Soalan 1
Kenalpasti ciri-ciri utama sistem pendidikan di Malaysia berdasarkan sejarah perkembangannya dari zaman sebelum merdeka hingga kini.Sedari pra – merdeka, negara Malaysia telah melalui beberapa proses evolusi dalam perlaksanaan sistem pendidikan yang dipraktikan terhadap rakyatnya. Sistem pendidikan Malaysia terbahagi kepada lima era utama iaitu Zaman Pramerdeka (sebelum 1957), Zaman Pasca Merdeka (1957-1970), Zaman Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), Zaman Dasar Pembangunan Negara (1991-2000) dan Zaman Dasar Wawasan Negara (2001-hingga kini ). Setiap era mempunyai ciri – ciri utama yang berbeza mengikut keperluan dan tuntutan rakyat mengikut zaman masing – masing. Sistem persekolahan sebelum merdeka boleh juga disebut sebagai sekolah-sekolah yang wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 1957. Sistem ini telah dikawal sepenuhnya oleh pihak penjajah Inggeris. Tujuan utama di wujudkan sekolah dan sistem pendidikan pada waktu ini lebih kepada kepentingan politik pihak penjajah itu sendiri bukan bagi kebaikan rakyat tempatan. Ia juga dikenalpasti bertujuan agar perpaduan tidak wujud dikalangan rakyat Tanah Melayu Ia merupakan satu sistem vernakular yang tidak seragam, dimana rakyat dibahagi mengikut kaum, kepentingan dan fungsi ekonomi mereka. 4 jenis sekolah telah diwujudkan, antaranya Sekolah Melayu, Sekolah Cina, Sekolah India dan Sekolah Inggeris. Ciri-ciri utama sistem persekolahan ini adalah sekolah-sekolah yang di dirikan adalah mengikut kaum, bahasa pengantar yang berbeza dan Sekolah terdapat dikawasan-kawasan tertentu sahaja contohnya di kampung-kampung adalah bagi kaum Melayu, pinggir bandar bagi kaum Cina dan di ladang-ladang bagi kaum India. Menghampiri era kemerdekaan, terdapat sedikit perubahan didalam sistem persekolahan ketika itu apabila Penyata Barnes keluar pada 1950 menyatakan ’pendidikan sekolah rendah adalah sebagai alat perpaduan masyarakat’. Pernyataan ini menyebabkan sistem pendidikan telah dikaji semula secara terperinci. Hasilnya satu sistem pendidikan kebangsaan wujud dan terbuka kepada semua kaum. Bahasa pengantar bagi sekolah kebangsaan ada dua iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Rentetan dari ini, Sekolah Cina dan Tamil dihapuskan. Era berikutnya iaitu Zaman Pasca Merdeka, kerajaan telah menunjukkan usaha jitu yang ditumpukan untuk mewujudkan satu sistem pelajaran kebangsaan. Rentetan itu, Ordinan Pelajaran 1957 digubal berdasarkan perakuan Laporan Razak (1956) yang mengutamakan perpaduan dan menjadi teras Dasar Pendidikan Kebangsaan serta mengemukakan usul memartabatkan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di semua jenis sekolah. Berikutnya apabila Malaysia melewati Zaman Dasar Ekonomi Baru yang menekankan falsafah pembangunan yang seimbang diantara pembangunan sosial dan perkembangan ekonomi, aspek pendidikan diberikan keutamaan untuk menangani masalah ketidakseimbangan dalam masyarakat dengan menyediakan peluang pendidikan yang sama untuk semua kaum. Pada masa ini juga Sistem Pendidikan Kebangsaan mengalami banyak perubahan, antaranya Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar utama yang dilaksanakan sepenuhnya pada peringkat menengah di Semenanjung Malaysia dan Sabah pada tahun 1982, manakala di Sarawak pada tahun 1990. Penggunaan Bahasa Inggeris bagaimanapun tidak diabaikan dan dijadikan sebagai bahasa pengantar kedua. Meskipun begitu, selaras dengan Akta Pelajaran 1961, sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa Cina atau bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar terus dikekalkan dan juga usaha meningkatkan peluang pendidikan di kawasan luar bandar diperluaskan. Berikutnya, Zaman Dasar Pembangunan Nasional memperlihatkan pembangunan pendidikan yang makin berkembang seiring dengan perkembangan teknologi maklumat. Sistem pendidikan pra sekolah telah dimasukkan dalam sistem pendidikan kebangsaan. Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 telah dipinda bagi membolehkan penubuhan lebih banyak institusi pendidikan tinggi swasta di Malaysia. Akses kepada pendidikan tinggi juga ditingkatkan melalui penubuhan lebih banyak universiti awam, kolej universiti, kolej matrikulasi, kolej komuniti, kolej swasta dan universiti swasta. Dekad terakhir abad ke-20 menyaksikan perubahan yang pesat dalam pendidikan negara ketika Zaman Dasar Wawasan Negara, yang memaparkan globalisasi, liberalisasi danpembangunan pesat ICT terus mempengaruhi pembangunan sistem pendidikan kebangsaan. Matlamat untuk memastikan semua warganegara mempunyai peluang dari segi akses, ekuiti dan kualiti untuk menduduki pendidikan formal selama 12 tahun. Kesimpulannya, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan terdahulu sehingga sekarang dalam memastikan sistem pendidikan di Malaysia dapat di akses peluangnya oleh pelbagai kaum. Perkara ini jelas terbukti apabila ciri – ciri utama sistem pendidikan telah diubah daripada sistem yang berasaskan kaum dan bahasa pengantar yang berbeza telah diseragamkan dengan menggunakan satu bahasa utama iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama tanpa mengenepikan hak penggunaan bahasa lain dalam unsur pembelajaran seperti bahasa Cina dan Tamil. Ciri – ciri utama dalam sistem pendidikan Malaysia telah diubah sifatnya agar lebih bersifat dinamik, relevan dengan keadaan semasa dan berintegrasi global demi mencipta kesepaduan nasional dalam kalangan rakyat Malaysia.
Soalan 2
Bincangkan bagaimana ciri-ciri yang dinyatakan di atas mempengaruhi perhubungan antara pelajar-pelajar pelbagai kaum dan agama.Berdasarkan ciri – ciri utama yang telah di diskusikan di atas, setiap darinya mempunyai pengaruh dan kesan yang berbeza dalam aspek hubungan kepelbagaian kaum dan agama di kalangan para pelajar di Malaysia. Sejarah telah menyaksikan sistem Pecah dan Perintah yang diamalkan ketika penjajahan British sebelum Merdeka secara tidak langsung mempengaruhi sistem pendidikan ketika itu yang mana terhasilnya pengasingan kaum kepada empat aliran sekolah iaitu Sekolah Inggeris, Sekolah Melayu, Sekolah Cina dan Sekolah Tamil. Setiap sekolah ini mempunyai bahasa pengantarnya tersendiri dan mempunyai kurikulum yang berbeza mengikut sukatan daripada negara yang berbeza. Ketika itu, sekolah yang mengintegrasikan pelbagai kaum hanya boleh didapati di Sekolah Inggeris. Ini menunjukkan terdapat jurang yang besar dalam interaksi antara kaum kerana kurangnya interaksi dan integrasi sosial di antara kaum. Perkara ini terhasil berikutan tujuan politik British memerintah Tanah Melayu secara pengasingan kaum agar rakyat tidak dapat bersatu padu menentang pemerintahan mereka. Ciri-ciri utama sistem pendidikan pada zaman pasca-merdeka pula memperlihatkan usaha kerajaan untuk merapatkan semula jurang antara kaum dari segi pendidikan yang terhasil daripad era sebelumnya. Kerajaan ketika itu berusaha menyediakan peluang untuk mendapatkan pendidikan tanpa mengira kaum. Kesedaran mengenai pentingnya pendidikan sebagai alat penyatuan rakyat telah terbit di dalam agenda kerajaan pada ketika itu. Melalui dasar baru ini, jurang perhubungan di antara pelajar – pelajar pelbagai kaum telah berjaya dirapatkan. Usaha merapatkan jurang perhubungan ini telah ditingkatkan pada era seterusnya di mana Dasar Ekonomi Baru, memperlihatkan akan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Tambahan pula, peluang pendidikan untuk rakyat yang tinggal di kawasan pedalaman turut diperluaskan. Ciri-ciri utama sistem pendidikan pada era Dasar Pembangunan Nasional pula memperlihatkan usaha untuk menyediakan segala institusi untuk setiap peringkat pendidikan agar dapat di akses oleh semua kaum. Ia bertujuan untuk memastikan usaha-usaha menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama sebelum ini menjadi lebih efektif dan dipraktikkan dalam kehidupan interaksi sosial sebagai rakyat Malaysia. Natijahnya, usaha – usaha yang telah dimainkan oleh pihak kerajaan dan badan – badan yang terlibat sedari era pra merdeka sehingga kini ternyata memperlihatkan hasil menyatupadukan kepelbagaian kaum di sejak dari zaman persekolahan. Jurang – jurang yang dicipta sebelum ini oleh pihak penjajah semakin pudar ditelah usaha dan tekad yang padu oleh pihak kerajaan dan rakyat Malaysia itu sendiri. Hasilnya kita dapat lihat pada hari ini kesemua kaum dapat berinteraksi menggunakan satu bahasa kebangsaan dalam kehidupan seharian mereka terutamanya di kalangan pelajar – pelajar.