OpenLearning

Cabaran dalam Memupuk integrasi di Malaysia 
Terdapat beberapa faktor yang boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat antaranya, prasangka, perkauman, diskriminasi, stereotaip, rasisme dan etnosentrisme. Perpecahan juga boleh berlaku apabila wujudnya konflik antara kumpulan masyarakat, kedudukan lokasi kelas, taraf pendidikan, kemahiran kerja, pendapatan dan budaya hidup yang sesetengahnya membatasi peluang mobiliti sosial mereka untuk keluar daripada golongan miskin (Mansor 2006). Konflik juga berlaku disebabkan oleh kerumitan menanggung kos hidup yang terus meningkat, perkhidmatan awam yang kurang memuaskan, pengangguran, kemiskinan, keterpinggiran dan ketidaksamarataan dalam masyarakat, gejala sosial yang berleluasa dan wujudnya banyak kumpulan samseng. Justeru, isu-isu berkenaan secara tidak langsung telah memberi kesan kepada masalah perpaduan dalam kalangan rakyat. 
Seterusnya konflik bukan sahaja disebabkan perbezaan budaya dan agama, tetapi turut berpunca daripada faktor kemiskinan dan keterpinggiran. Contohnya, rusuhan kaum di Kampung Medan, Selangor dikaitkan dengan isu kemiskinan dan pembangunan (Mansor 2006). Jelaslah bahawa isu kemiskinan dan pembangunan perlu ditangani secara serius untuk mengelakkan ketegangan etnik. Persoalan asas adalah bagaimana perbezaan etnik itu diatasi, serta bagaimana kepentingan politik dan ekonomi disesuaikan dengan kehendak pelbagai etnik sehingga keharmonian dapat dicapai. Perkara ini akan menjadi penanda aras hubungan etnik di sesebuah negara (Chandra 2008). 
Malaysia sering menjadi contoh kepada negara lain dari segi hubungan etnik kerana berjaya mewujudkan keharmonian dalam kalangan etnik yang pelbagai. Sebahagian besar kejayaan ini merupakan hasil usaha kerajaan yang bersifat top-down dan disokong oleh pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat sendiri yang bersifat bottom-up. Proses ini bertujuan memupuk perpaduan dan hubungan etnik yang mantap dalam kalangan rakyat Malaysia. Usaha ini dipelopori oleh kerajaan untuk memastikan kestabilan politik dan keadilan sosioekonomi serta keamanan negara sentiasa terpelihara. 

Comments

Loading
Error: Loading CSS chunk default-node_modules_tanstack_react-query_build_umd_index_production_js-node_modules_openlear-01f948 failed. (error: https://assets.openlearning.com/chunks_live/default-node_modules_tanstack_react-query_build_umd_index_production_js-node_modules_openlear-01f948.525af0d26055fd3f.css)

Chat