Jawapan Esei
(1) Bahasa Melayu mampu menjadi bahasa pengantar yang berkesan di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi. Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa pengantar. Bahasa pengantar boleh didefinisikan sebagai bahasa yang ditetapkan oleh sesebuah negara sebagai bahasa yang digunakan untuk sistem pendidikannya seperti Bahasa Melayu di sekolah-sekolah kebangsaan, Bahasa Cina di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Bahasa Tamil untuk sekolah jenis kebangsaan Tamil. Bahasa-bahasa ini telah ditetapkan oleh Laporan Abdul Razak Hussien (1956) dan Laporan Pelajaran Abdul Rahman Talib (1960) sebagai bahasa pengantar. Usaha untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara telah bermula sejak sekian lama. Dengan penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi, ia dapat menyatupadukan penduduk Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Dengan kata lain ia menjadi bahasa perpaduan di Malaysia. Bahasa Perpaduan dapat diertikan sebagai bahasa yang menjadi lambang penyatuan suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia yang berfungsi sebagai alat menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dalam sebuah negara. Selain itu, Bahasa Melayu berperanan sebagai alat komunikasi bagi sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia. Kekuatan bahasa juga akan menjamin kelangsungan peradaban. Bahasa Kebangsaan ialah pemersatu dan alat komunikasi rakyat yang sangat utama. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ialah bahasa komunikasi lisan dan tulisan yang digunakan bagi semua maksud urusan rasmi dalam bidang pendidikan. Pengajaran semua subjek mata pelajaran dalam bahasa Melayu di semua peringkat sekolah rendah dan menengah kecuali mata pelajaran bahasa Inggeris amat jelas selaras dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu. Seterusnya, Bahasa Melayu telah menjadi bahasa ilmiah dan bahasa ilmu sejak zaman kesultanan Melayu lagi. Bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar antara pedagang-pedagang di Tanah Melayu pada waktu itu. Nilai dan taraf bahasa Melayu mengalami penurunan di zaman pemerintahan British. Setelah negara Malaysia mencapai kemerdekaan bahasa Melayu telah diangkat menjadi bahasa Kebangsaan dan seterusnya sebagai bahasa ilmu yang dituturkan oleh cerdik pandai bemula dari sekolah kebangsaan, sekolah menengah serta institusi-institusi pengajian tinggi. Dasar bahasa Kebangsaan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama bagi semua sekolah bermula dari peringkat sekolah rendah kebangsaan, menengah dan pengajian tinggi telah meningkatkan taraf bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Pengiktirafan ini telah diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961. Kesimpulannya, Bahasa Melayu telah mencapai tahap kegemilangannya sejak zaman kesultanan Melayu Melaka hingga menjadi lingua franca dan bahasa ilmu kerana Bahasa Melayu mudah untuk dituturkan berbanding dengan bahasa yang lain di samping ciri-ciri dan keterbukaan yang terdapat dalam bahasa Melayu itu sendiri.