Berdasarkan sejarah Dato Onn Jaafar, terdapat pentadbiran Inggeris yang datang dengan idea pemerintahan Malayan Union yang telah melenyapkan keistimewaan dan hak-hak orang Melayu. Pada Mac 1946, terdapat sebanyak 41 buah persatuan Melayu yang telah berhimpun di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur untuk menghadiri Kongres Melayu pertama dengan tujuan menentang Malayan Union yang boleh diperlihatkan sebagai ancaman terhadap hak keistimewaan orang Melayu dan juga kedudukan sultan-sultan Melayu.Oleh kerana Dato Onn Jaafar aktif dalam gerakan nasionalisme Melayu, kongres itu telah melantik beliau sebagai presiden pertama. Boleh diperlihatkan bahawa Dato Onn Jaafar telah berjaya membakar semangat kalangan orang melayu supaya menentang Malayan Union iaitu ciptaan penjajah Inggeris. Beliau telah menyedarkan orang Melayu bahawa Malayan Union merupakan satu ancaman yang akan melenyapkan bangsa di tanah airnya sendiri. Oleh itu, terdapat beberapa persidangan yang telah diadakan di Johor Bahru. Selepas itu, UMNO dengan rasminya telah ditubuhkan. Dato’ Onn telah dilantik menjadi Yang DiPertua. Pada 1 Oktober 1946, Dato’ Onn telah dilantik sebagai Menteri Besar Johor. Walaubagaimanapun, beliau telah meletakkan jawatan tiga tahun kemudian iaitu pada 18 Mei 1950 dan seterusnya menumpukan perhatiannya kepada UMNO. Peristiwa tersebut menunjukkan Dato' Onn Jaafar merupakan lagenda bangsa Melayu dan juga salah daripada seorang tokoh yang sangat masyhur yang tercatat dalam sejarah perjuangan kemerdekaan tanah air kita.
Beliau menyedarkan orang Melayu betapa bahayanya Malayan Union sebagai satu ancaman yang akan melenyapkan bangsa di tanah airnya sendiri. Beberapa persidangan dan kongres telah diadakan dan di Kongres Melayu di Johor Bahru pada 11 Mei 1946, UMNO dengan rasminya telah ditubuhkan. Dato’ Onn telah dilantik menjadi Yang DiPertua. Pada 1 Oktober 1946, Dato’ Onn dilantik menjadi Menteri Besar Johor. Tiga tahun kemudian, beliau meletakkan jawatan untuk menumpukan masanya kepada UMNO. Di bawah kepimpinannya, UMNO berjaya memaksa kerajaan British untuk membubarkan Malayan Union dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Persekutuan Tanah Melayu telah berjaya mengekalkan kedudukan Raja-raja Melayu dan memperketatkan syaratsyarat kerakyatan, serta memberi hak istimewa Melayu. Selain daripada pengasas UMNO, Dato Onn juga merupakan pencetus idea kepada penubuhan RIDA (Rural Industrial Development Authorit) untuk membantu sosio-ekonomi Melayu.
Pada bulan Oktober 1949, Dato‟ Onn mula memperkatakan tentang kerjasama dengan kaum-kaum lain. Rentetan dari itu, beliau telah mencadangkan satu rupa bangsa Tanah Melayu berasaskan pertuturan satu bahasa. Cadangan ini ditentang oleh ahli –ahli UMNO. Ekorannya, Dato‟ Onn meletakkan jawatannya pada bulan Jun 1950. Tindakannya diikuti oleh Jawatankuasa UMNO yang lain kecuali Setiausaha Agung. Dato‟ Onn dipujuk semula memimpin UMNO dan kembali memegang jawatan pada Ogos 1950. Dalam usaha pihak British memberi pengalaman pentadbiran kepada penduduk Tanah Melayu, pendedahan awal telah dibuat ke arah itu. Mulai April 1951, sistem “Ahli” diperkenalkan. Sistem “Ahli” merupakan peringkat separuh kementerian dan ahli Majlis yang dilantik bertanggungjawab ke atas jabatan-jabatan dan kerajaan. Pada tahun 1952, semua anggota “Ahli” dimasukkan ke dalam Majlis Mesyuarat. Ini membolehkan mereka mempunyai pengalaman eksekutif perundangan. Antara tokoh-tokoh yang pernah dilantik dalam sistem “Ahli” termasuklah Dato’ Onn Jaafar, Tunku Yaakob Ibn Sultan Abd. Hamid, E.E.C. Thuraisingam, Dr. Lee Tiang Keng, Dato‟ Mahmud Mat, Kolonel H.S Lee dan Datuk Nik Ahmad Kamil. Jawatan-jawatan yang diberikan kepada mereka termasuklah hal-ehwal keselamatan dalam negeri, pertanian dan perhutanan, pelajaran, kesihatan, tanah, perlombongan dan perundangan.
Satu perkembangan baru berlaku dalam UMNO apabila slogan „Hidup Melayu‟ digantikan dengan „Merdeka‟. Ini dipersetujui dalam persidangan agung pada Mac 1951. Dato‟ Onn berpendapat kerajaan British tidak akan memberikan kemerdekaan jika tidak wujud perpaduan kaum. Dengan itu beliau mencadangkan membuka pintu keahlian kepada kaum lain dan nama UMNO ditukar daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu kepada Pertubuhan Kebangsaan Malaya Bersatu. Perkataan Melayu digugurkan dan digantikan dengan perkataan Malaya. Dengan cara ini Dato‟ Onn berharap agar pintu UMNO akan terbuka untuk kaum lain. Walau bagaimanapun cadangan beliau dibantah sekerasnya oleh ahli UMNO. Oleh sebab cadangan itu ditentang, Dato‟ Onn meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada Ogos 1951. Dato’ Onn kemudian menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada 26 Ogos, 1951 bersama rakan-rakannya lain. Kebanyakan pemimpin utama masyarakat bukan Melayu terutamanya Tan Cheng Lock, E.E.C. Thuraisingam dan yang lainnya telah memberikan sokongan yang padu terhadap IMP. Tan Cheng Lock dalam ucapannya pada hari perasmian IMP telah menyeru kepada semua kaum terutamanya MCA agar memberi kerjasama pada IMP dalam mencapai matlamatnya iaitu mencapai taraf berkerajaan sendiri dalam tempoh 10 tahun. Mengadakan pilihanraya berasaskan prinsip demokrasi diperkenalkan di peringkat kerajaan tempatan pada tahun 1953 dan kemudiaannya ke peringkat perundangan pusat pada tahun 1955.
Selain itu, IMP bermatlamat ke arah memalayanisasikan perkhidmatan awam dan membentuk sebuah perkhidmatan Tanah Melayu serta memberi pelajaran asas secara percuma kepada kanakkanak di antara 6 hingga 12 tahun. Antara matlamat yang lain pula ialah memberikan kebajikan sosial terutamanya di kawasan luar bandar, memberi subsidi dan jaminan harga barangan petanipetani, dan akhir sekali mengadakan reformasi ke atas sistem feudal di negeri-negeri Melayu. Malangnya, parti tersebut tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu kerana tidak yakin dengan konsep berbilang kaum. Orang Cina juga tidak menyokong IMP kerana mereka lebih berminat dengan MCA. Dato‟ E.E.C. Thuraisingam juga tidak berjaya menarik sokongan orang India. Dalam pilihan raya pada tahun 1952, IMP kalah dan kekuatannya tidak dapat dipulihkan. Pada tahun 1954, beliau meninggalkan parti itu untuk menubuhkan Parti Negara bagi tujuan bertanding dalam pilihan raya umum yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955. Dasar perjuangan Parti Negara ialah memperjuangkan perpaduan nasional dan raja berperlembagaan. Parti ini juga mahu taraf berkerajaan sendiri. Dari segi bahasa, bahasa Melayu dan Inggeris diterima sebagai bahasa rasmi. Keahlian Parti Negara pula terbuka kepada semua kaum warga Tanah Melayu dan British. Bagaimanapun, keahliannya terdiri daripada orang Melayu. Sokongan yang diperolehi oleh Parti Negara lebih baik berbanding IMP terutamanya di negeri Terengganu, Kelantan, Johor Kedah dan Selangor. Sungguhpun demikian, partinya masih gagal mendapat sokongan dan tidak memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya pada tahun 1955. Bagaimanapun, Dato Onn masih berusaha untuk mendapatkan tempat dalam politik. Akhirnya pada umur 62 tahun, beliau berjaya mendapat satu kerusi di kawasan parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam Pilihan Raya Umum 1959 dengan bantuan parti PAS. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 18 Januari 1962 ketika berusia 67 tahun dan dikebumikan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor. Sumbangan Dato‟ Onn dalam perjuangan ke arah kemerdekaan negara pada hakikatnya tidak boleh dinafikan. Meskipun ada suara-suara yang melabelkan beliau sebagai pemecahbelah perpaduan UMNO dan pembunuh semangat kemerdekaan yang amat ghairah diperjuangkan oleh orang-orang Melayu, beliau tetap merupakan seorang tokoh Melayu terulung yang mempunyai wawasan yang begitu jauh.
Kesimpulannya, jasa beliau tetap dikenang dalam sejarah tanah air kita. Beliau merupakan pejuang kemerdekaan yang sangat besar jasanya, pengasas UMNO, dan tokoh yang berjaya menggagalkan Malayan Union yang dirancang oleh Inggeris. Kemerderkaan hari ini yang tercapai pada 31 Ogos 1957 meskipun tidak dianggap sebagai buah tangan darinya, tetapi sebenarnya adalah merupakan hasil asas yang dibinanya. Asas dan rangka kemerdekaan yang dilakar oleh Dato‟ Onn tetap menjadi ikon perintis jalan kepada bangsa Melayu walaupun beliau tidak dianggap sebagai pemimpin Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan.