Dato’ Onn bin Jaafar mempunyai pelbagai sumbangan terhadap pembentukan Malaysia khususnya dalam aspek politik. Sumbangan pertama Dato’ Onn bin Jaafar dalam aspek politik iaitu mengenai kepentingan bersatu untuk mencapai kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1946. Langkah pertama yang dilaksanakan oleh beliau ialah menubuhkan parti Melayu iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada 11 Mei 1946 dan beliau juga telah dilantik sebagai Presiden yang pertama. Penubuhan UMNO merupakan rentetan daripada peristiwa pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Hal ini menyebabkan semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat Melayu kian memuncak. Slogan “Asia untuk orang Asia” mula timbul perasaan antipenjajah dan telah membangkitkan semangat nasionalisme masyarakat Melayu. Pada ketika ini akhbar-akhbar Melayu diterbitkan untuk memberi kesedaran kepada seluruh masyarakat di Tanah Melayu untuk menentang penjajah.
Penubuhan Malayan Union oleh kerajaan British pada 1 April 1946 yang diperintah oleh Gabenor British dan perkara ini menjadi faktor utama membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat Melayu di Tanah Melayu . Hal ini disebablan Malayan Union cuba memberi hak kerakyatan secara terbuka kepada semua kaum mengikut prinsip “jus soli” iaitu Cina dan India dan hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kaum Melayu dan pada masa yang sama kedaulatan dan kuasa sultan dihapuskan. Gerakan UMNO sering mengadakan rapat umum diseluruh Tanah Melayu sehinggalah UMNO berjaya membuat persetujuan dengan kerajaan British bersama Raja-raja Melayu untuk menggubal perlembagaan baru. Sehinggalah pada 1 Februari 1948, Malayan Union telah dimansuhkan dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu.
Seterusnya, Dato’ Onn Jaafar telah menyuarakan hasratnya tentang ‘Malaya untuk Malayan’ yang bererti Tanah Melayu tanpa mengira kaum. Pada Oktober 1948, beliau melakukan lawatan ke London dan menyatakan bahawa pentingnya menghindarkan rasa syak wasangka terhadap kaum lain seperti Cina dan India serta beliau berpendapat semua kaum perlu bersatu dalam sebuah parti. Pada 31 Disember 1948, Dato’ Onn sebagai pengerusi UMNO dan Menteri Besar Johor telah mengadakan satu pertemuan dengan 21 orang pemimpin pelbagai kaum di rumahnya iaitu Tan Cheng Lock dan E.E.C Thuraisungam serta Sir Ronald Bradell. Pertemuan ini membentuk sebuah Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum yang bertujuan untuk menyatupadukan semua kaum dan mengelak kekacauan yang ditimbulkan oleh pihak komunis. Pada 29 Mei 1949, Dato’ Onn telah mencadangkan supaya masyarakat Melayu membuka keanggotaan UMNO kepada bangsa lain supayan masyarakat dapat bersatupadu tetapi usul ini ditentang keras oleh masyarakat Melayu.Hal ini telah menyebabkan Dato’ Onn tetap tidak berputus asa dan terus berusaha untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum di Tanah Melayu dan ingin menjadikan UMNO sebagai United Malay. Namun masyarakat Melayu terus menentang hasrat Dato’ Onn dan hal ini menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai Yang Dipertua Agung UMNO dan beliau tetap dengan pendirian beliau untuk menubuhkan parti yang menyatukan semua kaum.
Oleh kerana Dato’ Onn tidak mendapat sokongan masyarakat Melayu, kemudian beliau menubuhkan parti baru iaitu Parti Kemerdekaan Malaya atau IMP yang bertujuan untuk menyatupadukan seluruh kaum di Tanah Melayu serta mendapat sokongan mereka. Namun gerakan IMP tidak memberangsangkan dan IMP dibubarkan rentetan daripada segelintir masyarakat Cina yang pada mulanya menyertai IMP beralih kepada parti yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman iaitu MCA yang digabungkan dengan UMNO untuk mencapai kemerdekaan. Dato’ Onn telah menubuhkan parti bersifat global iaitu Parti Kebangsaan Malaya yang memperjuangkan matlamat yang sama seperti IMP.
Akhir sekali, pada Mac 1954, Parti Negara ditubuhkan yang bermatlamat untuk membentuk sebuah kerajaan yang memerintah di Persekutuan Tanah Melayu menurut konsep demokrasi, mewujudkan bangsa Melayu dengan satu kerakyatan bagi seluruh Persekutuan Tanah Melayu, Islam agama rasmi persekutuan dan berusaha memajukan rakyat dari aspek sosial dan ekonomi. Pada saat ini, Dato’ Onn telah menyertai pilihan raya sebanyak tiga kali iaitu pertama di kawasan Johor yang kalah dengan Dato’ Sulaiman bin Dato’ Abdul Rahman daripada parti perikatan, kedua pada Julai 1957, beliau mencuba nasib di kawasan Batu Pahat yang juga kalah dengan Dato’ Syed Esa Alwi daripada perikatan dan pada tahun 1959 beliau cuba bertanding sebagai Parti Negara di Terengganu dan beliau berjaya mengalahkan calon Engku Mohsin daripada Parti Perikatan. Kemenangan terakhir ini menyebabkan Dato’ Onn semakin aktif berkempen dan memperjuangkan soal kerakyatan, hak keistimewaan orang Melayu, pendidikan, ekonomi dan Tanah Simpanan Melayu dan beliau telah meninggal dunia pada tahun 1962.