1. Apakah yang dimaksudkan dengan “Sehati Sejiwa?”
Sehati Sejiwa menggambarkan keutuhan, perpaduan, kesefahaman, bersatu dalam menempuh saat kejayaan dan detik kesusahan seluruh rakyat negara ini. Rakyat Malaysia dituntut supaya taat setia tanpa berbelah bahagi. Jiwa raga dan kesetiaan hanya kepada tanah air tercinta. Tanpa rasa curiga apatah lagi mewujudkan onak duri dalam usaha untuk memporakperandakan negara. Lebih malang lagi jika wujud tindakan cuba menggulingkan negara, ternyata mengundang kemusnahan dan ketidaktenteraman dalam kalangan warga di tanah air tercinta. Sehati sejiwa turut membawa maksud budaya seluruh rakyat Malaysia yang berganding bahu dan bekerjasama serta bersatu dalam apa juga kejayaan dan rintangan yang berlaku di negara tercinta Malaysia.Walaupun berbeza adat resam, kepercayaan dan budaya, namun bukan faktor untuk kita berselisihan. Masyarakat yang berjiwa merdeka meletakkan kepentingan umum lebih utama daripada kepentingan sendiri. Walaupun kita berbeza budaya, tapi kita masih mampu mencari titik pertemuan demi perpaduan dan kelangsungan bangsa Malaysia.
2. Pada pendapat anda kenapakah “Sehati Sejiwa” dipilih menjadi tema Hari Kemerdekaan 2015?
Semangat 'sehati sejiwa' perlu diterap dalam diri generasi muda masa kini ini agar mereka menghargai erti kemerdekaan seterusnya mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Program seperti Semarak Sehati Sejiwa Komuniti 1Malaysia dan program kemerdekaan yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia dapat membina semangat bersatu dalam menghadapi cabaran-cabaran yang ada. Semangat semarak ini perlu ditekankan khususnya dengan perisian semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda kerana erti kemerdekaan itu bakal melahirkan kekuatan ekonomi negara. Semangat perpaduan tanpa huru-hara atau semangat curiga-mencurigai antara satu sama lain perlu ditanam dan disuburkan agar rakyat Malaysia menghayati nilai dan semangat kemerdekaan sebenar. Roh dan semangat sehati sejiwa perlulah dihayati dan diinsafi. Jadilah rakyat yang setia kepada negara yang satu - Malaysia dan sejiwa dalam menempuh segala dugaan dan rintangan bersama demi negara tercinta.
3. Kenapakah pentingnya semua rakyat Malaysia perlu “Sehati Sejiwa?”
Semangat sehati sejiwa merupakan elemen yang penting yang perlu ada dalam diri semua rakyat Malaysia kerana ia akan melahirkan sebuah masyarakat yang bersatu tanpa mengira kaum latar belakang serta pangkat. Masyarakat yang sehati sejiwa bukanlah masyarakat yang terlepas daripada peraturan undang-undang dan etika, sebaliknya asas-asas murni itu hendaklah digunakan sebagai landasan membangunkan masyarakat dan negara yang teguh dan utuh. Setiap potensi anggota masyarakat harus digerakkan sebijaksana mungkin hingga mampu memartabatkan jati diri, imej keluarga, integriti masyarakat, keutuhan negara berasaskan patriotisme yang tinggi dan kesetiaan tidak berbelah bahagi. Masyarakat yang sehati sejiwa mampu melakukan pilihan dan membuat saringan serta bersikap terbuka terhadap faktor dari luar lingkungan budaya dan tradisi yang tidak bercanggah dengan nilai etika dan sejagat yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan tamadun mengikut acuan kita sendiri.