AFIQAH NASUHA BINTI SAMSURI's 6.A1 : Refleksi Perjuangan Dato Onn - OpenLearning

Pada tahun 1946, Dato’ Onn telah dilantik selaku Yang Di-Pertua UMNO yang pertama. Ia ekoran daripada peranan besarnya yang mengetuai orang Melayu dalam penentangan mereka terhadap gagasan Malayan Union. Kemuncak kepada penentangan tersebut ialah apabila pihak penjajah British bersetuju untuk membubarkan Malayan Union dan menggantikannya dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Salah satu daripada usaha beliau ialah dengan mencadangkan pintu keahlian UMNO dibuka kepada orang bukan Melayu. Dato’ Onn mempunyai pandangan tersendiri dan wawasan tersembunyi di sebalik cadangan beliau itu. Namun, wawasan dan pandangan tersirat Dato’ Onn tidak dapat dibaca oleh kebanyakan ahli UMNO ketika itu. Sebahagian besar ahli UMNO waktu itu telah menentang habis-habisan cadangan Dato’ Onn tersebut. Kemuncak daripada penentangan tersebut ialah apabila Dato’ Onn mengambil keputusan untuk keluar UMNO. Dato’ Onn pula tidak akan menggadaikan prinsip perjuangannya dan pada masa yang sama tidak mahu memaksa para ahli UMNO supaya menerima cadangan beliau. Maka beliau telah mengambil keputusan untuk meninggalkan UMNO. Keputusan tersebut juga merupakan tolak ansur dan pengorbanan yang cukup besar daripada Dato’ Onn bagi kelangsungan UMNO sebagai sebuah badan siasah terpenting bagi orang Melayu.

Langkah Dato’ Onn seterusnya bagi merealisasikan hasratnya ialah dengan menubuhkan Parti Kemerdekaan Tanah Melayu atau Independence Malaya Party (IMP). IMP merupakan sebuah parti politik yang terbuka kepada semua kaum. Namun, hasratnya untuk melihat sebuah parti politik yang terdiri daripada pelbagai kaum gagal disebabkan jurang perbezaan kaum yang masih ketara ketika itu. Ia juga mungkin disebabkan kebimbangan orang Melayu sendiri yang belum mempunyai kekuatan yang tinggi untuk bersaing dengan kaum-kaum lain secara terbuka terutamanya dalam bidang ekonomi. Walaupun orang Melayu ketika itu masih belum bersedia untuk berada dalam satu parti politik dengan kaum lain, ia tidak bermakna mereka tidak boleh menerima kaum lain untuk tinggal bersama di tanah Melayu. Sejarah telah membuktikan keikhlasan orang Melayu untuk berkongsi tanah air mereka dengan kaum-kaum lain dengan permintaan yang cukup munasabah dan longgar.

Dalam pilihanraya umum tahun 1959, Dato’ Onn telah berjaya dipilih sebagai ahli parlimen bagi kawasan Kuala Terengganu Selatan. Beliau telah bertanding atas tiket Parti Negara yang telah ditubuhkannya selepas kegagalan IMP. Di parlimen, beliau terus menyuarakan idea bernas ke arah perpaduan dan pembangunan orang Melayu.

Comments

Chat