Jawapan Esei
(1) Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pengantar yang berkesan di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi. Bahasa digunakan untuk dua tujuan utama iaitu berkomunikasi dan memahami ilmu. Mengikut pendapat pakar bahasa, sesuatu ilmu lebih mudah difahami jika ianya diajar dan dipelajari dengan menggunakan bahasa ibunda ataupun “lingua franca”. Bahasa adalah sesuatu yang dekat dengan budaya. Jika kita bercakap dalam bahasa ibunda, kita akan lebih mudah untuk mencernakan ilmu. Ilmu itu tersimpan dalam minda, dan satu-satunya cara untuk menterjemahkannya dalam bentuk yang orang lain mampu faham adalah dengan bahasa yang kita sudah terbiasa dan luas kosa kata. Di negara kita Malaysia, majoriti rakyatnya berbangsa melayu dan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan semenjak kecil. Bangsa-bangsa lain seperti Cina, India dan lain-lain di Malaysia wajib mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu kerana bahasa ini adalah bahasa kebangsaan yang termaktud di dalam perlembagaan. Rata-rata, majoriti bangsa lain selain dari melayu dapat memahami Bahasa Melayu kerana inilah bahasa yang telah digunakan sebagai alat perpaduan semenjak kita merdeka dahulu. Kajian menunjukkan bahawa sesuatu ilmu itu lebih mudah dihadam jika diajarkan dalam bahasa ibunda dan gedung khazanah Bahasa Melayu sebenarnya cukup kaya dan mampu menjadi medium penyebaran maklumat dan ilmu. Bahasa Melayu dipertuturkan oleh lebih 300 juta umat manusia di dunia dan merupakan bahasa kelima paling banyak digunakan di dunia pada hari ini. Bahasa Melayu, seperti diungkapkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman adalah roh bangsa dan negara yang merdeka tidak seharusnya dikorbankan atas nama pembangunan dan kemajuan. Ini kerana kemajuan yang hakiki turut meliputi keupayaan kita maju dalam bahasa dan landasan budaya kita sendiri. Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DEP), Datuk Dr.Awang Sariyan pernah berkata bahawa usaha memartabatkan dan memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu harus dilihat sebagai amanah besar yang perlu dilaksanakan oleh semua peringkat warganegara Malaysia. Memandangkan Bahasa Melayu dikuasai dan digunakan oleh majoriti rakyat Malaysia dan pada waktu yang sama ianya juga merupakan bahasa kebangsaan, maka amat wajar bahasa ini dijadikan bahasa pengantar kepada matapelajaran di sekolah. Ini bukan sahaja kerana untuk lebih mudah memahami pelajaran tetapi pada waktu yang sama ianya juga untuk tujuan perpaduan kaum. Tambahan pula, guru-guru yang sedia ada pada hari ini sudah terlatih untuk menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi tujuan mengajar kerana sistem pendidikan yang telah mereka lalui sekian lama dan juga kerana penguasaan mereka yang baik disebabkan oleh majoriti dari mereka adalah daripada kalangan rakyat yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama untuk berkomunikasi. Buku-buku di dalam matapelajaran Sains dan Matematik juga semuanya sudah ada di dalam Bahasa Melayu semenjak dari darjah 1 hinggalah ke tingkatan 5. Bukan sedikit usaha yang telah dilakukan untuk menghasilkan buku-buku ini.Kesimpulannya kita mempunyai alasan yang cukup untuk menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di dalam pembelajaran matematik dan sains di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Kenyataan ini juga diperkukuhkan oleh hasil kajian yang dibuat ke atas hasil perlaksanaan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris) selama 10 tahun tahun semenjak tahun 2003. Di dalam kajian tersebut di dapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan 4% penguasaan bahasa asing dan sebaliknya mengurangkan minat murid-murid untuk mempelajari subjek matematik dan sains. Jelas sekali bahawa kita mendapat terlalu sedikit manfaat dari aspek penguasaan Bahasa Inggeris tetapi mengorbankan perkara lain yang lebih penting iaitu minat pelajar terhadap matapelajaran Sains dan Matematik. Kita mungkin boleh katakan yang kajian ini tidak tepat ataupun membuat andaian bahawa mungkin ini disebabkan oleh faktor teknik mengajar dan juga sukatan pelajaran. Tetapi hasil kajian ini sebenarnya sangat konsisten dengan pendapat ramai sarjana-sarjana bahasa bahawa di samping teknik pengajaran, faktor bahasa memainkan peranan yang sangat besar di dalam menarik minat murid-murid di dalam mempelajari sesuatu ilmu. Apatah lagi matematik dan sains yang merupakan bidang ilmu yang memerlukan daya imaginasi dan kefahaman yang tinggi untuk menguasainya. Bayangkan bagaimanakah agaknya kesan keatas anak2 yang menggunakan satu bahasa di rumah semenjak kecil , tiba2 diajar matapelajaran Sains dan Matematik di dalam bahasa asing yang lain oleh guru yang juga tidak fasih dan kurang berkemampuan untuk mengajar di dalam bahasa tersebut. Hasil pemantauan Kementerian Pelajaran pada tahun 2008 semasa perlaksanaan PPSMI ditunjukkan di dalam jadual 1 di bawah (kenyataan akhbar Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin di dalam portal Kementerian Pelajaran).