Gotong-royong merupakan amalan yang mulia. Kerana ianya adalah satu amalan yang membantu antara satu sama lain serta merupakan satu amalan yang dapat memudahkan pekerjaan orang lain. Sekiranya amalan gotong-royong ini dipupuk dalam kalangan masyarakat ianya dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain. Bak kata pepatah Melayu; " berat sama dipikul, ringan sama dijinjing". Demikian juga tentang kerja gotong-royong ini. Semua orang mengetahui bahawa sesuatu kerja yang besar buatannya dan juga belanjaannya akan menjadi enteng dan kecil kosnya jika dilakukan bersama-sama. Itu adalah prinsip gotong-royong.
Malaysia merupakan negara yang mempunyai pelbagai kaum. Gotong-royong adalah salah satu cara untuk rakyat Malaysia berinteraksi dan tolong menolong antara satu sama lain. Pada zaman yang penuh dengan teknologi mewah contohnya seperti smart phone ini, rakyat Malaysia makin kurang berinteraksi di antara satu sama lain dan juga kurang untuk membantu antara satu sama lain. Bukan sahaja dengan jiran tetangga atau kawan-kawan kurang berinteraksi, malah dengan keluarga sendiri juga tidak ada komunikasi. Hal ini sangat membimbangkan kerana ianya boleh menyebabkan kurang persefahaman di antara satu sama lain. Kurang berinteraksi juga akan menyebabkan hubungan sesuatu keluarga itu renggang dan kurang bantu-membantu juga akan menyebabkan amalan mulia ini akan pudar dan hilang dimakan zaman.
Aktiviti bergotong-royong ini amat penting, lebih-lebih lagi Malaysia merupakan Negara yang kaya dengan pelbagai kaum serta etnik yang hidup bersama sejak zaman dahulu kala. Aktiviti bergotong-royong juga memberikan faedah yang banyak kepada kita. Kita juga dapat mengenal mereka dengan lebih mendalam. Aktiviti tersebut juga menjadikan semangat dalam diri kita lebih berkobar-kobar untuk membina Ukhwah Fillah antara kaum-kaum yang lain. Dengan terjalinnya hubungan silaturahim yang kukuh ini, Negara kita akan lebih aman, lebih mengambil berat antara satu sama lain dan perpaduan juga akan menjadi kukuh. Maka dengan perpaduan yang lebih kukuh yang dibangunkan oleh pegangan semua kaum, ianya dapat mewujudkan Negara Malaysia yang harmoni dan sejahtera serta wawasan 2020 dapat dilaksanakan.