menyampaikan maklumat bersama data integriti, mencari jawapan dalam masalah secara kritis. Dalam ingin menjadi sukarelawan yang berperingkat global juga, kita harus sentiasa berfikiran positif dan menyebarkan aura positif buat sekeliling. Akhir kata, terima kasih sekali lagi kepada Dato Zuraidah Atan , BODs and staff of Yayasan Sukarelawan Siswa kerana memberi saya ilmu, pengalaman dan kenangan yang amat bermakna ini. Moga YSS akan terus cemerlang dalam misi melahirkan pemimpin sukarelawan siswa di peringkat global.

“Diri ini untuk ummah”

Comments

Chat